Wednesday, May 06, 2009

Pusat tuisyen

Pendidikan (sekolah dan tuisyen) – bisnes yang sangat menguntungkan bagi jangka masa panjang. Sebab apa? Pelajar semakin ramai, sekolah semakin banyak, jadi persaingan pun sengit. Ibu bapa pula tertekan untuk melihat anak-anak pandai dalam akademik.

Mahu ataupun tidak, tuisyenlah yang menjadi tempat pilihan untuk anak-anak mendapat lebih banyak tips dan kaedah menjawab soalan.

Bisnes tuisyen bisnes sepanjang masa. Ada orang sanggup membuat pelaburan yang besar, katakan RM100,000. Banyak yang hendak dibeli: kerusi, meja, ubah suai kelas, bayaran kepada tenaga pengajar dan promosi. Jika tidak bersungguh-sungguh membuat kempen, mungkin anda kempunan kerana persaingan bisnes ini sangat hebat.

Apa cabaran pusat tuisyen?

Pertama, kesabaran. Ramai pengusaha yang gagal kerana tidak sabar untuk mendapat kembali modal pusingan. Bisnes pendidikan ada rentaknya sendiri yang tidak boleh disamakan dengan bisnes kedai makan.

Orang ramai keluar dan masuk ke kedai makan setiap masa tetapi bisnes tuisyen tidak jadi macam itu. Mungkin dalam sebulan dua beroperasi, ia tidak ada pelajar langsung.

Kedua, memahami tujuan bisnes. Kejayaan bisnes bukan terletak pada wang modal yang banyak atau bangunan yang besar. Kerapkali bisnes terbalik kuang kerana usahawan sendiri tidak memahami kenapa bisnes tuisyen ini diadakan.

Ketiga, kemahiran mengurus. Operasi tuisyen perlukan kemahiran pengurusan yang lancar kerana dalam banyak keadaan, banyak berlaku hal yang diluar jangkaan. Pelajar berhenti separuh jalan, kelas bising, pengajar tidak dapat hadir dan kecemasan, inilah cabaran pengurusan yang bakal dihadapi.

Cabaran-cabaran lain ialah komunikasi dengan ibu bapa, nisbah pengajar-pelajar dan kemahiran memberi motivasi kepada pelajar untuk berjaya dalam akademik dan peperiksaan mereka. Contoh kejayaan pengusaha pusat tuisyen ini ialah Rapid Tuition, milik Shukri di Labuan.

Tuisyen ini bermula dengan kelas cepat membaca untuk kanak-kanak 3 tahun. Bermula di ruang rumahnya sendiri, bisnes tuisyen ini berkembang ke sebuah bangunan tiga tingkat yang menawarkan semua subjek peperiksaan utama selain daripada kelas bahasa.

Semasa hendak berkembang dulu, beliau sendiri yang mengajar, membuat promosi dan kempen serta memasarkan pusat tuisyen Rapid ini ke seluruh Labuan. Kini Shukri boleh tersenyum lebar selepas 10 tahun menguruskan bisnes tuisyen di pulau peranginan itu.

No comments:

Post a Comment