Mempunyai kerja adalah impian setiap orang kerana bekerja akan memberikan wang, mewujudkan sokongan sosial dan membina kesejahteraan hidup. Bekerja dapat melapangkan hati dan memberi rasa gembira. Menganggur atau mencari-cari kerja membuatkan hati tidak tenteram dan resah. Dengan wang, Insya Allah cinta dan sayang akan bersatu, azam dan cita-cita menjadi padu. Namun bekerja bukan semata-mata hendak mendapatkan wang kerana kebahagiaan hidup tidak dapat dibeli dengan wang dan keuntungan.
Budaya kerja cemerlang di tempat kerja adalah impian setiap orang dari bos hinggalah kuli. Apabila anggota kerja senang hati, mereka dapat melaksanakan tugas dengan seronok, selesa dan tidak banyak konflik. Namun, apabila bekerja kerana hendakkan gaji sahaja, sikap pekerja mula menjadi buah mulut orang ramai.
Menjadi kebiasaan saya untuk membeli semua jenis surat khabar pada hari Ahad kerana banyak maklumat menarik yang boleh diperoleh, dari isu-isu semasa, komentar hinggalah kesihatan, bisnes dan sukan. Di samping itu saya juga gemar mengikuti perkembangan dan rencah hidup golongan artis. Yelah, artis-artis seringkali menjadi perhatian umum. Ada ada artis yang baru berkahwin, bercerai, masuk rumah baru dan tambah cawangan bisnes.
Artis yang buka bisnes mula menjadi perhatian ketika ini. Seronok juga apabila dapat tahu bisnes mereka semakin maju dan ramai yang berkunjung ke sana. Ternyatalah dalam kalangan artis pada hari ini ada yang berpandangan jauh kerana tidak mahu bergantung semata-mata dalam industri muzik. Salah satu bisnes yang kerap diceburi oleh golongan artis kita ialah penyediaan makanan atau lebih glamer dipanggil kopitiam.
Dalam bisnes kopitiam, pelanggan setia adalah aset. Mereka dapat beri maklum balas tentang apa saja termasuklah cita rasa makanan, susun atur, hiasan dalaman dan kesesuaian harga. Makanan yang sedap dan harga yang berpatutan biasanya menjadi perjhatian pelanggan. Namun, ada faktor lain yang menyebabkan bisnes ini kehilangan pelanggan. Cita rasa dan harga boleh dirunding tetapi etika kerja tidak ada tolak ansur langsung.
Contoh etika kerja yang merosakkan reputasi bisnes kopitiam ialah menyapu lantai berhampiran meja pelanggan ketika mereka sedang makan. Di dalam hati, pasti mereka kecewa kerana pekerja tidak ada rasa hormat kepada pelanggan. Habuk yang berterbangan pasti menjejaskan selera makan.
Ada bijak pandai berkata kita boleh melakukan segala yang salah dalam perniagaan dan masih berjaya jika kita memberi khidmat kepada pelanggan.
Sebaliknya kita boleh melakukan segala yang betul dalam perniagaan dan menemui kegagalan sekiranya kita tidak mengambil berat terhadap keperluan, kehendak, keinginan dan emosi pelanggan.
Memahami bahawa pelanggan sentiasa diutamakan sangat berkait rapat dengan jangkaan pelanggan. Manakala jangkaan pelanggan adalah hasil daripada pengalaman yang berbagai-bagai. Jika jangkaan pelanggan ke atas perkhidmatan tidak tercapai. Ini bererti pelanggan tidak berpuas hati. Biasanya pelanggan menjangkakan kualiti yang lebih baik, ciri-ciri yang berbeza daripada pesaing, faedah yang lebih baik, ada kepelbagaian, fleksibiliti dan nilai-nilai yang mementingkan kebersihan, kerjasama dan orientasi pencapaian.
No comments:
Post a Comment