Tuesday, May 26, 2015

Persepsi masyarakat terhadap pelbagai perayaan di Malaysia








1.0 Pengenalan

Perayaan adalah suatu aktiviti yang disambut oleh sesebuah masyarakat ataupun kaum. Kebiasaannya, sesuatu perayaan itu disambut bertujuan untuk memperingati peristiwa penting yang pernah berlaku pada suatu masa dahulu. Selain itu, perayaan juga akan disambut berdasarkan agama yang dianuti.

Di negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia, terdapat pelbagai jenis perayaan untuk disambut pada setiap tahun. Malaysia yang terdiri daripada tiga kaum majoriti iaitu kaum Melayu, Cina dan India pastinya berpeluang untuk menyambut perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Korban, Tahun Baru Cina, Deepavali dan sebagainya.

Di samping itu, masyarakat negara ini mengamalkan amalan berkongsi “perayaan” dan menghormati perayaan kaum lain. Tambahan pula, melalui perkongsian perayaan, perpaduan dan kesepakatan masyarakat di negara ini sedikit sebanyak dapat diutuhkan. Langkah ini juga menyumbang kepada Malaysia untuk terus membangun dan menuju ke arah maju dan makmur. Sememangnya, Malaysia merupakan negara yang unik dengan masyarakatnya yang berbilang kaum dan bangsa.

Malaysia bukan setakat sahaja terdiri daripada kaum utama seperti Melayu, Cina dan India malahan Malaysia juga kaum-kaum minoriti seperti Kadazan, Iban dan sebagainya. Kesemua perayaan di Malaysia disambut bersama-sama tidak mengira bangsa dan agama. Hal ini kerana wujudnya kesefahaman dan perpaduan yang utuh dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

1.1  Objektif Kajian

Kajian ini dibuat berdasarkan objektif berikut iaitu mengetahui jenis-jenis perayaan rakyat berbilang kaum di Malaysia, mendapat pendedahan mengenai keunikan perayaan yang terdapat di Malaysia dan persepsi pelajar UTeM terhadap kepelbagaiaan perayaan dalam masyarakat di negara ini.

1.2 Kepentingan Kajian

Hasil kajian diharap dapat memberi satu gambaran dan kesedaran kepada masyarakat Malaysia bahawa kepentingan perayaan sesuatu kaum dalam masyarakat kita. Di samping itu, hasil kajian ini diharap boleh menjadi satu panduan kepada pihak kerajaan untuk mewujudkan lagi suasana perayaan yang lebih meriah dalam kalangan masyarakat.


2.0 Kajian Literatur

Sejarah silam Malaysia yang menarik, sebagai tempat persinggahan dalam laluan perdagangan rempah ratusan tahun dahulu telah menjadikannya sebuah pusat gabungan pelbagai budaya. Penduduk Melayu, Cina dan pelbagai kaum etnik yang lain telah hidup bersama sejak beberapa generasi yang lalu. Pelbagai budaya yang berbeza ini telah saling mempengaruhi antara satu sama lain, menghasilkan gabungan budaya Malaysia yang unik. Jumlah kaum terbesar di Malaysia adalah kaum Melayu, Cina dan India. Negeri Sabah dan Sarawak juga mempunyai pelbagai kumpulan etnik peribumi, masing-masing dengan budaya serta yang unik dan tersendiri.

Salah satu bidang kebudayaan itu boleh dilihat antaranya melalui nilai dan norma yang merangkumi perkara seperti peraturan-peraturan undang-undang, adat resam, “folk-ways & mores”, gaya dan perlakuan, pantang larang, upacara dan nilai-nilai keagamaan dan bersopan santun.

Budaya masyarakat Malaysia boleh dilihat melalui perayaan-perayaan yang disambut oleh kaum-kaum tertentu. Misalnya orang Melayu yang beragama Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, orang Cina menyambut Tahun Baru Cina dan orang India menyambut Deepavali.

Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan masyarakat Melayu dan penganut agama Islam. Sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula dengan ibadat puasa di bulan Ramadan. Sepanjang bulan Ramadan, umat Islam berpuasa pada siang hari dan mengerjakan sembahyang terawih pada sebelah malamnya. Zakat fitrah wajib dikeluarkan sebelum 1 Syawal. Hari Raya disambut dengan penuh kesyukuran. Umat Islam saling bermaaf-maafan dan kunjung-mengunjungi untuk mengeratkan silaturahim. Rumah terbuka akan diadakan bagi mempersilakan tetamu datang berkunjung.

Perayaan Tahun Baru Cina pula disambut secara besar-besaran oleh masyarakat Cina di Malaysia yang menandakan kedatangan tahun baru menurut kalendar mereka. Orang Cina percaya ada 12 binatang yang menaungi kalendar mereka iaitu tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam jantan, anjing dan babi. Setiap binatang ini memberi signifikan dan tuahnya tersendiri. Pada malam Tahun Baru semua ahli keluarga berkumpul beramai-ramai untuk makan bersama.Tujuannya adalah untuk mengeratkan jalinan hubungan sesama keluarga. Ahli kelurga yang telah berumah tangga akan memberi “angpau” kepada saudara mara dan sahabat yang belum berumah tangga. “Angpau” membawa pengertian kesejahteraan yang berpanjangan, ianya sejenis sampul berwarna merah dan diisi dengan sejumlah wang. Buah limau mandarin dan kuih bakul merupakan kemestian yang perlu ada semasa merayakan Tahun Baru Cina. Sepanjang Tahun Baru Cina berlangsung, tarian singa dimainkan dari rumah ke rumah dan kedai-kedai untuk memberi berkat kepada mereka yang meraikan perayaan tersebut. Penutup kepada perayaan Tahun baru Cina ialah perayaan Chap Goh Meh.

Deepavali pula adalah salah satu perayaan yang disambut oleh masyarakat Hindu. Ianya dirayakan pada bulan gelap bernama “aippasi” pada bulan Oktober dan November. Deepavali bermaksud “sebarisan pelita”. Dengan memasang pelita, mereka percaya bahawa kecerahan mengatasi kegelapan, kebaikan mengatasi kejahatan, keadilan mengatasi kezaliman dan kebijaksanaan mengatasi kejahilan. Pada waktu pagi Hari Deepavali, masyarakat Hindu akan menyucikan tubuh badan dengan memakai sedikit minyak di kepala dan mandi. Kemudian mereka bersembahyang di rumah atau dikuil-kuil. Selepas bersembahyang, mereka berkunjung ke rumah kaum keluarga. Kebiasannya, surirumah akan menyediakan kotak-kotak kecil berisi manisan dan membawa bersama apabila berkunjung ke rumah saudara-mara mereka. Di kebanyakan rumah, “rangoli” iaitu lukisan yang dibuat daripada tepung beras berwarna-warni akan menyambut tetamu di hadapan rumah.

Sebagai rumusan, kepelbagaian kaum di Malaysia mewujudkan pelbagai budaya dan seterusnya melahirkan suasana yang harmoni dan unik. Perayaan-perayaan yang disambut oleh masyarakat mengikut agama dan kepercayaan masing-masing mencorakkan lagi kepelbagaian budaya di Malaysia. Melalui perayaan-perayaan seumpama ini kita boleh mengenali identiti dan budaya sesuatu kaum yang terdapat di negara kita.


3.0  Metodologi Kajian

Selain daripada mengumpul maklumat dari internet, kaji selidik dalam kalangan warga UTeM telah dijalankan untuk mendapatkan maklum balas yang lebih tepat mengenai kajian yang dijalankan ini. Metodologi kajian ini dibahagikan kepada beberapa peringkat iaitu mengumpul data dan maklumat berkaitan kajian, membuat pemerhatian terhadap respons responden terhadap sebarang sambutan perayaan yang diadakan di UTeM dan mengenal pasti persepsi responden terhadap sesuatu perayaan di Malaysia.

3.1  Rekabentuk Kajian

Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan bukan eksperimental. Dalam reka bentuk ini, penilaian ini dilakukan setelah responden selesai menjawab borang soal selidik yang diedarkan. Responden perlu melengkapkan maklumat peribadi responen pada bahagian A dan menjawab sebanyak tujuh belas soalan berkaitan persepsi terhadap sebarang perayaan di Malaysia pada bahagian B.

Keputusan soal selidik ini menggambarkan suasana masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dalam meraikan sesuatu perayaan di Malaysia. Kaedah ini dipilih kerana ia dianggap antara yang paling sesuai untuk menilai tahap pengetahuan dan kepekaan sesebuah masyarakat terhadap sesuatu perayaan.         

3.2 Sampel Kajian

Kajian ini merupakan kajian populasi yang melibatkan sekelompok responden yang bekerja dan belajar di UTeM. Seramai dua puluh orang responden terpilih berbeza jantina terdiri daripada para pensyarah, pekerja dan penuntut universiti dari fakulti berlainan perlu melengkapkan borang soal selidik yang mengandungi lima belas soalan berskala dan dua soalan subjektif.

3.3 Instrumen Kajian

Kajian ini melibatkan kepercayaan dan pegangan kepada setiap individu. Setiap individu memiliki pegangan dan kepercayaan yang berbeza. Dengan ini instrumen kajian yang paling sesuai bagi menjalankan kajian  ini ialah kaedah soal selidik. Hal ini kerana kaedah ini lebih mudah bagi seseorang individu memberi kerjasama mengikut pendapatnya sendiri. Sebanyak 20 borang soal selidik telah berjaya diedarkan dan kesemuanya telah memberikan kerjasama yang baik bagi menjayakan kajian ini.

Selain itu, kaedah melayari internet juga turut digunakan bagi memudahkan pencarian maklumat. Seterusnya, maklumat tambahan diperolehi melalui majala dan jurnal untuk menjayakan mengukuhkan dapatan kajian.


4.0  Hasil Kajian

Daripada hasil analisis borang soal selidik yang telah diedarkan, didapati data dan maklumat yang diberikan oleh responden-responden bertepatan dengan objektif kajian ini. Dengan menggunakan data dan maklumat yang diterima, hasil kajian dan perbincangan dapat disempurnakan dengan lancar dan berjaya.


Jadual 4.1 menunjukkan data dan maklumat yang dikumpul 
daripada borang soal selidik di bahagian

                                                          
Jadual 4.1 menunjukkan data dan maklumat yang dikumpul daripada borang soal selidik di bahagian A. Seramai 10 responden lelaki dan 10 responden perempuan yang terlibat. Jika dilihat pada peringkat umur, kebanyakan responden terdiri dalam lingkungan umur antara 21 hingga 30 tahun iaitu 15 responden. Jika dilihat pada bangsa pula, seramai 13 orang berbangsa Melayu, empat daripada mereka berbangsa Cina, tiga berbangsa India dan seorang daripada mereka lain-lain. Pada bahagian agama pula, kita boleh melihat bahawa 13  orang beragama Islam, empat orang beragama Buddha, dua orang beragama Hindu dan seorang beragama Kristian.

Majoriti responden borang soal selidik tersebut terdiri daripada pelajar iaitu seramai 16 orang. Selebihnya merupakan pensyarah. Ketika mengedarkan borang soal selidik kepada responden di UTeM, seramai 15 orang daripada FKE manakala dua orang masing-masing datang daripada FKEKK dan FTMK. Seorang sahaja yang datang daripada FKP.


Jadual 4.2 pula menunjukkan data dan maklumat yang dikumpul 
hasil kutipan borang soal selidik di bahagian B

                                                          
Jadual 4.2 pula menunjukkan data dan maklumat yang dikumpul hasil kutipan borang soal selidik di bahagian B. Setiap soalan mengandungi jawapan Ya, Tidak, dan Tidak Pasti. Jika melihat pada borang soal selidik yang dilampirkan pada bahagian lampiran, majoriti responden memilih jawapan Ya. Di sini kita boleh lihat bahawa kebanyakan responden tahu tentang perayaan-perayaan di Malaysia. Hanya segelintir yang memilih jawapan Tidak dan Tidak Pasti.

Sehubungan dengan itu, soalan yang diajukan kepada responden bukan sahaja melibatkan tentang perayaan tetapi juga berkait rapat dengan keharmonian negara ini. Responden juga lebih berpendapat bahawa keharmonian negara dapat dikekalkan melalui perayaan-perayaan yang disambut di negara ini.


5.0  Kesimpulan

Ringkasan yang dapat dibuat di sini ialah kajian ini telah mencapai objektif-objektif yang ditetapkan di peringkat awal kajian. Perkara pertama yang ditikberatkan dalam kajian ini ialah mengenali jenis-jenis perayaan yang terdapat di Malaysia. Hasil dapatan kajian menunjukkan rakyat Malaysia sangat prihatin dan peka mengenai perayaan-perayaan yang terdapat di Malaysia. Biarpun hidup berlaian bangsa dan agama, perbezaan itu tidak menghalang sifat saling menghormati antara kaum terhadap perayaan masing-masing selaras dengan slogan “1 Malaysia” yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang ingin mewujudkan suasana harmoni dan saling menghormati antara kaum di Malaysia.


Rujukan

Utusan Malaysia. (2010). Deepavali Perayaan Cahaya Penuh Simbolik.

Http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/isu-nasional/395-artikel/7736-deepavali-perayaan-cahaya-penuh-simbolik.html pada 21 Mei 2012.

Utusan Malaysia. (2010). Sambutan Tahun Baru Cina.
Http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/322-kebudayaan-di-malaysia/5745-sambutan-tahun-baru-cina.html pada 18 Mei 2012.

Wikipedia, Kompas Dan Informasi. (2011). Asal Usul Dan Serba Serbi Imlek (Tahun Baru Cina). Http://www.ruanghati.com/2011/02/03/asal-usul-dan-serba-serbi-imlek-tahun-baru-cina/  pada 9 Mei 2012.




MZ Zainudin, Mohamad Hafiz Abdul Wahid,  Safwan Abd Aziz haidir Morshidi, Latif Nur Ismail, Mohamad Suffian Ahmad

No comments:

Post a Comment