Penulis: Kristiane Backer
Tahun: 2014
Penerbit: Institut Terjemahan & Buku Malaysia, Kuala Lumpur.
Muka Surat: 406
Kriatiane Backer mempunyai sejarah sendiri dalam perjalanan hidup menjadi seorang muslim. Wanita berbangsa Jerman ini mengucap dua kalimah syahadah selepas tertarik dengan kehidupan masyarakat Islam di Pakistan dan amalan sufi di London yang mendedahkannya kepada amalan kerohanian yang mengagungkan Allah swt.
Membelek setiap muka surat buku Dari MTV ke Makkah ini sangat mengasyikkan. Bab demi bab ada perkaitan dan perhubungan yang akrab, memberi makna dan membangkitkan emosi pembaca.
Menghayati masa mudanya sebagai pengacara MTV yang hebat dan penuh glamour tidak sama dengan perjalanan rohaninya sebagai seorang muslim.
Terlalu banyak ujian yang dilalui Kristiane selepas bergelar muslim. Pertama, kerjaya sebagai pengacara di MTV yang terumbang-ambing kerana industri hiburan tidak selari dengan jiwa barunya. Masa hadapannya bersama MTV sudah sampai ke penghujung.
Kedua, beliau menjalin persahabatan dengan Imran Khan, pemain kriket Pakistan yang tersohor dan pernah membincangkan perkahwinan mereka tetapi tidak kesampaian. Namun, hubungan ini membuka ruang kepada permulaannya untuk mengenal Islam.
Ketiga, gagal dalam dua perkahwinan. Suami pertama, Alfred, tinggal lama di Kaherah dan jarak memisahkan mereka. Suami kedua, Rachid, lelaki Maghribi yang terlibat dalam bidang penyiaran dilihat mahu mengongkong kehidupan Kristiane. Rachid juga mahukan Kristiane menyesuaikan diri dengan budaya wanita Maghribi seperti tidak bercakap dengan mana-mana lelaki, yang sudah tentu sukar.
Dalam kekalutan hidup, beliau terus beristiqamah dengan ajaran Islam, dapatkan bantuan Allah swt dengan berdoa dan berharap akan muncul sinar dalam hidupnya. Rakan-rakannya turut memberi sokongan supaya Allah swt memberi penyelesaian dan mereka selalu mengingatkannya supaya membanyakkan bacaan surah al-insyiraah.
Kristiane pernah datang ke Malaysia dan menyifatkan jemaah haji Malaysia sangat sopan. Beliau juga menjadi pengamal homeopati.
Keasyikan membaca buku ini pasti membuatkan pembaca tertanya-tanya tentang bagaimana Kristiane menguruskan kehidupannya sebagai wanita Islam Eropah. Bagaimana beliau menguruskan solat, puasa dan ibadat lain? Secara ringkas boleh dikatakan beliau istiqamah dan selalu mempromosi Islam sebagai cara hidup berbanding hanya sekadar agama ritual.
Sebenarnya Kristiane mempunyai dua nama Islam. Pertama adalah Yusra dan kedua adalah Zahra. Beliau bangga dengan dua nama tersebut.
Saya berpendapat beliau wajar datang ke Malaysia untuk melihat dan membuat perbandingan tentang kehidupan masyarakat Islam di sini. Beliau juga wajar melihat bagaimana wanita Islam diberi tempat dalam masyarakat Malaysia. Melalui pendedahan seperti ini, Kristiane dapat membuka ruang pemikiran terhadap Islam yang merangkumi setiap aspek kehidupan selain daripada tareqat.
No comments:
Post a Comment