Tahun: 2009
Penerbit: Institut Terjemahan Negara Malaysia, Kuala Lumpur.
Muka surat: 424
Barack Obama telah menjadi presiden Amerika Syarikat yang ke-44. Laluan berliku yang dilalui sebagai anggota Senat dari Parti Demokratik telah mematangkannya sebagai seorang pemimpin politik yang bijak menyusun strategi dan meraih sokongan sebahagian besar pengundi A.S. Obama telah berjaya memecah dominasi bangsa kulit putih sebagai satu-satunya presiden negara itu selama 232 tahun. Rakyat A.S membuat perubahan yang sangat ketara dalam nilai, persepsi dan sikap mereka terhadap politik iaitu seseorang tidak boleh dinilai berdasarkan keturunan dan warna kulit sebaliknya dinilai berdasarkan kebolehan dan daya intelek yang tinggi.
Membaca buku ini dari awal hingga akhir adalah pengalaman yang mengasyikkan, penuh suspen dan dapat dibayangkan Obama memiliki set nilai yang diperlukan sebagai seorang presiden yang mewakili pelbagai bangsa yang mendiami bumi Amerika. Sembilan bab semuanya, namun empat bab yang awal menjadi teras kepada keberanian beliau untuk mendaki puncak presiden. Bab-bab ini ialah Republikan dan Demokrat, Nilai, Perlembagaan Kita dan Politik.
Dalam bab Republikan dan Demokrat, Obama menjelaskan perbezaan dasar dan strategi yang digunakan oleh kedua-dua parti ke atas nilai-nilai nasional. Republikan adalah parti yang memberi perhatian kepada golongan korporat dan elit, Demokrat pula cuba meyakinkan rakyat Amerika yang parti itu mengambil berat golongan menengah dan bawahan.
Bab kedua, Nilai, Obama menjelaskan panjang lebar nilai-nilai yang ada pada masyarakat Amerika dan cuba mengenal pasti beberapa nilai teras yang ada di hadapan mata. Dua nilai yang penting ialah moral dan mengambil berat keselamatan negara. Beliau juga menekankan betapa pentingnya memiliki rasa empati dalam kehidupan supaya kita dapat merasai kesusahan dan perasaan orang lain. Antara ungkapan yang menarik ialah ‘dengan usaha sendiri, kita boleh, dan perlu mencipta kehidupan masing-masing’ dan ‘dengan kegigihan, usaha dan kebijaksanaan, kita berupaya mengharungi cabaran dan memperbaiki kehidupan serta takdir masing-masing’.
Bab ketiga, Perlembagaan Kita, Obama menghuraikan kefahamannya terhadap pelaksanaan demokrasi di A.S sebagai pilihan terbaik dalam sebuah negara yang mempunyai masyarakat pelbagai budaya dan latar belakang. Beliau juga menyentuh kelemahan demokrasi yang hanya boleh memberi rangka kerja dan peraturan tetapi memberi kepatuhan kepada peraturan berkenaan semata-mata tidak akan menjamin sebuah masyarakat yang adil atau menjamin persetujuan berdasarkan apa yang saksama. Satu petikan yang menarik ialah ‘kerakyatan Amerika adalah satu keistimewaan dan bukannya hak’ yang menjelaskan betapa pentingnya menjadi seorang warganegara yang baik. Dalam kerakyatan terdapat kewajipan iaitu kewajipan untuk menggunakan bahasa yang sama, kesetiaan yang sama, matlamat yang sama dan menerima nasib yang sama juga.
Obama berpendapat kemenangan dalam politik sebahagian besarnya bergantung pada sama ada seseorang itu dikenali atau tidak. Justeru, dalam bab empat ini iaitu Politik, Obama sentiasa membuat tinjauan pendapat sebelum membuat pengumuman untuk bertanding kerana kaedah itu boleh menentukan sejauh mana pengaruh politiknya dapat bertahan. Dalam politik, seseorang harus memiliki kepakaran tertentu, bukan hanya bercakap atau mengira angka. Umapanya, semasa berhadapan dengan pengundi, Obama akan menggunakan tiga ayat yang penting iaitu pertama: saya adalah sahabat anda, kedua: Amerika ialah tempat kelahiran tamadun, dan ketiga: anda adalah sebahagian daripada impian rakyat Amerika. Beliau juga tidak menafikan peranan media sangat penting dalam politik.
Bab-bab seterusnya adalah pandangan Obama terhadap kaum, kehidupan berkeluarga dan kisah kehidupannya di Indonesia. Walaupun beliau lahir dengan berayahkan orang Islam dan ibunya seorang kristian, pengalamannya mengamalkan ajaran kristian di A.S menampakkan perbezaan di antara kristian kulit putih dan kulit hitam seperti gereja yang dikhaskan kepada kulit putih sahaja. Namun begitu, tahap toleransi beliau terhadap amalan beragama lebih bersifat liberal.
Liberalisasi mengajar kita menjadi lebih bertoleransi terhadap kepercayaan agama orang lain.’ |
Beliau yakin dengan formula paderi Jefferson dan Leland iaitu kebebasan agama wajar digalakkan supaya perbalahan antara agama dapat dielakkan dan institusi keagamaan akan terus berkembang. Bagaimanapun cara ini hanya dapat dicapai jika institusi agama ini tidak disokong oleh kerajaan sebaliknya sebagai ganjaran ke atas daya usaha sukarela agama.
Begitu juga pandangan Obama terhadap hubungan kaum. Ianya sangat menarik. Beliau amat mengambil berat keadaan masyarakat kulit hitam A.S dan mengikuti perkembangan mereka dengan rapat. Bagi beliau, semua harta di dunia tidak dapat meningkatkan pencapaian pelajar sekiranya ibu bapa mereka sendiri tidak berusaha menam semangat belajar dan sabar menanti ganjaran. Mana-mana kaum sama ada kulit putih, hitam, Asia atau Hispanic boleh berjaya jika bekerja keras seandainya diberi peluang. Katanya ‘kita hanya boleh bersaing jika kerajaan membuat pelaburan yang memberi kita peluang untuk bersaing selain jaminan bahawa keluarga kita akan dibantu sekiranya ditimpa kesusahan’. Oleh itu, bagi Obama, kerajaan wajar membantu mewujudkan asas peluang dan keyakinan terhadap tanggungjawab bersama antara satu sama lain.
Editor: Buku ‘Keberanian menggapai harapan’ wajar dibaca oleh pemimpin politik negara kita dan mereka yang bercita-cita untuk menjadi pemimpin dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia kerana idea Obama ialah melihat pencapaian dan kejayaan seseorang berdasarkan pada nilai dan daya intelek yang ada pada dirinya, bukan kerana mewarisi keturunan sesuatu kaum. Jika ditinjau dengan lebih mendalam, beliau seolah-olah menggambarkan kaum minoriti juga boleh berjaya jika mereka bekerja keras dan berusaha menjadi warganegara yang baik. Kaum-kaum minoriti yang asalnya susah dan tidak mendapat gaji yang banyak tetapi sanggup berusaha agar mendapat kehidupan yang lebih baik. Obama dapat berkata begitu kerana beliau membesar bersama-sama anak petani, orang gaji, tukang jahit dan kerani. Pernah mengejar ayam, dikejar oleh kerbau, menonton wayang kulit dan mendengar cerita hantu. Negara akan menjadi lebih baik jika dapat mengenal pasti bakat setiap individu dan menggunakannya pada tempat dan masa yang betul. Lalu Barack Obama telah membuktikan bahawa beliau adalah seorang pemimpin kulit hitam yang berbakat dan layak menjadi presiden Amerika Syarikat.
No comments:
Post a Comment