Hari ini ramai orang sudah bosan dengan susah dan payah dalam hidup, lebih-lebih lagi jika tidak ada wang. Tanpa wang hidup tidak bahagia. Namun ada juga orang yang punya banyak wang masih juga tidak bahagia. Masih merungut tidak cukup itu dan ini malah terpaksa menjaga wangnya yang banyak. Ketika itu muncul pula kata-kata hikmat ‘ketika muda kita menjaga wang, ketika tua wang jaga kita’ kerana tahap kesihatan sudah mula merosot.
Jadi, bolehlah dikatakan hari ini ramai orang yang gila kerana ada duit pun gila, tidak ada duit pun gila [klik sini].
Dalam seminggu, biasanya peti surat rumah saya penuh dengan risalah dan brosur promosi, iklan perabot rumah dan tuisyen budak-budak sekolah. Sekali-sekala ada bil air dan elektrik. Sama ada kertas itu warna putih, kuning atau hijau, semuanya ada satu tujuan: cari pelanggan. Syarikat-syarikat peminjam wang atau koperasi yang menyediakan khidmat seperti itu sedar ketika ini keadaan ekonomi sangat tidak baik, jadi mereka mula membuat promosi yang agresif. Tidak cukup dengan peti surat, diletakkan risalah di cermin kereta dan kad perniagaan ditaburkan merata tempat. Bagi syarikat-syarikat ini, promosi mesti agresif. Tidak boleh duduk diam saja.
Kerja makan gaji mungkin ada sedikit kelebihan untuk meminjam kerana dapat membayar pinjaman pada hujung bulan tetapi macam mana pula mereka yang kerja sendiri dan pendapatan yag tidak tetap? Kalau macam itu, risalah seperti inilah yang banyak membantu.
Ada satu brosur warna putih yang menarik. Di atasnya tertulis ‘Wat Chang Deng’ beralamat di Kedah. Keterangannya jelas iaitu menceritakan kejayaan seorang kaki judi yang berjumpa seorang tok sami digelar ‘master’ telah mengubah nasib hidupnya. Kaki ekor ini berasa bertuah kerana telah kena nombor ekor selepas mendapat nasihat dan panduan ‘master’ itu. Beliau dapat hadiah utama dengan nombor 8262. Dimuatkan sekali resit pembelian dan keputusan nombor judi berkenaan untuk meyakinkan pembaca. Sebagai balasan, beliau menaja 5,000 keping brosur untuk diedarkan. Di atasnya disertakan dua nombor telefon bimbit untuk dihubungi.
Orang yang kesempitan wang akan memikirkan banyak cara untuk cari wang. Namun memilih membeli nombor ekor adalah cara paling keji dan bodoh. Kaya-raya adalah towkey judi dan pembeli nombor ekor hanya akan merana seumur hidup.
Satu lagi brosur yang juga menceritakan tentang hendak jadi kaya saya jumpa di depan pintu lif. Warnanya kuning dan sangat menarik. Antara tulisannya ialah,
‘Kini giliran anda pula untuk menikmati kejayaan yang sebenar!!! Bersama syarikat MLM No. 1 dunia.. abc’
Tarikan terhadap brosur ini seolah-olah membuatkan saya hendak daftarkan diri hari ini juga. Mana tidaknya. Dinyatakan ‘berpuluh-puluh ribu ahli telah meraih pendapatan 5 angka yang luar biasa.’
Inilah tarikan dunia yang benar-benar berada di hadapan kita. Ramai orang berlumba-lumba mencari RM dan Dolar. Wang adalah raja baru yang berada di mata, lidah dan bersarang di hati.
No comments:
Post a Comment