Saturday, May 16, 2015

Tabung Wakaf/Endowment UTeM








Universiti Al Azhar di Mesir telah berjaya menjadi sebuah institusi pengajian tinggi sehingga hari ini disebabkan pendekatan wakaf yang digunakan. Ribuan pelajar yang menjadi lepasan universiti ini berselerakan di seluruh dunia Islam membawa ilmu yang penuh keberkatan untuk menjadi panduan kepada masyarakat Islam dan bukan Islam.

Wakaf adalah istilah yang sama erti dengan “endowment” dianggap sebagai satu amalan kebajikan berasaskan sedekah yang mana hasil atau pulangan yang dijana daripada harta yang diwakafkan untuk membiayai pelbagai program pengajian atau aktiviti yang berfokuskan kebajikan pelajar atau kakitangan institusi.

Dalam konsep ini, apabila sumbangan yang diterima dilaburkan supaya hasil pelaburan tersebut dapat digunakan untuk pelbagai tujuan.

Pelaksanaan wakaf boleh digambarkan dalam bentuk kincir angin. Sebuah kincir angin yang digerakkan oleh lima bilah kipas akan menarik air naik ke atas disebabkan kitaran kipas menghasilkan ruang vakum dalam saluran yang dipasang pada kincir ini. Takungan air di bawah kincir naik ke atas melalui saluran khas dan dialirkan ke dalam sebuah takungan. Semakin kuat kipas bergerak, semakin banyak jumlah air ditarik dan disimpan di dalam takungan. Air ini boleh digunakan oleh masyarakat untuk pelbagai keperluan.

Takungan air di bawah kincir diibaratkan sejumlah penderma atau pewakaf. Kipas angin yang mengandungi lima bilah ini umpama program atau aktiviti seperti pendidikan, advokasi, geran, bantuan teknikal atau latihan kemahiran. Pewakaf tertarik kepada program-program ini dan memberi sumbangan mereka dalam pelbagai bentuk seperti wang tunai, cek, pindahan tunai atau potongan gaji. Sedikit demi sedikit tabung wakaf mulai diisi.

Tangki air yang menakung air yang disedut tadi merupakan tabung wakaf yang boleh digunakan dengan pelbagai tujuan yang mana hasil akhirnya disalurkan kepada manfaat masyarakat umum.

Tabung Wakaf/Endowment UTeM yang diluluskan pada Disember 2012 bertujuan mengumpulkan dana dari pelbagai pihak, orang ramai, alumni dan kakitangan UTeM sendiri untuk merancakkan aktiviti kesarjanaan di universiti.

Antara objektif tabung ini adalah membiayai aktiviti akademik, penyelidikan dan pembangunan, kebajikan pelajar, pengimarahan, peningkatan budaya ilmu di UTeM seperti prgram Kursi Profesor, penerbitan bahan saintifik, pembangunan fasiliti akademik, penajaan pelajar seperti biasiswa kepada pelajar cemerlang atau tajaan yuran pengajian dan membudayakan amalan memberi sumbangan jangka masa panjang dalam kalangan warga universiti dan masyarakat setempat.

Jumlah dana yang dikumpul tidaklah sama seperti yang diperolehi oleh universiti-universiti ternama di luar negara. Di Universiti Harvard, operasi universiti itu menggunakan dana wakaf berjumlah $23.2 bilion sejak tahun 1979. Endowment Harvard menjadi sumber utama yang menggerakkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran melibatkan lebih 12 ribu dana individu yang dilaburkan untuk program bantuan kewangan, penerokaan penyelidikan saintifik dan pelbagai bidang kesarjanaan.

Pada 2013, agihan wakaf berjumlah $1.5 bilion iaitu sepertiga daripada pendapatan universiti berkenaan. Harvard juga menjadikan wakaf sebagai bayaran untuk kesarjanaan, felow dan kebajikan pelajar.

Pebagai cara boleh digunakan untuk mempromosi tabung wakaf ini. Pertama, ceritakan hal wakaf. Bina sebuah set cerita yang menarik tentang wakaf yang boleh membantu masyarakat memahami konsep wakaf. Cerita ini perlu memasukkan kisah-kisah kejayaan pelaksanaan wakaf di dalam dan luar negara. Cerita merupakan kaedah terbaik untuk menerangkan tujuan atau potensi wakaf kepada masyarakat.

Kedua, usahakan penerangan kepada lebih banyak kumpulan. Rancang dan buat pertemuan kepada kumpulan yang berpotensi bagi membentangkan rancangan wakaf. Kumpulan yang berpotensi mungkin boleh jadi persatuan penduduk, koperasi, institusi keagamaan dan persatuan yang ada kaitan dengan masyarakat.

Ketiga, libatkan surat khabar dan media. Pengaruh surat khabar dan media sangat kuat. Sediakan maklumat berkaitan wakaf dan hantar kepada media. Selain itu, penulis yang dilantik boleh juga menggerakkan pemikiran mereka untuk menerangkan kejayaan memberi wakaf melalui tokoh-tokoh dan projek-projek yang dilaksanakan.

Keempat, sebarkan idea wakaf. Agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempunyai peranan dalam mengenengahkan idea wakaf kepada masyarakat. Berbuat baik dengan kedua-dua institusi ini dapat membantu menambah kefahaman masyarakat.

Kelima, didik masyarakat setempat. Program komuniti boleh menjadi medan mendidik orang ramai tentang wakaf dan bagaimana mereka boleh membantu menjayakannya.

Sasaran kelompok yang berpotensi untuk wakaf adalah pesara, ahli perniagaan, kakitangan awam dan belia.

Konsep wakaf untuk pendidikan tinggi dalam skala besar boleh dikatakan baru muncul di Malaysia kerana kerajaan tidak lagi memberi dana yang besar kepada universiti. Institusi pendidikan ini juga harus mencari dana sendiri. Kesedaran orang ramai terhadap wakaf di insitusi pengajian tinggi boleh ditingkatkan melalui kempen dan penerangan berterusan melangkaui sempadan negara.



No comments:

Post a Comment