Friday, May 08, 2009

Senario gejala sosial di Malaysia (2)

3.0 Jenis-jenis Gejala Sosial

Tidak dapat dinafikan impak globalisasi dan modenisasi kepada masyarakat di bandar dan luar bandar sangat besar. Kegagalan menghadapi asakan dua elemen ini menjadikan keluarga dan masyarakat tertinggal dalam banyak bidang. Contohnya, kemunculan telefon bimbit berkamera menimbulkan pula masalah kepada privasi individu. Gambar dan aksi yang tidak senonoh mudah diperoleh di laman-laman web seperti YouTube dan Metacafe yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak. Umpama kejayaan membiakkan kejayaan, gejala sosial juga akan membiakkan masalah demi masalah jika tidak diatasi dengan segera.


Amaludin dan Khadijah (2006) menyenaraikan 24 jenis gejala sosial yang melibatkan penghuni pusat pemulihan akhlak lelaki dan perempuan di seluruh negara. Gejala sosial yang dikenal pasti ialah merokok, menonton video lucah, putus cinta, mencuri, lari dari rumah, minum arak, tonton filem lucah, pil khayal, berjudi, simpan gambar lucah, hubungan jenis luar nikah, peras ugut, pecah rumah, hisap dadah, rogol, samun, rasuah, maksiat, bercerai dan jenayah bunuh.

Selain daripada gejala sosial di atas, penghuni lelaki turut terlibat dalam seks rambang, bohjan dan homoseksual manakala penghuni perempuan terlibat dalam bohsia, lesbian, pelacur, gugur anak dan buang anak. Dalam kajian lain, sebanyak 1.13 peratus remaja dilaporkan terlibat dengan kes buang bayi, 40 peratus menonton bahan lucah, 16 peratus berjudi, 70 peratus merokok, 14 peratus terlibat dalam penyalahgunaan dadah, 25 peratus mengambil minuman keras dan 18 peratus melakukan seks bebas.

Selain daripada berpuluh-puluh gejala sosial yang sentiasa berlaku dalam masyarakat, kertas kerja ini memberi tumpuan kepada beberapa gejala sosial yang sering menjadi perhatian dan mencetuskan kebimbangan dalam kesejahteraan hidup. Berikut adalah antara isu sosial yang diketengahkan dalam kertas kerja ini.

3.1 Penderaan kanak-kanak

Isu penderaan kanak-kanak telah menjadi topik perbicaraan pada awal tahun 1990-an yang merupakan satu masalah yang sangat membimbangkan masyarakat dan kerajaan. Penderaan ialah satu tindakan yang mempunyai niat atau tujuan untuk merosakkan, mencederakan atau membunuh orang lain (Khadijah, 2005). Penderaan melibatkan tiga bentuk iaitu fizikal, seksual dan emosi. Penderaan fizikal ditafsirkan sebagai keganasan yang menyebabkan kecederaan otak, lebam yang teruk, kecacatan anggota tubuh, patah tulang, lecur atau terbakar, dicucuh dengan puntung rokok dan sebagainya. Kesan kepada mangsa ialah trauma dan ketakutan melampau apabila berdepan dengan orang dewasa (fobia), luka dan cedera yang kekal, rosak saraf otak dan urat saraf (cacat seumur hidup) dan perkembangan mental menjadi lembap kerana menderita ketegangan saraf.


Penderaan seksual merujuk segala bentuk aktiviti seksual yang mempunyai tujuan untuk memenuhi tuntutan nafsu seks orang dewasa. Ianya melibatkan eksploitasi bahagian sulit kanak-kanak, dicabul, dirogol dan dipaksa melacur. Kesan kepada mangsa ialah luka dalam kemaluan, penyakit kelamin, mengandung, traumatik, pengkhianatan, stigma (malu, rasa bersalah) dan tidak berkuasa (untuk melawan). Penderaan emosi ialah gangguan yang substansial dan boleh dilihat pada fungsi mental atau emosi kanak-kanak yang didalilkan dengan, antara lain, kecelaruan mental atau tingkah laku termasuk keresahan, kemurungan, penyendirian, kelangsangan atau perkembangan lambat. Kesan ke atas mangsa berlaku secara bertahap mengikut umur seperti ponteng sekolah, tidak minat dengan pelajaran, suka mencuri, berbohong, kelihatan murung, sering mengasingkan diri dan lari dari rumah sebanyak dua kali.

Dalam Jadual 1, kes penderaan lebih banyak melibatkan kanak-kanak perempuan khususnya di Negeri Sembilan, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sarawak, Selangor dan Terengganu. Di Perlis, nisbah kanak-kanak lelaki dan perempuan yang didera adalah 1:10 iaitu satu jumlah yang sangat tinggi. Negeri-negeri lain menunjukkan bilangan kes penderaan yang seimbang namun trend keseluruhannya adalah semakin meningkat. Kes penderaan pada tahun 2002 ialah 1242 kes, meningkat kepada 1390 pada 2003, seterusnya 1656 pada 2004. Dalam tahun 2005, jumlah kes bertambah kepada 1800 dan menokok kepada 1999 pada 2006. Dalam semua tahun, jumlah kes penderaan yang dilaporkan adalah dua kali ganda bagi kanak-kanak perempuan berbanding lelaki.

Latar belakang pelaku adalah pemabuk dan penjudi, penagih dadah, penjenayah, masalah mental, terasing secara sosial, percaya pada bomoh, anak sebagai beban kemiskinan dan pengalaman didera semasa kanak-kanak. Manakala hubungan pelaku dengan mangsa ialah pelaku lahir dalam perkahwinan bermasalah, ibu tunggal dan ibu remaja. Mangsa penderaan dan pengabaian akan mengalami kesan yang berkekalan dan terpaksa menanggung penderitaan sehingga menjejaskan perkembangan kognitif, kesihatan mental, kestabilan emosi dan penyesuaian sosialnya. Kesan-kesan penderaan ini penting untuk diketahui kerana ia dapat dijadikan sebagai asas dan panduan untuk menyusun langkah-langkah secara efektif dan program rawatan yang lebih berkesan bagi mengurangkan penderitaan dan kesakitan yang terpaksa ditanggung oleh kanak-kanak yang pernah menjadi mangsa penderaan.

Menurut Amar Singh, Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Ipoh, dijangkakan lebih 10 peratus daripada populasi kanak-kanak negara ini dipercayai pernah dan terus mengalami penderaan dan gangguan seksual.

No comments:

Post a Comment