Saturday, May 09, 2009

Senario gejala sosial di Malaysia (3)

3.2 Penagihan dadah

Penagihan dadah sering dikaitkan dengan kes jenayah sama ada kecil ataupun besar. Daripada kes mencuri kasut di masjid, lumba haram hinggalah memeras ugut dan membunuh ibu bapa sendiri. Statistik penagih dadah di Malaysia bagi tempoh 1988 hingga 2005 yang dikeluarkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (ADK), jumlah penagih dadah terkumpul bertambah dari 289,763 pada tahun 2005 kepada 292,696 orang sehingga Mac 2006. Peningkatan ini adalah sebanyak 1.32 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2005. Bilangan penagih ini menyumbang 1.1 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia. Statistik ADK menyatakan secara purata 2,334 rakyat Malaysia terlibat dengan penagihan dadah setiap bulan dan bagi setiap 29 minit akan muncul seorang penagih baru. Daripada jumlah 32,808 yang menagih dadah bagi tahun 2005, sebanyak 97.97 peratus terdiri daripada lelaki berbanding perempuan iaitu 2.03 peratus (Jadual 2).

Jadual 2: Penyalahgunaan dadah di Malaysia berdasarkan jantina, 2005

Penagih dadah terdiri daripada pelbagai latar belakang. Pengaruh yang kuat ialah rakan sebaya yang dilihat menjadi faktor penarik seseorang terpengaruh dengan penagihan dadah. Berjinak-jinak dengan rokok, ingin merasai nikmat ‘stim’ dan mencari kepuasan adalah antara ruang-ruang yang menjurus kepada penagihan dadah yang juga dikira sebagai kes baru. Bagi kes berulang, tidak ada daya tahan yang kuat, menyendiri dan kerap menerima tohmahan menjadikan mereka kembali menagih.

Jadual 3: Penagih dadah baru dan berulang, 2003-2005

Dalam Jadual 3 menunjukkan secara keseluruhannya, bilangan tangkapan penagih baru telah menurun namun kes penagih berulang telah meningkat. Secara perbandingannya, tangkapan kes penagih baru berlaku penurunan dalam kalangan orang Melayu, Cina dan India. Secara relatifnya, bilangan keseluruhan kes ini masih didominasi oleh kaum Melayu dengan nisbah 2:3. Didapati penagih berulang dalam kalangan bumiputera Sabah dan Sarawak berkurangan. Daripada sejumlah 3,017 orang penagih dadah pada 2004 hanya 626 orang sahaja penagih yang berulang.

Bagi tangkapan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, bilangannya semakin meningkat dari setahun ke setahun. Dari tahun 1998 hingga 2007, jumlah tangkapan ialah 69,500 dengan tahun 2007 mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu 53,493 (Jadual 4).

Dadah merupakan musuh utama negara. Kerajaan Malaysia pernah melancarkan perang terhadap kegiatan dadah ini dan mengenakan hukuman gantung sampai mati ke atas pengedar yang didapati bersalah. Hukuman ini dianggap sebagai antara yang paling tegas di dunia tetapi pertambahan kes penagihan berulang dan baru masih menunjukkan peningkatan. Dianggarkan pada tahun 2015, jumlah penagih dijangka meningkat kepada 443,000.

Kedudukan Malaysia yang hampir dengan segitiga emas pengedaran dadah di Indochina, menjadikan usaha pembasmian dadah lebih sukar. Namun begitu, usaha kerajaan yang tidak pernah berputus asa memberi pemulihan, pencegahan dan pengawalan ke atas penagih, pengedar dan pensubahat sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada masyarakat untuk membantu kerajaan melalui pelbagai program yang dirancang.

Jadual 4: Tangkapan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, 1998-2007

Selain isu dadah dalam negara, operasi pengedaran dadah turut melibatkan sindiket antarabangsa yang menyasarkan wanita tempatan. Kementerian Luar Negeri mendedahkan jumlah tahanan rakyat Malaysia sejak tahun 2002 hingga April 2008 adalah seramai 121 orang. Daripada jumlah ini, 71 orang adalah wanita yang berusia 20 hingga 30 tahun. Pada 2002, hanya dua orang yang ditahan, kemudian meningkat enam orang pada 2004, turun sedikit kepada empat orang pada 2006 namun meningkat mendadak kepada 80 orang pada 2007.

Mereka ditahan dalam penjara di Brazil, Jepun, China, Australia, New Zealand, India, Itali, Vietnam, Kemboja, Trinidad & Tobago, Sepanyol, Peru, Argentina dan Venezeula. Kebanyakan mangsa terjebak dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa mudah tertarik dengan tawaran gaji lumayan. Modus operandi ialah membawa mangsa melawat tempat-tempat terkenal sebelum diarah membawa dadah yang diisytiharkan barang berharga. Perjalanan ke negara ketiga ini biasanya menggunakan beberapa transit. Sindiket mencari mangsa melalui pelbagai cara termasuk rakan sosial, internet dan perkenalan singkat. Golongan yang diperdaya biasanya adalah mereka yang aktif bergaul, boleh berbahasa Inggeris dan berpenampilan menarik.

Salah seorang daripada mereka ialah Umi Azlim Mohamad Lazim, 24 tahun yang sedang merengkok dalam penjara di China. Masalah ini jika tidak ditangani segera dikhuatiri akan lebih ramai wanita yang terpedaya. Kesan yang lebih besar ialah imej negara sebagai pusat rekrut pengedaran dadah antarabangsa dan menjejaskan hubungan diplomatik negara dengan negara-negara yang terlibat.

No comments:

Post a Comment