3.3 Lumba haram dan Mat Rempit
Sejak akhir-akhir ini kegiatan pelumba haram motosikal ataupun dikenali sebagai ‘Mat Rempit’ mendapat perhatian daripada masyarakat. Malah terdapat sebuah filem yang menceritakan kisah Mat Rempit ini dan mendapat sambutan. Filem ‘Remp-It’ ini menambah lagi keprihatinan khalayak untuk mengetahui kewujudan golongan remaja dan belia yang rata-ratanya anak muda dan cukup sempurna fizikalnya.
Istilah Mat Rempit telah dipopularkan oleh media. Perkataan ‘Rem’ adalah perlakuan memulas pedal tangan pada motosikal bagi memerah minyak sebagai aksi memecut. Semakin kuat pulasan, semakin lajulah motosikal berkenaan. Si Rempit akan bersorak jika dapat memecut dan memintas rakan-rakan yang lain. Manakala ‘Pit’ adalah dari perkataan ‘pit stop’ yang ada di litar lumba. Gabungan perkataan ini membentuk ‘Rempit’ yang menggambarkan pelumba motosikal melakukan pelbagai aksi kreatif, menarik dan membahayakan. Antara aksi-aksi tersebut ialah ‘wheelie’ (menunggang laju sambil mengangkat tayar hadapan), ‘wikang’ (menunggang sambil mengangkat tayar belakang), ‘scorpion’ (menunggang motosikal sambil kaki menghala di bahagian atas), ‘superman’ (menunggang laju sambil berbaring mendepakan tangan), ‘pereng/corner’ (bahagian meletak kaki bergesel di atas jalan raya semasa membelok di selekoh). Mat merujuk kepada pelaku atau penunggang motosikal ini. Perkataan baru yang boleh dipopularkan ialah ‘merempit’ yang bermaksud melakukan aksi lumba motosikal dan boleh mendatangkan mudarat kepada penunggang dan pengguna jalan raya yang lain.
Kajian oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia dengan kerjasama Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Malaysia mendedahkan 87 peratus Mat Rempit adalah golongan yang berusia 14 hingga 25 tahun. Bosan adalah faktor utama mereka merempit (48.1 peratus) diikuti mengisi masa lapang (38 peratus) dan pengaruh kawan (27.8 peratus).
Jumlah tangkapan pelumba haram yang dilaporkan semakin bertambah setiap tahun. Dari tahun 2001 hingga 2004, jumlah tangkapan yang dilakukan oleh PDRM adalah sebanyak 5,332 kes di seluruh Malaysia. Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 1,041 kes (Jadual 5). Dari tahun 2006 hingga Mac 2009, pihak polis telah melakukan 7,989 operasi sekatan jalan raya ke atas Mat Rempit dan menahan 2,609 penunggang motosikal dan 2,431 telah didakwa. Dalam satu operasi pencegahan yang dijalankan didapati kebanyakan yang ditahan dalam lingkungan umur 16 hingga 28 tahun.
Mat Rempit menjadi beban sosial kepada masyarakat dan negara. Beban kepada diri mereka sendiri adalah perilaku jenayah apabila dikaitkan dengan kematian dan mendatangkan kecederaan. Sehingga kini beberapa kes kematian melibatkan pelumba haram motosikal termasuk kes bergaduh dan berakhir dengan kematian Mat Rempit Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Di Pulau Pinang pula, sekumpulan Mat Rempit membaling batu ke arah Balai Polis Kubang Semang kerana tidak puas hati dengan tindakan polis menahan dua orang rakan mereka yang sedang merempit.
Jadual 5: Statistik pelumba haram yang ditangkap, 2001-2004
Mat Rempit diberikan imej negatif kerana tindakan mereka dan kegiatan jenayah yang lain seperti ragut, minum arak, berzina, tingkah laku ganas dan menghisap dadah. Awal-awal lagi kriteria Mat Rempit adalah gambaran yang negatif dan buruk. Ini memberi mesej bahawa Mat Rempit memberi dan membawa masalah. Rata-rata mereka yang merempit berumur 16 hingga 25 tahun kerana peringkat umur ini kebanyakannya masih bujang. Majoriti adalah lelaki dan pelbagai latar belakang keluarga. Kegiatan merempit akan berkurangan setelah mereka yang terlibat berkahwin dan beranak-pinak.
Kajian yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) ke atas aktiviti lumba haram dalam kalangan 173 orang belia yang terlibat mendapati 53.7 peratus daripada mereka tinggal bersama ibu bapa sendiri, 28 peratus pula tinggal bersama rakan atau saudara mara dan 10.4 peratus tinggal bersama salah seorang ibu atau bapa mereka. Selain itu, sebanyak 6.9 peratus tinggal bersama keluarga sendiri (yang telah berkahwin) dan selebihnya 0.6 peratus tinggal bersama ibu atau bapa tiri (Jadual 6). Dapatan ini bertepatan dengan hasil penyelidikan yang dijalankan oleh Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia iaitu ‘Family Transformations in the Context of Changing Trends in Women’s Work and Lifestyle in Malaysia’ yang mendapati isu dan masalah dalam rumah tangga lebih kerap berlaku terhadap pasangan atau keluarga yang tinggal di kawasan bandar berbanding luar bandar. Antara masalah utama yang dikenal pasti ialah suami tidak memberi keperluan ekonomi, keganasan rumah tangga dan anak-anak terlibat dengan kegiatan yang tidak diingini.
Jadual 6: Tempat tinggal pelumba haram
Kehadiran Mat Rempit adalah simptom kecil daripada penyakit utama yang lebih besar. Keadaan jiwa mereka yang sentiasa bergelora dan ingin memenuhi pelbagai impian. Banyak perkara yang mahu dicapai dan dimiliki. Ketika peringkat inilah, mereka terdedah kepada bermacam-macam tarikan seperti hiburan dan fesyen serta sukan yang ada baik dan buruknya. Pendedahan dan tarikan yang kuat serta berterusan mempengaruhi hati, pemikiran dan sikap remaja terhadap hidup. Aspirasi terhadap hidup juga rendah umpamanya tidak ada perancangan masa depan, berserah kepada nasib dan kurang berusaha untuk membaiki diri.
No comments:
Post a Comment