Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah melaksanakan tugas masing-masing bagi menentukan Menteri Besar (MB) Perak yang sah. Sekejap Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, sekejap Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir. Sah-mengesah ini berlaku tidak sampai sebulan.
Semasa penyelidik berjumpa seorang penganalisis politik di sebuah universiti tempatan, beliau melihat penyelesaian politik di Perak tidak akan ke mana jika menggunakan saluran perundangan kerana pilihan terbaik ketika ini ialah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN). Seorang lagi rakan penyelidik, rakyat negeri Perak, menyifatkan keadaan politik yang tidak stabil akan menghalang kemasukan pelaburan luar kerana mereka tidak pasti siapa sebenarnya yang mempunyai autoriti untuk menandatangani surat dan membuat keputusan.
Mungkin lebih ramai lagi penduduk Perak yang mempunyai pandangan sama seperti di atas. Lebih ramai bermakna masyarakat mengambil berat perkembangan politik di negeri itu dan mahu diselesaikan segera. Seorang lagi kenalan, penyokong kuat PAS berpendapat Barisan Nasional tidak akan membubarkan DUN ketika ini kerana mereka sedang menguasai kerajaan Perak.
Perjalanan politik yang diganggu bakal menyukarkan banyak perkara seperti pentadbiran kerajaan negeri. Orang ramai keliru dengan politik kuasa, politik projek dan politik rakan karib. Pegawai dan kakitangan kerajaan negeri turut mengambil sikap berhati-hati untuk melaksanakan tugas mereka. Jika tidak, nama Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak, Dato' Dr Abdul Rahman bin Hashim tentulah tidak popular ketika ini. Tindakan beliau yang meminta pejabat MB Datuk Seri Nizar dikosongkan sehari selepas ‘hilang kuasa’ disiarkan ke seluruh dunia di Internet. Pelakuannya ini banyak dikritik dan mengecewakan ramai orang kerana berlaku biadap ke atas bekas MB, sesuatu yang tidak pernah dilihat berlaku di mana-mana negeri.
Sikapnya jelas iaitu tidak suka dengan MB berkenaan. Namun orang lain melihat sebaliknya kerana berpersepsi negatif sejak tindakannya mengusir MB dan wartawan yang ingin mendapat maklum balas daripada Datuk Seri Nizar. Sepatutnya Dato’ Dr Abdul Rahman menghormati bekas ketua sendiri kerana jika beliau tidak hormat kepada ketua, bagaimana pula orang bawahan akan hormat kepadanya? Sejak kejadian itu, Harakahdaily sentiasa melaporkan tindakan-tindakan tidak profesional SUK Perak khususnya sikap berat sebelah dan tidak beretika sebagai penjawat awam utama. Ada di antara artikel berkenaan yang meminta Ketua Setiausaha Negara mengambil balik SUK Perak itu. Sesuatu yang sangat menjatuhkan maruah pegawai kerajaan pusat kerana tidak tahu buat kerja.
Kemarahan membuak-buak MB Datuk Seri Nizar kepada SUK Perak ialah tindakan menggantung tugas bersama-sama Penasihat Undang-undang Negeri. Malang sungguh nasib SUK Perak. Sifat kuat kerja yang ada pada dirinya hilang sekelip mata apabila dipelingkuh dengan sepak terajang ahli-ahli politik.
Politik Perak sedang bergelut dengan perebutan kuasa. Masyarakat hanya dapat melihat dan menilai siapa yang dianggap cerdik dan siapa yang dianggap malang.
Ketika perebutan ini, dua aspek yang terjejas teruk ialah ekonomi dan sosial. Pelabur enggan datang menyebabkan ekonomi domestik kurang berkembang manakala orang luar menyangka keselamatan mereka tidak terjamin apabila datang ke Ipoh. Pelabur menjauhi Perak kerana mereka perlu jimatkan kos. Semakin lama menunggu kelulusan, kos juga akan bertambah, justeru lebih baik mengintai peluang di Pulau Pinang atau Kedah. Perkembangan sosial masyarakat juga terganggu kerana program dan aktiviti yang menjurus kepada pembangunan modal insan, dakwah dan kempen Satu Malaysia tidak dapat dijayakan dengan sempurna kerana tidak ada pihak yang berautoriti untuk merasmikan program-program tersebut. Peruntukan untuk program-program berkenaan tentu sekali tidak dapat dikeluarkan. Jadi, persatuan atau pertubuhan yang merancang program-program sosial tidak dapat melaksanakan aktiviti mereka kerana pentadbiran kerajaan negeri yang kucar-kacir.
Pilihan raya semula di Perak bukannya penamat mutlak kepada kemelut kuasa ini namun ia adalah pilihan yang boleh dipertimbangkan. Bukan setakat rakyat Perak yang muak dengan politik di negeri itu, rakyat Malaysia juga berkongsi keadaan yang sama. Walaupun undi telah berpecah pada dua iaitu sebahagian menyokong Barisan Nasional, sebahagian menyokong Pakatan Rakyat, dalam pilihan raya ia adalah adat. Pihak yang menang lebih berkuasa dan dapat melakukan apa yang mereka fikir membawa kebaikan kepada semua orang.
Gegak gempita politik Perak tidak akan menyebabkan dunia kiamat atau gempa bumi yang menenggelamkan Semenanjung Malaysia. Tidak juga menyebabkan semua rakyat Perak akan kebuluran. Krisis ini ada penyelesaian. Bola penyelesaiannya berada di pihak istana, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Pengundi tidak ada suara yang kuat untuk mendesak ketiga-tiga pihak ini membuat keputusan kerana sikap mereka adalah ‘kami taat dan kami patuh’.
No comments:
Post a Comment