Tuesday, May 19, 2015

Persepsi pelajar terhadap perpaduan kaum sebelum dan selepas kemerdekaan








1.0 Pendahuluan

Kajian berkaitan dengan integrasi kaum di Malaysia agak kompleks. Hal ini kerana sosiopolitik setiap kaum bersifat perkauman. Agen-agen seperti sejarah, pendidikan, media, parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan amat kuat mencengkam budaya politik setiap kaum. Akhirnya, lahirlah setiap bangsa yang memperjuangkan kepentingan masing-masing. Bukti-bukti ini diperolehi melalui tinjauan yang dibuat ke atas kajian-kajian para sarjana sebelum ini. Keadaan tidak banyak berubah sehingga ke hari ini. Kajian ini bertujuan menilai sejauh mana pengaruh agen sosiopolitik seperti sejarah, institusi keluarga dan pendidikan yang dilalui meninggalkan kesan terhadap hubungan antara kaum. Hasil kajian menunjukkan sosiopolitik perkauman melahirkan sentimen perkauman yang tinggi. Integrasi masih lagi samar. Realitinya, sentimen perkauman masih kuat mencengkam budaya politik masyarakat berbilang kaum.

1.1  Objektif Kajian

Antara objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti persepsi dan tahap pengetahuan pelajar UTeM terhadap isu perpaduan kaum di Malaysia pra dan pasca kemerdekaan. Selain itu, kajian ini juga bertujuan memupuk semangat integrasi nasional antara pelajar dalam usaha untuk melahirkan sebuah negara bangsa. Kajian ini juga merangkumi pengkajian faktor- faktor seperti faktor sejarah, keluarga dan pendidikan mempengaruhi integrasi antara kaum di Malaysia serta mengenal pasti langka-langkah yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan untuk menyelesaikan isu ini disamping memberi cadangan bagi membantu menyelesaikan masalah perpaduan kaum di Malaysia


2.0 Sorotan Literatur

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka edisi keempat, perpaduan bermaksud penggabungan, pelaburan, penyesuaian, kecocokan, perihal berpadu (bergabung menjadi satu, sepakat dan lain-lain). Integrasi pula bermaksud penggabungan atau pergabungan dua atau beberapa kaum (unsur, bahagian dan sebagainya) menjadi satu kesatuan dan penyatuan.

Menurut Nadzan Haron dan Rozeman Abu Hassan melalui buku mereka “Malaysia Melangkah ke Hadapan”, memetik kenyataan daripada buku mereka, “Malaysia lahir atas kefahaman dan persetujuan dalam kalangan parti-parti politik bahawa Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat dan bersatu. Hasrat murni ini hanya dapat dicapai dengan penerimaan keutamaan identiti Melayu oleh semua masyarakat bumiputera dan bukan bumiputera berlandaskan ciri-ciri jati diri kebangsaan dalam proses membina negara bangsa di Malaysia. Namun wujud ketidakpuasan hati kerajaan negeri-negeri baru seperti Sabah, Sarawak dan Singapura terhadap keutamaan identiti Melayu sebagai konsep pembinaan Malaysia”.
           
Selain itu, Mohamad Zaini Abu Bakar melalui buku “Ke Arah Pengajaran Titas dan Hubungan Etnik yang Holistik” berkata perhubungan etnik telah banyak diperkatakan oleh pelbagai pihak sama ada dalam kalangan orang awam, pemimpin politik, para ilmuan dan sebagainya. Pelbagai pandangan hipotetikal dan kupasan teoritikal telah dihasilkan untuk cuba menjelaskan hal yang berkisar sekitar persoalan hubungan etnik ini seperti ekonomi, politik, pendidikan, kemasyarakatan, psikologi dan sebagainya.
           
Di samping itu, menurut Zainal Abidin Ahmad beliau berkata, integrasi adalah satu proses yang menyatupadukan pelbagai kelompok dalam masyarakat melalui satu identiti bersama. Integrasi ini merupakan harapan kebanyakan masyarakat, terutama sekali bagi masyarakat majmuk di Malaysia. Sepertimana yang kita ketahui, sebuah negara yang bebas, merdeka dan daulat amat mementingkan perpaduan dalam kalangan rakyatnya.

Rujukan kajian-kajian ini tidak terhad kepada kajian daripada buku sahaja tetapi melibatkan juga sumber artikel dari internet juga. Contohnya, merujuk kepada oliy777.blogspot.com, penulis berkata, “Menurut Jayum A. Jawan (1997), perpaduan dan integrasi merupakan dua konsep yang saling berkait rapat dan sering digunakan bersilih ganti. Perpaduan dan integrasi adalah merujuk kepada proses menggabungkan bahagian-bahagian menjadi satu unit. Menurut Shamsul Amri Baharuddin (2007), perpaduan adalah satu proses menyatupadukan masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti, nilai bersama, perasaan cinta dan bangga akan tanah air. Integrasi pula adalah satu proses mewujudkan satu identiti nasional dalam kumpulan terpisah dari segi kebudayaan, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik.

Terdapat lima bentuk integrasi iaitu segregasi, akomodasi, akulturasi, asimilasi dan amalgamasi. Selain itu, melalui mohdkarimassigmentbloggerscom.blogspot.com, Mohamad bin Abd Karim menulis, Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum yang pernah menghadapi konflik etnik. Hubungan etnik berkait rapat dengan seluruh struktur sosial masyarakat dan memberi pemahaman tentang darjah pluralisme sosial dan kebudayaan, punca konflik serta sejauh mana struktur masyarakat bersifat kolonial. Hubungan etnik mencerminkan perkembangan sejarah dan kemampuan sosioekonomi sesebuah negara. Hubungan etnik mencerminkan darjah dan sumber ketegangan sosial dalam sesebuah masyarakat. Melalui hubungan etnik juga dapat difahami isu prasangka dan diskriminasi di sesebuah negara serta gambaran peranan faktor personaliti dalam menentukan tingkah laku ahli masyarakat. Hubungan etnik penting dalam memahami kesan pengindustrian di sesebuah negara iaitu kesan pengindustrian dan perubahan sosial. Hubungan etnik mempengaruhi dasar sosial dan perancangan sosial sesebuah negara. 


3.0 Metodologi Kajian

Pelbagai kaedah penyelidikan lazimnya digunakan bagi memperoleh dan mengumpul data. Antara langkah yang sering menjadi pilihan penyelidik atau pengkaji adalah menggunakan kaedah penyelidikan seperti soal selidik, pemerhatian dan temu ramah bagi menjayakan penyelidikan masing-masing. Pemilihan kaedah penyelidikan ini pada kebiasaannya dipilih mengikut kemudahan penyelidik dan juga responden.

3.1 Sampel Kajian

Sampel kajian kami hanya tertumpu kepada pelajar UTeM. Semua responden berjumlah 25 orang dan dipilih secara rawak.
  
3.2 Instrumen Kajian

Kajian ini menggunakan borang soal selidik sebagai instrumen penyelidikan bagi kumpulan. Hal ini kerana mudah untuk menganalisis data yang diperoleh di samping memudahkan responden yang hanya perlu menjawab beberapa soalan dalam masa yang singkat.


4.0 Hasil Kajian

Dewasa ini, pelbagai pembangunan dan kemajuan telah berjaya kita kecapi hasil usaha pemimpin-pemimpin terdahulu dan masa kini. Kemajuan ini dapat dikecapi oleh segenap masyarakat majmuk di Malaysia tanpa mengira agama, bangsa mahupun keturunan. Walau bagaimanapun, isu perpaduan kaum di Malaysia masih belum menemui titik noktah sehingga kini kerana setiap kaum utama di Malaysia lebih selesa memperjuangkan hak dan kepentingan kaum masing-masing berbanding melakukan integrasi bagi mewujudkan satu identiti nasional dalam kalangan kumpulan yang terpisah dari segi budaya, sosial dan lokasi bagi sesebuah unit politik.

Antara faktor yang menyumbang kepada isu ini adalah faktor sejarah itu sendiri. Malaysia secara amnya telah mendapat kemerdekaan daripada pihak British pada tahun 1957. Namun begitu, pihak British mempunyai agenda tersendiri bagi mengekalkan kepentingan ekonominya di Tanah Melayu. Dasar “pecah dan perintah” yang diperkenalkan oleh pihak British yang mana pengasingan tempat bermastautin dibuat mengikut bangsa telah menyumbang kepada isu perpaduan kaum. Hal ini kerana titik permulaan bagi setiap kaum adalah berbeza dan mereka terdedah untuk bergaul sesama mereka sahaja berbanding dengan bangsa lain yang hanya terhad di pejabat dan pasar semasa proses jual beli. Selain itu, penubuhan  parti-parti politik utama di Malaysia seperti UMNO, MCA dan MIC pada dasarnya ditubuhkan untuk memperjuangkan aspirasi kaum masing-masing turut menjadi faktor isu ini. Lebih memburukkan keadaan, isu kerakyatan berdasarkan prinsip jus soli melalui Malayan Union, isu pertikaian terhadap hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan Raja-Raja Melayu telah mengeruhkan lagi semangat kekitaan dalam kalangan penduduk Tanah Melayu ketika itu.   

Selain itu, faktor kekeluargaan juga menyumbang kepada berlakunya jurang perkauman pada masa kini. Pada dasarnya institusi kekeluargaan merupakan agen yang memainkan peranan dalam membentuk sikap kanak-kanak sebelum seseorang itu meningkat dewasa. Anak-anak biasanya akan meniru dan mempraktikkan apa yang dibualkan dan dilakukan oleh ibu bapa tanpa mengambil kira faktor baik atau buruk yang mana hal ini membentuk pola pemikiran mereka pada masa hadapan. Pada kebiasaannya, latar belakang dan pemikiran isi keluarga yang cenderung kepada penekanan budaya bangsa telah menjadi inti pati utama dalam pembentukan pola pemikiran kanak-kanak. Kesannya, lahir individu yang cenderung untuk memperjuangkan aspirasi kaum masing-masing berbanding penekanan terhadap pembinaan negara bangsa. 

Sistem pendidikan yang berasingan juga antara faktor penghalang pembentukan integrasi nasional. Sehingga Penyata Razak 1956 dibentangkan, tidak terdapat satu bentuk sistem pendidikan kebangsaan di Tanah Melayu. Wujud corak pendidikan vernakular yang menekankan kepada empat aliran pendidikan yang berlainan iaitu Inggeris, Melayu, Cina dan India. Pendidikan orang Melayu terbahagi kepada pendidikan agama di pondok-pondok dan pendidikan sekular peringkat rendah yang membolehkan orang Melayu sekadar tahu membaca, menulis dan mengira. Kadar pendidikan ini adalah percuma dan hanya belajar sekadar darjah enam dalam Bahasa Melayu. Bagi orang Cina, sekolah-sekolah telah didirikan oleh masyarakat itu sendiri. Kurikulum, buku teks dan guru biasanya diimport dari Tanah Besar Cina. Tidak kurang juga bagi orang India, yang mana sekolah-sekolah Tamil didirikan di estet berasaskan kurikulum dan buku teks yang diimport dari India Selatan. Selain itu, terdapat juga sekolah Inggeris yang didirikan oleh British dan mubaligh-mubaligh Kristian yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dan kurikulum berdasarkan pendidikan Inggeris. Sekolah Inggeris biasanya didirikan di kawasan bandar dan mengenakan yuran perbelanjaan yang tinggi.

Berdasarkan perbincangan di atas, jelas menunjukkan bahawa kepentingan etnik adalah segala-galanya bagi kaum-kaum yang ada di negara ini berbanding kepentingan kepentingan nasional. Sosialisasi politik sama ada secara asuhan atau semula jadi telah mewujudkan persepsi dan prejudis yang tidak sihat antara kaum. Asimilasi tidak berlaku, penyesuaian diri juga tidak berlaku dan ia berakhir dengan berlaku ketidakseimbangan. Masing-masing meletakkan kepentingan etnik di hadapan berbanding kepentingan nasional.


5.0 Kesimpulan

Melalui kajian ini, didapati tahap keprihatinan dan persepsi pelajar UTeM terhadap isu perpaduan kaum di Malaysia menunjukkan mereka peka terhadap isu ini namun lebih selesa untuk berdiam diri kerana menganggap isu ini adalah perkara sensitif dan tidak boleh dibahaskan sewenang - wenangnya demi menjaga semangat kekitaan yang semakin mekar saban hari. Setiap penyakit pasti ada ubatnya, begitu juga dengan isu perpaduan kaum ini. Kerajaan sedar untuk mencapai perpaduan negara atas prinsip integrasi, langkah-langkah yang dapat memulihkan ketidakpuasan hati rakyat terutamanya masyarakat bumiputera mesti dilaksanakan.

Oleh itu, Majlis Perundingan Negara telah diberikan amanah untuk mencari jalan mengatasi masalah tersebut. Majlis Perundangan Negara telah mencadangkan dua langkah penting iaitu ideologi negara ataupun  Rukun Negara yang mesti diterima oleh semua rakyat Malaysia dan Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan membetulkan ketidakseimbangan sosioekonomi yang wujud antara kaum majoriti dan kaum imigran. Dasar Ekonomi Baru selain itu bertujuan untuk membasmi kemiskinan dan membaiki taraf ekonomi masyarakat bumiputera supaya mempunyai taraf ekonomi yang seimbang dengan masyarakat bukan bumiputera yang jauh ke hadapan. Pada masa yang sama, kerajaan juga cuba memupuk semangat integrasi nasional melalui dasar – dasar sosiobudaya dan pendidikan.

Usaha-usaha untuk memupuk semangat kekitaan ini diteruskan oleh kerajaan sehingga kini dengan terlaksananya pelbagai program peringkat nasional yang bertujuan memupuk semangat perpaduan dalam jangka masa panjang. Sebagai contoh, Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang digubal berdasarkan dua aspek utama iaitu teras perpaduan dan nilai aspirasi bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang bersatu padu sebelum Malaysia mencapai status negara maju seperti yang diilhamkan dalam Wawasan 2020. Perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain yang mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama. Sebaliknya 1Malaysia menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan serta identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan. 1Malaysia menekankan sikap penerimaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, yang mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.


Rujukan

Haris Md. Jadi. (1990). Etnik, Politik dan Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Shamsul Amri Baharuddin. (2007). Modul Hubungan Etnik. Putrajaya: Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia

Zainal Abidin Ahmad. (2006). Pengajian Malaysia. Kuala Lumpur: Prentice Hall.

Nadzan Haron. (2010). Malaysia Melangkah ke Hadapan. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Babaruddin Sayin. (2005). Ke Arah Pengajaran TITAS dan Hubungan Etnik yang Holistik. Kuala Lumpur: Pusat Penerbitan Universiti.

Comber, L. (2007). Peristiwa 13 Mei: Sejarah Perhubungan Melayu-Cina.Petaling Jaya: IBS Buku Sdn. Bhd.

Mohamad bin Abd Karim. (2009). Konsep Hubungan Etnik di Malaysia. http://mohdkarimassigmentbloggerscom.blogspot.com [12 Oktober 2009].

Oliyabra Madyusa. (2010). Hubungan Etnik di Malaysia. http://oliy777.blogspot.com  [4 Februari 2010].

Kumpulan PGSR Bahasa Melayu IPGMKKB. (2011). Hubungan Etnik. http://kumpulansiswazahguru.blogspot.com [22 Disember 2011].



MZ Zainudin, Abdullah Ameer Izer, Ahmad Nur Siddiq Adlan, Mohamad Nazirul Afandi Mahmod, Nurul Atikah Noslee

No comments:

Post a Comment