Wednesday, May 13, 2009

Senario gejala sosial di Malaysia (7)

3.8 Tingkah laku devian pelajar sekolah

Kes yang melibatkan dua pelajar perempuan memukul dan menendang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Perlis tidak lama dahulu menunjukkan persepsi pelajar terhadap guru telah berubah. Aksi dua orang pelajar sekolah berkenaan yang memukul dan menendang guru mereka telah dirakam dan disiarkan di media. Sekolah juga sedang menjadi tempat merebaknya kes-kes buli dalam kalangan pelajar sekolah sama ada di dalam ataupun luar kawasan sekolah. Tingkah laku devian berkait dengan pelbagai sebab sama ada di dalam sekolah atau di luar kawasan sekolah. Pada tahun lepas, sebanyak 2,218 kes jenayah melibatkan 3,725 pelajar dan daripada jumlah itu, sebanyak 3,629 kes adalah melibatkan pelajar yang berumur di antara 13 dan 18 tahun.

Dalam Carta 1, jenayah yang paling banyak ialah curi motor diikuti mencuri. Seramai 295 orang yang terlibat dari bulan Januari hingga Februari tahun ini berbanding 233 orang tahun lepas. Jumlah ini adalah isyarat kepada peningkatan kes-kes jenayah yang melibatkan pelajar sekolah. Pada tahun 2007, sebanyak 1,936 kes dengan 3,383 pelajar dan seramai 3,241 pelajar berumur di antara 13 dan 18 tahun. Kes-kes tangkapan ini dikaitkan dengan jenayah yang serius seperti pembunuhan, rogol dan pecah rumah.

Carta 1: Pecahan jenayah pesalah juvana (13-18 tahun), Jan-Feb 2009

Stevenson (1991) mencatatkan beberapa penemuan berkaitan tingkah laku devian pelajar. Antaranya beliau memetik Doyle (1979) sebagai berpendapat tingkah laku berkenaan khususnya pada awal sesi persekolahan sekolah adalah untuk menguji keupayaan pengurusan guru bagi mencapai agenda peribadi tertentu. Manakala dapatan oleh Doyle dan Carter (1984) menunjukkan pelajar cuba memperlahankan kehendak-kehendak dalam garis panduan kelas mereka. McDermott (1976) berpendapat pelajar hendakkan perhatian guru mereka.

Dalam artikel ‘deviant students as a collective resource in classroom control,’ Stevenson menyatakan pelajar dengan tingkah laku devian adalah sumber penting untuk membantu pengawalan kelas berbanding menganggap pelajar berkenaan sebagai masalah utama kepada guru. Baginya, pelajar demikian adalah produk pengurusan sosial di dalam kelas, bukannya produk daripada pengurusan kelas yang lemah. Pengurusan sosial di dalam kelas dan pengurusan kelas adalah dua perkara yang berbeza. Tingkah laku devian yang semakin tidak terkawal adalah jangkaan hanya di peringkat individu (Boehnke dan Winkels, 2002). Hubungan keluarga dan kehidupan bermasyarakat dapat menghalang remaja daripada terlibat dalam aktiviti membuang masa dan membina tingkah laku devian mereka.

Kedua-duanya melihat turun naik kes-kes jenayah dan tingkah laku yang menyimpang dari norma masyarakat lebih banyak disebabkan oleh perubahan yang berlaku di dalam politik dan ekonomi masyarakat. Delikuensi juvana yang sering menimbulkan konflik di antara orang dewasa dan remaja adalah merujuk kepada merokok di bawah umur, minum arak dan mamandu tanpa lesen dikatakan sering menjadi simbol kepada remaja untuk mempamerkan kedewasaan. Sebagai contoh, Eisenstadt (1956) dan Mead (1970) berkata memakai simbol Nazi di kawasan sekolah boleh ditakrif sebagai tingkah laku yang tidak dapat diterima oleh guru malah sebahagian besar masyarakat.

Rajah 1: Konsep model hubungan di antara perubahan sosial yang pesat dan tingkah laku devian di sekolah (Boehnke dan Winkels, 2002)

Dari segi ekonomi, perubahan yang yang pantas berlaku telah melahirkan keluarga yang berada di bawah bebanan kewangan, hubungan keluarga semakin longgar, perhatian ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak semakin diabaikan dan komunikasi dengan anak-anak semakin merosot hingga timbulnya tingkah laku devian di kalangan anak-anak. Pelajar tidak bertindak sendirian apabila mengambil keputusan untuk berkelakuan ganas di sekolah sebaliknya digalakkan oleh kumpulan. Menurut Hagan (1991,1994), perubahan sosial yang pesat membantu menambah kecenderungan pelajar terhadap aktiviti rakan sebaya yang menjurus pada tingkah laku devian yang muncul kerana persekitaran sub budaya sedia ada yang turut menghargai tingkah laku berkenaan.

Boehnke dan Winkels (2002) membuat model hubungan di antara perubahan sosial dengan tingkah laku devian pelajar di sekolah yang merangkumi gangguan terhadap guru, merosakkan harta benda, memukul pelajar yang lemah, menyebar gosip rakan kelas, bergaduh, mencabar pelajar lain dan mencederakan guru (Rajah 1). Kesimpulan kajian tersebut ialah keibubapaan dilihat sangat penting untuk mengawal tingkah laku devian di sekolah walaupun perubahan sosial yang pantas kerana faktor politik dan ekonomi. Ibu bapa yang mempunyai kata pemutus wajar menjadi penjaga kepada tingkah laku pelajar.

Felson (1996) menyatakan bahawa dalam kebanyakan pendapat, kanak-kanak meniru aksi ganas yang mereka lihat di televisyen. Proses meniru ini diberi penekanan dalam teori pembelajaran sosial. Walaupun pelajar-pelajar telah menjangkau umur 14 tahun tetapi pendedahan terhadap aksi di televisyen dan media elektronik yang lain bermula sejak mereka berumur 3 hingga 5 tahun. Sesetengah aksi itu telah sebati dalam jiwa mereka, jadi bergaduh dan menendang adalah sebahagian daripada cara mereka ketika membesar.

No comments:

Post a Comment