Monday, May 11, 2009

Senario gejala sosial di Malaysia (5)

3.4 Jenayah rogol

Rogol bukan hanya menjadi masalah kepada wanita, keluarga atau masyarakat sahaja malah menjadi masalah negara. Kajian menunjukkan majoriti mangsa keganasan seks adalah wanita dan kanak-kanak perempuan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 36 hingga 62 peratus mangsa keganasan seks ini terdiri daripada mereka yang berumur di bawah 15 tahun. Rogol berlaku di seluruh dunia tanpa mengira bangsa, etnik, status ekonomi, agama dan kebudayaan. Di Malaysia, kes rogol dan bunuh berlaku pada semua peringkat umur iaitu dari kanak-kanak hinggalah dewasa. Pada April 2009, akhbar melaporkan seorang gadis yang berusia 17 tahun dirogol bergilir-gilir oleh 15 Mat Rempit di kawasan ladang kelapa sawit Felda Chini, Pekan, Pahang. Kejadian itu berlaku selepas mangsa yang tidak bersekolah mengikut ajakan salah seorang suspek untuk bersiar-siar.

Banyak aspek yang perlu diberi perhatian bagi menyelidiki punca rogol. Dalam hal ini, profail penjenayah mesti diselidiki supaya pihak berkuasa mendapat gambaran lengkap mengenai watak dan jangkaan latar belakang perogol. Profail mangsa rogol juga boleh menjadi data untuk analisis jenis perwatakan, umur dan tingkah laku. Kajian yang dijalan di negara-negara Barat merumuskan perogol adalah orang licik macam belut. Watak mereka adalah ‘faceless’ dan ramai yang tidak menyangka orang tersebut boleh berbuat demikian. Perogol juga tidak terhad kepada kelompok kaum, umur atau pekerjaan. Daripada maklum balas orang ramai khususnya ibu bapa, terdapat ramai remaja yang berkelakuan negatif termasuk membawa kondom ke sekolah. Pelakuan ini selari dengan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang memandang serius pembabitan pelajar dalam aktiviti jenayah khususnya kes rogol kerana terdedah dengan video lucah. Mereka juga berani melakukan jenayah rogol selain hubungan seksual dengan rakan sebaya.

Dalam beberapa kes, penglibatan mereka dalam jenayah rogol ini bermula seawal usia enam tahun lagi akibat terdedah dengan video lucah ekoran kecuaian ibu bapa. Segelintir ibu bapa gemar menonton video lucah dan
tanpa sedar, anak mereka turut melihat aksi yang sama.

Jenayah rogol amat menakutkan. Ia menjadi musuh kepada kumpulan wanita khususnya kanak-kanak yang mudah menjadi sasaran penjenayah. Kajian-kajian juga mendapati pakaian wanita yang seksi bukan menjadi punca utama berlakunya kes-kes rogol sebaliknya lelaki yang mempunyai dorongan seks (libido) yang besar. Faktor-faktor lain ialah kedudukan ekonomi (tidak mampu berkahwin), tahap pendidikan dan kemahiran kerja yang rendah.

3.5 Pembuangan bayi

Pembuangan bayi adalah jalan keluar kepada remaja yang mengandung di luar nikah bagi menutup malu dan aib keluarga. Keadaan bayi atau janin yang ditemui berbagai-bagai jenis. Contohnya, dalam satu kes, seorang tukang sapu terkejut apabila ketulan yang disangkanya sampah merupakan janin bayi cukup sifat. Janin sebesar tapak tangan itu ditemui terapung dalam loji kumbahan najis di Seksyen 4, Bandar Rinching, Shah Alam.

Menurut Bedu dan rakan (2008), sepanjang tempoh dua tahun sehingga 2006, JKM menerima maklumat sejumlah 145 bayi luar nikah dibuang dan dijumpai di tempat awam atau diserahkan sendiri oleh ibu bermasalah kepada polis. Dari 2000 hingga 2006, sejumlah 580 pembuangan bayi telah dicatatkan dengan 48 daripadanya adalah janin. Perangkaan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman merekodkan 580 kes buang bayi dari 2000 hingga 2007 dengan Selangor dan Johor mencatat kes paling tinggi. Pada 2000, 65 kes dicatatkan di seluruh negara, 2001 (97 kes), 2002 (98 kes), 2003 (92kes), 2004 (78 kes), 2005 (67 kes) dan 2006 (83 kes). Statistik sama turut mencatatkan usia bayi yang dibuang membabitkan dua kategori, iaitu janin dan baru lahir. Bagi janin, 48 kes dilaporkan dalam tempoh 2000 hingga 2006, manakala baru lahir pula 532 kes.

Banyak negara yang sedang berhadapan dengan isu ini. Di Amerika Syarikat misalnya, lebih kurang 40 peratus daripada remajanya hamil luar nikah. Di Malaysia, terdapat pengusaha rumah tumpangan dan hotel bajet yang menyediakan bilik bagi pasangan bukan muhrim bangsa Melayu untuk melakukan hubungan seks dengan pakej RM30 untuk dua jam dan RM50 untuk satu malam berasmara. Akibat kehamilan luar jangkaan ini ramai remaja perempuan bertindak menggugurkan kandungan mereka yang akhirnya menimbulkan komplikasi kesihatan dan kematian. Statistik yang diperoleh oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati 4.4 juta remaja dunia pernah menggugurkan kandungan.

3.6 Kanak-kanak dan remaja lari dari rumah

Mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), kanak-kanak adalah seseorang yang berumur di bawah 18 tahun. Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1996 mentakrifkan seorang kanak-kanak adalah mereka yang di bawah 14 tahun. Dalam Akta Pengangkatan 1952, kanak-kanak didefinisikan mereka yang berumur 21 tahun ke bawah. Bagi remaja pula, tidak terdapat definisi khusus secara perundangan. Walaupun setiap akta ini tidak menjelaskan peringkat umur tertentu, secara umumnya dalam memperkatakan masalah kanak-kanak dan remaja, golongan yang perlu ditumpukan adalah yang berumur di bawah 21 tahun dan majoritinya masih dalam alam persekolahan. Di Malaysia, golongan remaja merangkumi hampir separuh daripada keseluruhan penduduk yang ada. Buletin Perangkaan Sosial Malaysia 2007, jumlah penduduk di bawah umur 19 tahun adalah 11.3 juta orang iaitu 41.5 peratus daripada jumlah penduduk.

Ketika proses pembangunan yang semakin pesat dan dunia yang merentasi sempadan, golongan muda pada hari ini menerima pelbagai jenis maklumat yang menerobos budaya, akal fikiran dan pembentukan fizikal mereka. Pendedahan yang berterusan ini telah mencetuskan budaya yang tidak sihat seperti pergaulan bebas, jaringan rakan yang lebih meluas, hedonisme dan hidup mewah. Pengaruh ini memberi kesan kepada pembentukan jati diri mereka dan tidak akan mampu untuk menghadapi cabaran yang sedia ada. Justeru apabila berhadapan dengan konflik diri dan keluarga, ada dalam kalangan mereka yang terlalu kecewa dan mencari penyelesaian secara tergesa-gesa dan menyusahkan diri sendiri.

Kes lari dari rumah sedang berada pada tahap yang membimbangkan kerana liputan media massa mengenai kes ini sentiasa berlegar-legar dalam masyarakat. Polis Diraja Malaysia melaporkan bahawa jumlah orang berumur di bawah 18 tahun yang hilang adalah 6,270 dari 2004 hingga Mei 2007. Mereka yang paling ramai berumur 14 hingga 17 tahun iaitu 5,251 kes. Sejumlah 322 kes bagi kategori bawah 9 tahun dan 697 kes bagi umur 10 hingga 13 tahun sepanjang tempoh berkenaan. Jumlah remaja perempuan ialah 4,620 berbanding lelaki iaitu 1,650. Keadaan ini seharusnya mendapat perhatian daripada semua pihak kerana golongan ini berisiko tinggi untuk terbabit dalam gejala sosial dan menjadi mangsa kepada keganasan dan penderaan. Daripada 3,246 kes orang hilang pada 2007, seramai 71 orang ditemui mati. Pada 2005, sejumlah 71 daripada 4,103 orang yang hilang telah ditemui mati dan lima daripadanya disahkan dibunuh.

Post a Comment