Thursday, May 28, 2009

Cari jodoh

Kali pertama mendengar lagu ‘Cari Jodoh’ dari kumpulan Wali, kepala mula bergoyang, liuk lentok ke kiri kanan dan badan melenggok-lenggok. Rentak muzik yang rancak, sesuai sekali dengan cita rasa orang muda yang energetik dan dinamik. Tenaga dari muzik lagu ini menyegarkan emosi dan membangkitkan ghairah untuk mendengarnya berkali-kali.

Lagu yang memikat dan lirik yang unik adalah penarik utama. Ia begitu popular dan menjadi siulan ketika ini. Gelora orang muda yang ingin mencari kekasih hati diterjemahkan di sebalik lirik lagu ini.

Apa salahku, Apa salah ibuku- Hidupku dirundung pilu- Tak ada yang mau dan menginginkan aku- Tuk jadi pengobat pilu- Tuk jadi penawar rindu- Tuk jadi kekasih hatiku,
Timur ke Barat- Selatan ke Utara- Tak juga aku berjumpa- Dari musim duren hingga musim rambutan- Tak kunjung aku dapatkan- Tak jua aku temukan- Oh Tuhan inikah cobaan,
Ibu-ibu bapak-bapak- Siapa yang punya anak- Bilang aku- Aku yang tengah malu- Sama teman-temanku- Kerna cuma diriku yang tak laku-laku,
Pengumuman-pengumuman- Siapa yang mau bantu- Tolong aku kasiani aku- Tolong carikan diriku kekasih hatiku- Siapa yang mau.


Rangkap awal ‘Cari Jodoh’ mengisahkan nasib malang tidak mendapat teman hidup. Tidak ada siapa pun yang mahu berkenalan atau mahu bermesra. Sama ada lelaki atau perempuan, kekosongan jiwa kerana bersendirian tidak dapat disimpan begitu saja. Hidup perlu berteman, rakan dan pasangan supaya rasa sedih dan kecewa dapat diubat, rindu dendam dapat dileraikan dan menjadi tempat bermanja.

Sesetengah orang sangat runsing apabila tidak dapat bertemu dengan pasangan hidup yang sesuai. Hidup terasa sunyi walaupun kawan dan kenalan ramai. Ke sana sini, dari tahun ke tahun tapi masih belum ada yang melekat di hati.

Dari timur ke barat, utara ke selatan tidak juga bertemu. Tempat bukanlah alasan untuk berasa kecewa jika gagal mencari cinta. Jarak yang jauh tidak menjadi masalah jika ada yang berkenan. Namun, jika duit belanja sudah habis, badan semakin letih, apa guna lagi berharap untuk berkasih. Walau apa pun yang difikirkan, usaha mencari kekasih hati tidak boleh ditangguhkan begitu saja.

Inilah ujian dalam hidup. Insya Allah setiap langkah yang dijejak, setiap wang yang dibelanja, setiap peluh yang mengalir, pasti ada ganjarannya. Butir-butir cinta mula tumbuh selepas bermuhasabah diri. Mencari kesilapan dan kesalahan diri terhadap Allah SWT akan dapat membuka hijab doa.

Walaupun sifat malu menebal di dalam diri, bagi soal jodoh, ia perlu diatasi kerana jika berterusan, yang ingin berkahwin tentu tidak merasa nikmat berkahwin dan hidup berkongsi kasih dan sayang.


'Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.'
(Ar Ruum ayat 21)

No comments:

Post a Comment