Friday, May 22, 2015

Keperluan terus-menerus dalam tarbiah








Jalan dakwah adalah jalan yang panjang, banyak kesulitan dan rintangan yang akan ditempuhi. Para pejuang Islam di Palestine, Chechya, Kashmir dan di seluruh dunia sedang berjuang membebaskan negara daripada cengkaman penentang-penentang mereka. Kegigihan dan kekuatan jiwa yang ada pada mereka adalah teras kepada perjuangan yang berterusan sama ada mereka menang atau tewas. Ramai yang tidak tahan dalam perjuangan sebegini dan penawar yang paling sesuai ketika itu adalah sabar dan yakin dengan kemenangan yang dijanjikan oleh Allah swt.

Almarhun Syed Qutb pernah menyatakan bahawa tarikan terhadap dunia berada pada tiga “ta” iaitu harta, takhta dan wanita. Di mana-mana sahaja tiga “ta” ini akan sentiasa menjadi tarikan yang kuat bagi menarik perhatian individu yang lemah iman dan mengharapkan keseronokan dunia.

Tarbiah adalah satu proses yang berterusan sepanjang masa dan sangat diperlukan sebagai medan membentuk nilai, pemikiran dan sikap diri yang betul terhadap dakwah Islamiyah. Tarbiah kepada para pendakwah adalah kemestian dan harus makin bertambah dari semasa ke semasa. Kayu ukur kepada peningkatan ini ialah bertambahnya pengorbanan, kesabaran dan kebajikan dalam melaksanakan misi dan visi sebagai seorang muslim yang taat dan patuh kepada penciptanya.

“Tidak-Ku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku”. Az Zariat ayat 56

Keimanan sebagai hamba yang patuh kepada Tuhannya perlu sentiasa diperbaharui dan ditingkatkan kerana sumber-sumber penambahan iman ini sangat banyak pada masa kini seperti buku, risalah, seminar, forum dan institusi pendidikan. Semua ini boleh dijadikan sebagai bahan-bahan dakwah yang sangat berkesan. Medan dakwah juga boleh menjadi medan pembentukan diri ke arah yang lebih baik dan berkualiti.

Proses penyampaian dakwah kepada masyarakat pada hari ini semakin mudah dan berkesan. Perubahan dunia yang semakin pantas akibat globalisasi dan era maklumat memerlukan para pendakwah yang sentiasa mempunyai maklumat terkini dan diperbaharui. Peredaran masa menyaksikan pendakwahan memerlukan satu pendekatan yang lebih baik supaya kaedah dakwah itu lebih menarik dan berkesan.

Peranan pendakwah sebagai penyuluh, sangat memberi manfaat kepada orang lain. Oleh yang demikian, pembentukan diri para pendakwah yang lebih sistematik melalui kursus, seminar, program bina insan dan pendedahan terhadap penggunaan teknologi akan membantu mereka mempercepatkan masyarakat mengenali Islam dan kehidupan muslim. Proses ini tidak mengira ruang dan waktu kerana dakwah adalah usaha berterusan yang tidak mengira bila dan di mana ia dilaksanakan. Sumbangan pendakwah terhadap kerja-kerja menyebarkan fikrah Islam akan lebih bermakna jika dilaksanakan bersama-sama di dalam jemaah atau organisasi yang terancang dan bersistematik.

Dalam jemaah yang disertai, suasana soleh dapat dilihat dan dijadikan sebagai panduan membentuk diri, keluarga dan masyarakat yang mengamalkan nilai, pemikiran dan budaya hidup muslim.

Tugas dakwah adalah sambungan daripada tugas para nabi dan rasul. Proses menyeru dan mengajak ahli masyarakat kembali menghayati nilai-nilai hidup Islam adalah sesuatu yang sangat susah dan payah. Nabi Nuh a.s hanya dapat berdakwah kepada 80 orang dalam masa 950 tahun hayat baginda. Namun Nabi Nuh a.s terus berdakwah. Baginda tidak menghiraukan anak dan isteri yang tidak beriman kepada Allah swt ketika berlaku banjir besar kerana tanpa iman, tidak ada makna apa-apa terhadap kehidupan.

Para pendakwah tidak dibentangkan dengan taburan bunga dan permaidani merah dalam usaha mengajak masyarakat kembali tunduk dan patuh kepada Allah swt tetapi disambut dengan kritikan, cemuhan dan tekanan yang menumbuhkan keluhan demi keluhan. Namun begitu, kesusahan fizikal dan mental tidaklah menjadikannya susah hati kerana susah dan payah itulah kemanisan dalam perjuangan dan menyuburkan jiwa.


No comments:

Post a Comment