Monday, May 25, 2009

Politik baru: mematangkan demokrasi Malaysia

Penulis: Saifuddin Abdullah
Tahun: 2008
Penerbit: Institut Terjemahan Negara Malaysia, Kuala Lumpur.
Muka surat: 90 (Melayu), 88 (English)

Saifuddin Abdullah merupakan tokoh belia yang aktif di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Pengalamannya dalam pertubuhan belia dan politik memberi kelebihan untuk menulis isu-isu politik, kepimpinan dan hala tuju negara khususnya selepas Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu.

Buah tangan Saifuddin ini adalah penambahbaikan dua buah tulisan beliau iaitu ‘Pemuda sebagai pemangkin integriti politik negara’ dan ‘Governans baru: ke arah demokrasi lebih matang’ yang membentuk teras buku ini. Bahagian 1 dibahagikan kepada empat tajuk iaitu idealisme politik, politik ilmu, politik hikmah dan politik bakti. Bahagian 2 merangkumi lima topik yang berkait dengan idea tadbir urus yang baik.

Kematangan berpolitik membahagiakan masyarakat, tidak melaga-lagakan sesiapa. Masyarakat menikmati suasana hidup yang membantu membawa kesejahteraan kepada hidup mereka. Namun, keadaan politik di negara ini tidak selalunya begitu kerana sifat politik itu sendiri yang melibatkan perancangan, strategi dan muslihat yang licik.

Saifuddin melihat integriti politik adalah agenda penting untuk mencapai kebahagiaan. Justeru beliau mengambil saranan Pelan Integriti Negara yang menyarankan pengekalan keluhuran perlembagaan dan sistem politik negara berasaskan demokrasi yang menggabungkan insitusi raja berpelembagaan dan pemerintahan berparti, mengekalkan kedaulatan dan meningkatkan keutuhan institusi parlimen sebagai penggubal undang-undang yang luhur, mengamalkan politik yang berintegriti serta pengembangan budaya politik yang sihat, beretika, matang dan demokratik mengikut acuan sendiri, dan memantapkan prinsip ketelusan, pertanggungjawaban dan tadbir urus yang baik.

Integriti politik yang dimaksudkan oleh Saifuddin ialah politik ilmu, politik hikmah dan politik bakti. Kekuatan utama dalam politik ialah ilmu yang ada di dalam dada dan kepala wakil rakyat dan pengundi. Tanpa ilmu, politik masa depan akan dipengaruhi oleh politik ampu. Siapa yang kuat mengipas, dialah yang akan dapat.

Pemilihan pemimpin dicemari oleh prasangka dan fitnah bakal memusnahkan kredibiliti calon. Hikmah dan keinsafan untuk mencari kebenaran bertukar kepada mencari populariti dengan menelanjangkan peribadi buruk pesaing. Politik hikmah yang mementingkan persaudaraan bertukar kepada gelojoh dan serakah untuk menjadi pemimpin.

Politik bakti semakin kurang dan menipis dalam diri pemimpin kerana yang penting adalah undi. Jika dulu, ahli politik berbakti menggunakan undi namun kini mereka menggunakan undi untuk membuat bakti yang tidak seberapa. Lalu muncullah kerja segera ketika pilihan raya dan seusai pilihan raya, janji tinggal janji.

Kerangka tadbir urus yang baik, menurut Saifuddin, ia belum memadai kerana yang lebih diutamakan ialah tadbir urus yang baru. Kerangka tadbir urus jenis ini ialah pengurusan negara yang melibatkan kerajaan/politik, sektor swasta dan masyarakat awam sebagai rakan pembangunan dalam hirarki yang saksama. Dalam bahasa lebih mudah, tadbir urus baru ialah penglibatan semua pihak bermula dari peringkat asas, jika boleh, dari peringkat kampung hinggalah jemaah menteri.

No comments:

Post a Comment