Tuesday, May 12, 2015

Bandar teknologi hijau Melaka sebagai pusat pelancongan








1.0 Pengenalan

Konsep teknologi hijau diperkenalkan adalah kerana  istilah “hijau” merupakan antara  perkataan paling sensasi pada ketika ini khususnya dalam konteks pembangunan, teknologi  dan inovasi. Teknolog hijau merujuk kepada pembangunan dan aplikasi produk, peralatan,  serta sistem bagi memelihara alam sekitar dan alam semula jadi di samping dapat  mengurangkan kesan negatif yang dilakukan oleh manusia pada masa sekarang yang hanya  mementingkan dirinya sendiri sahaja. Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak  dukungan tinggi terhadap “dasar hijau” ini diharap tidak disalah  tafsirkan  kepada dukungan  warna parti politik dan masyarakat juga  perlu mendokong konsep teknologi hijau  ini untuk  membawa negara Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi dan terkenal di serata dunia  dengan  perkenalan  konsep  ini.

Antara kriteria yang terkandung dalam  konsep teknologi hijau ini ialah ianya mampu  meminimumkan degradasi kualiti  persekitaran  dan mempunyai  pembebasan Gas Rumah  Hijau  (GHG) yang rendah atau sifar. Selanjutnya, teknologi hijau ini juga selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran  yang sihat serta lebih baik untuk semua hidupan  di muka bumi ini. Selanjutnya, teknologi hijau juga mampu menjimatkan tenaga dan sumber  asli  seterusnya menggalakkan pembaharuan  terhadap sumber-sumber asli.

Oleh  itu, dengan mengambil pendekatan yang berbeza maka  pada  Oktober  tahun   2010, Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Ali Rustam telah memperkenalkan konsep Teknologi  Hijau ini untuk membangunkan negeri Melaka yang terkenal sebagai tapak warisan  dunia  dan  bandaraya bersejarah bagi menjadikan Melaka ke arah Negeri Bandar Teknologi Hijau  menjelang 2020 seperti yang disarankan oleh Datuk Seri Najib Razak dalam pelancaran  Dasar  Teknologi  Hijau  Negara (DTHN) pada  24  Julai  tahun  lalu.

Memandangkan Melaka salah sebuah negeri di Malaysia yang  mempunyai  banyak  tempat-tempat menarik seperti A Famosa, Melaka Raya, River Cruise dan  pelbagai  lagi.  Teknologi ini sebenarnya berpotensi besar dalam memacu pembangunan negara  terutamanya dalam bidang  pelancongan. Contonya, dengan konsep Bandar Teknologi Hijau Melaka yang  diperkenalkan dengan identiti  Melaka sebagai “Tapak  Warisan  Dunia”,  tidak  mustahil  ianya  berjaya  menarik  perhatian  ramai  pelancong  dari  negara-negara luar untuk menjadikan Malaysia  sebagai  salah  sebuah  pusat  pelancongan  yang  harus  dikunjungi. 

Dengan pelaksanaan konsep  teknologi hijau sebegini  maka  peluang  pekerjaan  terbuka  luas  kepada  rakyat  tempatan  untuk  meningkatkan  taraf  ekonomi  mereka.  Di samping  itu,  masyarakat juga  dapat mempromosikan barangan-barangan buatan Malaysia ke  peringkat  antarabangsa  jika  dijual  kepada  pelancong  asing  yang  datang  berkunjung  ke  Malaysia  seterusnya  dapat  memperkenalkan  Malaysia  ke peringkat  global.

1.1  Objektif Kajian

Antara objektif kajian yang terdapat adalah untuk mengetahui persepsi pelajar UTeM terhadap konsep bandar teknologi hijau Melaka sebagai pusat pelancongan, untuk  menimbulkan kesedaran pelajar UTeM tentang peranan dan konsep bandar teknologi hijau Melaka serta mempromosi Bandar Teknologi Hijau Melaka sebagai pusat    pelancongan.


2.0 Kajian Literatur

Dalam  kajian  ini, beberapa tempat telah dikunjungi sepertu perpustakaan  dan  pusat  komputer UTeM bagi  mendapatkan  input-input  yang  berguna melalui  penyelidikan  buku-buku  yang  kami  kehendaki  dan  melayari  internet.

Antara buku  yang  diselidiki  untuk  mendapatkan  maklumat  mengenai  tugasan  ini  ialah  buku  yang berjudul Budaya Inovasi. Buku ini menceritakan mengenai komponen-komponen  yang  penting  bagi merealisasikan Konsep Bandar  Teknologi  Hijau  Melaka  yang  sedang  giat  dijalankan  pada  masa  sekarang  dengan  memastikan  ‘kehijauan’  sesuatu  teknologi  itu  berada  pada  tahap  yang  sebenar.  Antara komponennya ialah kesan kepada  alam  sekitar,  konsep  teknologi  hijau yang digunakan perlulah bebas  daripada  unsur-unsur pencemaran untuk  memelihara  alam  sekitar  yang  pada masa  kini  amat  membimbangkan. Seterusnya, memberi manfaat kepada pengguna. Konsep teknologi hijau  yang  direncanakan  juga  perlu  memberi jaminan keselesaan dan keselamatan kepada masyarakat untuk  menggunakannya  seterusnya  memelihara  keindahan  yang  dicipta  melalui konsep  teknologi  hijau.  Selain itu, konsep teknologi hijau juga  perlu  menjadi  pemangkin  kepada kehidupan lestari. Teknologi Hijau yang dibangunkan perlulah dapat  menaikkan semangat  masyarakat  untuk  memajukan  dan  mendisiplinkan  diri  serta  menjaga  persekitaran mereka  daripada  tercemar dengan  memulihara  konsep  teknologi  hijau  yang  telah dilakukan  untuk  membangunkan  sesebuah  negeri.  Naskah ini telah  diterbitkan  oleh  UTM  pada  tahun  2010  yang  ditulis  oleh  Naib Canselor Universiti  Teknologi  Malaysia  (UTM) dan  Pengerusi  Majlis  Kualiti  Alam  Sekeliling  Malaysia. 

Selain daripada  kajian  mengenai  buku-buku  di  gedung  ilmu, kajian juga dibuat melalui  melayari  laman  sesawang. Mengikut laman  sesawang  ini,  Ketua  Menteri,  Datuk  Seri  Mohd   Ali  Rustam  berkata  selepas mendapat  pengiktirafan  negeri  maju  2010,  kerajaan  negeri  memberi  tumpuan  ke arah  bandar  teknologi  hijau  dalam  tempoh  10  tahun  untuk  mengisi  wawasan 2020. Menurutnya lagi,  teknologi  yang  akan  diterokai  oleh  kerajaan  negeri  akan memberi  faedah  besar  dari  segi  peningkatan  kualiti  hidup  rakyat  dan  menjamin kualiti  alam  yang  sekitar  yang  lebih  mampan. 

Di samping itu,  menurut  berita  daripada  akhbar  Utusan  Malaysia  pada  21  Julai  2011 pula, kerajaan  telah  menganjurkan  beberapa  budaya  yang  menggalakkan  masyarakat  supaya  mendokong  konsep  teknologi  hijau  yang  dibangunkan.  Antaranya, budaya  berbasikal  dalam  kalangan  kakitangan  dan masyarakat  di  seluruh  negeri.  Budaya ini  telah  dilancarkan  oleh  Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam untuk menunjukkan  betapa  kerajaan  negeri  Melaka  mengambil  serius  dalam  pelaksanaan  konsep  teknologi  hijau  ini. Sebagai buktinya, seramai  600 peserta  terdiri  daripada  pelbagai  masyarakat  berbilang  kaum  di  DUN  Ayer  Molek telah menyertai program mengayuh basikal mengelilingi sekitar kawasan tersebut meliputi  jarak  sejauh  30  kilometer.  Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN) Ayer Molek, Datuk Md. Yunos Husin berkata, usaha menggalakkan berbasikal sebagai budaya  harian  penduduk di DUN tersebut bertujuan menyokong  usaha  kerajaan negeri  ke  arah  merealisasikan  Negeri  Bandar  Teknologi  Hijau.

Berdasarkan kajian  literatur  yang  dilakukan,  didapati  konsep teknologi  hijau  yang  diperkenalkan di  Melaka  telah  mencapai  tahap  memberangsangkan seperti  yang diharapkan  oleh  bekas  Ketua  Menteri  Melaka  iaitu  Dato’ Seri  Ali  Rustam  yang  merupakan  pengasas  kepada  konsep  ini. Melalui  kajian  ini  juga  didapati  mengetahui  aktiviti-aktiviti  yang  telah dilakukan dan pembangunan bangunan-bangunan  yang  berkonsepkan  teknologi  hijau  yang  telah  didirik

2.1 Kempen Berbasikal Semakin Popular

Budaya berbasikal dalam kalangan kakitangan dan masyarakat di seluruh negeri ini semakin menggalakkan sejak ia mula diperkenalkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam. Terbaharu, Kelab Basikal Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek dan Kayuhan Hijau telah dilancarkan bagi menggalakkan penduduk di kawasan tersebut menjadikan aktiviti berbasikal sebagai budaya harian.

Seramai 600 peserta terdiri daripada pelbagai masyarakat berbilang kaum di DUN Ayer Molek telah menyertai program mengayuh basikal mengelilingi sekitar kawasan tersebut meliputi jarak sejauh 30 kilometer.

2.2 Honda teruskan Kempen Bumi Hijau

Honda Malaysia Sdn. Bhd. meneruskan lagi usaha menyokong Kempen Bumi Hijau kerajaan negeri apabila memperuntukkan RM50,000 untuk menanam lebih 380 pokok melalui dua fasa sekitar negeri itu tahun ini. Pengurus Besar Kanannya, Datuk Azhar Abd. Wahab berkata, ia menunjukkan sokongan syarikat itu terhadap pelbagai usaha yang dilakukan kerajaan negeri ke arah mencapai sasaran negeri bandar teknologi hijau menjelang 2020.

Menurutnya, usaha terbaharu itu adalah susulan selepas Honda memberikan empat unit kereta mesra alam, Insight untuk kegunaan empat pihak berkuasa tempatan negeri ini pada April lalu.

“Hari ini, kami mahu bergerak seiring dengan usaha kerajaan negeri terhadap kempen bumi hijau dan telah menaja 280 pokok daripada pelbagai jenis yang jarang ditemui hari ini untuk generasi akan datang,” katanya.

Menurut Azhar, antara spesies pokok hutan yang ditanam pada program fasa pertama itu adalah kapur, jelutong, kembang semangkuk dan tongkat ali.

“Fasa pertama program ini adalah menanam pokok-pokok hutan untuk tatapan generasi 20 atau 30 tahun akan datang manakala pada fasa kedua 21 Julai ini, sekali lagi kami akan menanam 100 batang pokok di sepanjang tebing Sungai Melaka,” katanya.

Selain penanaman pokok, program itu turut melibatkan kerja gotong-royong membersihkan kawasan yang disertai kakitangan MBMB serta kira-kira 200 kakitangan kilang Honda di Alor Gajah.

Sementara itu, Md. Yunos berharap, lebih banyak pihak swasta tampil dalam membantu kerajaan negeri menjayakan program hijaukan bumi.

2.3 Pemimpin Di Melaka Berbasikal Ke Pejabat Setiap Khamis

Setiap Khamis bermula hari ini, semua pemimpin di negeri termasuk Ketua Menteri akan berbasikal ke pejabat bagi mempraktikkan konsep Bandar Teknologi Hijau yang kini giat dilaksanakan kerajaan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, Khamis dipilih memandangkan pada hari tersebut merupakan Hari Bertemu Pelanggan berbanding Jumaat iaitu Hari Kebajikan.

”Semua pemimpin termasuk ahli- ahli Exco kerajaan negeri, wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan termasuk saya sendiri akan berbasikal ke pejabat setiap hari Khamis.

”Bagi wakil rakyat pula, mereka boleh berkayuh basikal ke Kompleks Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) dan terus bertemu rakyat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan negeri di sini, semalam.

Usaha itu, kata beliau, bersempena dengan sambutan Hari Berbasikal yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri bagi mempergiatkan usaha memperkenalkan Melaka sebagai negeri Bandar Teknologi Hijau menjelang 2020.

2.4 Biodiesel Mula Dijual Di Melaka

Semua kenderaan berdiesel milik kerajaan negeri akan beralih penggunaanya kepada minyak biodiesel kelapa sawit B5 yang mula dijual di 107 stesen minyak di seluruh negeri bermula hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, usaha itu diambil selaras dengan matlamat kerajaan negeri yang ingin menjadikan Melaka sebagai negeri berteknologi hijau.
Menurutnya, penduduk negeri ini juga disaran menggunakan minyak itu yang diadun dengan lima peratus biodiesel kerana selain menjimatkan ia juga mementingkan penjagaan alam sekitar.

”Usaha ini bukan sahaja mengurangkan penggunaan bahan api malah mengurangkan masalah suhu panas yang melanda negeri ini sejak kebelakangan ini,” katanya.

2.5 Seminar Melaka Maju Negeri Bandar Teknologi


Tiga bangunan “hijau” akan diwujudkan bagi menggambarkan secara fizikal bahawa teknologi hijau sedang dilaksanakan di Melaka. Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata tiga bangunan itu akan dibina di satu kawasan seluas 1.36 hektar di Gapam di sini, tidak lama lagi melibatkan kos keseluruhan RM3.5 juta dan dijangka siap dalam tempoh setahun. “Sebuah bangunan bernilai RM2 juta diperbuat daripada bahan kitar semula seperti botol manakala sebuah lagi adalah pejabat Perbadanan Hang Tuah Jaya dan Teknologi Hijau (RM500,000) dan sebuah Restoran Green City (RM1 juta),” katanya kepada pemberita selepas menutup Seminar Melaka Maju Negeri Bandar Teknologi Hijau di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini, Selasa. Mohd Ali berkata apabila siap, tiga bangunan itu akan menggunakan sepenuhnya teknologi hijau termasuk tenaga solar yang dijana melalui sistem penal solar yang dipasang pada bumbung bangunan tersebut.

Beliau berkata teknologi hijau yang dapat meminimumkan impak negatif kepada alam sekitar, disasarkan mampu menjana pendapatan tinggi kepada penduduk Melaka menjelang tahun 2020. Katanya beberapa jawatankuasa akan ditubuhkan bagi memastikan sasaran Melaka Maju Negeri Bandar Teknologi Hijau menjelang tahun 2020 tercapai. Seminar dua hari, yang membincangkan mengenai teknologi hijau, dihadiri lebih 200 peserta termasuk 20 pakar dalam bidang itu, bagi mendapatkan hala tuju dan pelan pembangunan untuk dilaksanakan oleh kerajaan negeri.


2.6 Guru Perlu Tambah Ilmu Teknologi Hijau


Golongan pendidik sama ada di peringkat rendah atau menengah di negeri ini digesa memperkayakan ilmu pengetahuan mengenai teknologi hijau dengan menghadiri seminar atau program berkaitan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, penglibatan guru amat penting dalam memberikan kefahaman kepada para pelajar mengenai teknologi hijau selaras dengan usaha kerajaan negeri menjadikan Melaka sebagai negeri Bandar Teknologi Hijau menjelang 2020.

Menurutnya, setiap masyarakat dari pelbagai lapisan umur perlu faham mengenai teknologi baru yang akan diperkenalkan itu bagi memastikan keberkesanan ketika dilaksanakannya kelak.

”Dalam menjayakan misi ini, setiap masyarakat mempunyai peranan masing-masing dan perlu turut menyumbang ke arah menjayakannya, justeru itu semua mesti benar-benar faham mengenai teknologi hijau ini,” katanya.


3.0 Metodologi  Kajian

Metodologi merupakan aspek penting bagi melakukan penyelidikan kajian. Ia bertujuan memastikan kaedah pengumpulan data untuk penyelidikan kajian yang digunakan bersesuaian dengan matlamat dan objektif kajian yang hendak dicapai. Oleh itu, dalam bab ini akan membincangkan dan menjelaskan kaedah-kaedah kajian yang digunakan untuk mendapatkan data yang dikehendaki bagi menganalisis kajian yang dijalankan. Bab ini juga akan menyentuh aspek-aspek seperti reka bentuk kajian, tempat (lokasi) kajian, sampel kajian dan cara kerja kajian.

3.1 Rekabentuk Kajian

Kajian ini adalah kajian deskriptif. Kajian ini juga bertujuan untuk melihat kesefahaman pelajar UTeM terhadap Konsep teknologi Bandar hijau Melaka sebagai pusat pelancongan. Menurut Mohd. Majid (2000), kajian deskriptif adalah penyelidikan yang bermatlamat untuk menerangkan sesuatu fenomena dan kaedah ini tidak memerlukan usaha untuk mengawal sesuatu olahan. Kajian korelasi akan memberi penekanan kepada penentu dan melihat sejauh manakah hubungan antara pembolehubah (Mohd. Majid, 2000). Tuckman (1998), menjelaskan bahawa kajian bentuk kolerasi melibatkan pengumpulan data atau lebih set data daripada satu kumpulan responden untuk menentukan hubungan di antara set data tersebut.

Berdasarkan rasional yang diberi maka kajian deskriptif berbentuk kajian tinjauan didapati sesuai dan dipilih sebagai reka bentuk kajian yang digunakan dalam kajian ini. Reka bentuk ini dapat memberi gambaran yang komprehensif bagi sesuatu pembolehubah yang dikaji dengan menggunakan peratusan. Maklumat-maklumat yang dianalisa dan diinteprasi daripada data-data mentah menggunakan kaedah statistik diskriptif dan statistik inferensi dipercayai dapat menjawab objektif kajian yang menjadi fokus kajian ini.

3.2 Sampel Kajian

Menurut Webster (1985), sampel adalah bahagian set responden yang dipilih daripada populasi yang lebih besar untuk tujuan kajian. Manakala menurut Portney dan Walkin (1993), sampel adalah subset populasi yang dipilih untuk dikaji. Sampel adalah penting kerana ia melambangkan kekuatan keputusan kajian nanti. Responden yang terpilih adalah terdiri daripada semua jenis kaum iaitu Melayu, Cina dan India. Responden kajian ini juga terbahagi kepada dua jantina iaitu lelaki dan perempuan. Responden dipilih secara rawak untuk menjalani kajian ini.

3.3 Instrumen Kajian

Dalam kajian ini, medium yang digunakan untuk mengumpul maklumat adalah borang soal selidik. Ini kerana, borang ini sesuai digunakan bagi mendapatkan maklumat berdasarkan kepercayaan, perasaan dan kehendak individu itu sendiri. Menurut Mohd. Majid, 2000, soal selidik lebih praktikal dan berkesan  digunakan untuk populasi yang besar. Setiap soalan yang dikemukakan di dalam borang soal selidik adalah seragam dan piawai terhadap semua responden. Dengan itu, maklum balas yang diterima daripada responden tidak akan dipengaruhi dengan arahan tambahan atau penyataan tambahan.

Dalam kajian ini, jenis soal selidik yang digunakan ialah soal selidik jawapan dipilih. Soal selidik jenis ini mempunyai soalan atau penyataan berserta dengan cadangan jawapan atau gerak balas. Responden perlu membaca dan memahami penyataan dan memilih jawapan paling sesuai berdasarkan cadangan jawapan yang diberi.

Penggunaan soal selidik dipilih adalah disebabkan soal selidik jenis ini mudah diuruskan. Soalan yang dikemukakan dan cadangan jawapan yang diberi memudahkan responden menjawab dengan cepat dan tepat. Soal selidik jawapan juga tidak memerlukan responden untuk memberikan idea-idea tambahan. Selain itu, maklumat-maklumat yang diperoleh melalui soal selidik jawapan ini lebih tersusun dan jelas. Hal ini memudahkan penganalisisan data dilakukan.

Dalam kajian ini, borang soal selidik mempunyai dua bahagian. Bahagian-bahagian tersebut adalah Bahagian A iaitu soal selidik maklumat diri dan Bahagian B soal selidik tentang persepsi responden terhadap Bandar teknologi hijau.

Pengukuran adalah penting dalam setiap penyelidikan yang dijalankan. Namun persoalan yang sering ditimbulkan adalah kebolerpercayaan iaitu sejauh manakah sesuatu pengukuran itu boleh memberikan skor yang sama apabila diguna berulangkali ke atas responden yang sama dan kesalahan iaitu adakah pengukuran itu mengukur apa yang perlu diukur. Menurut Babbie (1992), kebolehpercayaan adalah penting dalam menentukan samada sesuatu teknik yang diguna akan menghasilkan keputusan yang sama jika diguna berulangkali kepada responden yang sama.

Kebolehpercayaan dirujuk sebagai ketekalan teknik pengukuran yang digunakan. Instrumen yang mempunyai kebolehpercayaan mampu memberi skor yang hampir – hampir sama berulang kali. Menurut Mohd. Majid (2000), kebolehpercayaan sesuatu alat pengukuran boleh ditentukan dengan menggunakan indeks kebolehpercayaan. Indeks kebolehpercayaan adalah pekali yang menunjukkan sesuatu alat ukur (Mohd. Majid, 2000).

Dalam kajian ini, kebolehpercayaan instrument kajian yang diuji menggunakan kaedah bentuk persamaan (equivalent-forms method) yang mana soal selidik telah diberikan kepada 50 orang respoden dan hasil kajian tersebut telah dianalisis mengikut bilangan dan peratusan dengan menggunakan Microsoft Excel 2013.


4.0 Hasil Kajian

Soal selidik diagihkan kepada 50 orang responden yang merangkumi pelbagai latar belakang.


Rajah 1: Jantina responden

Berdasarkan rajah 1, terdapat 50 responden, 24 (48%) orang dari responden tersebut merupakan perempuan manakala 26 (52%) orang dari responden tersebut merupakan lelaki.


Rajah 2: Bangsa responden

Dari rajah 2, 8% (4) daripada mereka merupakan bangsa India, 32% daripada mereka berbangsa Cina dan 60% daripada responden tersebut merupakan bangsa Melayu.


Rajah 3: Melaka wajar mengamalkan konsep teknologi hijau

Berdasarkan rajah 3, peratus orang yang sangat setuju dengan soalan ini ialah 62%, orang yang setuju pula ialah 30%, manakala tidak pasti  dan tidak setuju 4% dan tiada sangat tidak setuju.


Rajah 4: Melaka dikenali sebagai bandar teknologi hijau

Berdasarkan rajah 4, peratus orang yang sangat setuju dengan soalan ini ialah 26%, orang yang setuju pula ialah 40%, manakala tidak pasti 28% dan sangat tidak setuju 6% serta tiada yang tidak setuju.


Rajah 5: Amalan konsep teknologi hijau dapat meningkatkan
kualiti kehidupan penduduk

Berdasarkan rajah 5, peratus orang yang sangat setuju dengan soalan ini ialah 24%, majoriti orang yang setuju pula ialah 52%, manakala tidak pasti 6% dan masing-masing tiada yang tidak setuju dan sangat tidak setuju.


Rajah 6: Amalan konsep teknologi hijau dapat menarik
lebih banyak pelancong asing

Berdasarkan rajah 6, majoriti peratus orang yang sangat setuju dengan soalan ini ialah 50%, orang yang setuju pula ialah 44%, manakala tidak pasti 6% dan masing-masing tiada yang tidak setuju dan sangat tidak setuju.


Rajah 7: Jumlah aplikasi konsep teknologi hijau di Melaka amat mengagumkan

Berdasarkan rajah 7, peratus orang yang sangat setuju dengan soalan ini ialah 14%, orang yang setuju pula ialah 46%, manakala tidak pasti 28% dan masing-masing tiada yang tidak setuju dengan sangat tidak setuju 6%.


Rajah 8: Konsep teknologi hijau yang diamalkan memberi manfaat kepada rakyat

Berdasarkan rajah 8, peratus orang yang sangat setuju dengan soalan ini ialah 36%, orang yang setuju pula ialah 40%, manakala tidak pasti 18%,  tidak setuju  6% dan tiada yang sangat tidak setuju.


Rajah 9: Saya kerap menggunakan kemudahan teknologi hijau

Berdasarkan rajah 9,  peratus orang yang sangat setuju dengan soalan ini ialah 34%, orang yang setuju pula ialah 26%, manakala tidak pasti 22%, tidak setuju 14% dan sangat tidak setuju 4%.


Rajah 10: Kejayaan Melaka sebagai pusat pelancongan yang terkenal banyak dipengaruhi oleh konsep teknologi hijau yang diamalkan

Berdasarkan rajah 10, peratus orang yang sangat setuju dengan soalan ini ialah 22%, orang yang setuju pula ialah 36%, manakala tidak pasti 34, tidak setuju 6% dan sangat tidak setuju 2%.


Rajah 11: Amalan teknologi hijau hanya membazir masa dan tidak diperlukan

Berdasarkan rajah 11, peratus orang yang sangat setuju dengan soalan ini ialah 8%, orang yang setuju pula ialah 4%, manakala tidak pasti 4%, tidak setuju 22% dan sangat tidak setuju 52%.


Rajah 12: Bandar Melaka berpesat membangun disebabkan
amalan teknologi hijau

Berdasarkan rajah 12,  peratus orang yang sangat setuju dengan soalan ini ialah 8%, orang yang setuju pula ialah 18%, manakala tidak pasti 34% dan tidak setuju 10% dan sangat tidak setuju 4%.


5.0 Kesimpulan

Berdasarkan analisis yang telah dibuat, didapati bahawa majoriti responden bersetuju dengan setiap soal selidik yang berkaitan dengan konsep Bandar Teknologi Hijau Melaka sebagai pusat pelancongan. Contohnya, bagi soalan yang berkaitan dengan Negeri Melaka wajar mengamalkan konsep teknologi hijau, terdapat 31 responden daripada 50 responden sangat setuju dengan persoalan yang dikemukakan dalam kertas soal selidik. Hampir 62% responden bersetuju dengan persoalan tersebut.

Seterusnya, bagi soalan yang berkaitan dengan Negeri Melaka dikenali sebagai Bandar Teknologi Hijau pula hanya 40% responden setuju dengan persoalan tersebut. Hal ini bermakna pengetahuan am masyarakat Malaysia berkurangan dan pendedahan terhadap pengamalan teknologi hijau berkurangan. Seterusnya, bagi soalan amalan konsep teknologi hijau dapat meningkatkan kualiti kehidupan penduduk seramai 24% responden telah sangat setuju manakala 52% responden hanya setuju serta 6% responden pula tidak pasti.

Di samping itu, bagi soalan amalan konsep teknologi hijau dapat menarik lebih banyak pelancong asing ke Melaka pula terdapat 50% responden yang sangat bersetuju dengan persoalan tersebut. Hal ini menunjukkan bahawa Negeri Melaka mempunyai pendapatan terbesar dalam industri pelancongan. Kenyataan tersebut tidak boleh dinafikan kerana Negeri Pulau Pinang yang juga merupakan negeri pelancongan tetapi tidak seramai pelancong yang melancong ke negeri tersebut. Tambahan pula, bagi soalan jumlah aplikasi konsep teknologi hijau di Melaka amat mengagumkan. Pekara tersebut menunjukkan bahawa masyarakat kini menghayati konsep teknologi hijau yang diamalkan di Bandar Melaka.


Rujukan

Angelo A. Calvello. (2009). Enviroment Alpha. USA: Wiley.

Lawrence Webber and Michael Wallace. (2009). Green Tech. USA: American Management Association.

Michael F.Ashby. (2009). Materials and The Enviroment Canada. USA: Heineman.

Osman Attmann. (2009). Green Architecture Advancedand Marterials. Los Angeles, USA: Mc Graw Hill.

http://issuu.com/anwar_towerplan/docs/melaka_experience_in_developing_and_managing_green

http://www.melakagreentech.gov.my/2011/07/kempen-berbasikal-makin-popular/



MZ Zainudin, Teh Hsien Her, Kabelan A/L P.Manickavelu, Sunito A/L Ngah Man, Nur Intan Athirah Abu Mansor, Nur Ain Nazifa Zakaria, Clera Vive Binti Syemlie, Hazali Misbahulmuzim


No comments:

Post a Comment