Thursday, May 21, 2009

Budaya kerja cemerlang (2)

Budaya kerja cemerlang adalah sebahagian daripada kesempurnaan kerja kerana kejayaan sering dikaitkan dengan kesempurnaan. Namun, apabila kita telah dapat capai kejayaan, tiba-tiba ada perkara lain yang lebih besar perlu dicapai.

Di rak buku rumah saya terdapat sebuah buku motivasi yang unik. Penulisnya ialah Andrew Matthews, seorang seniman dan penceramah motivasi. Kaedahnya ceramahnya sangat menarik kerana beliau memberi motivasi dengan melukis kartun. Tajuk buku ini dalam bahasa Melayu ialah ‘Ikut Hati Anda’ dan telah diulang cetak sebanyak 39 kali!

Lukisan pertama dalam buku Matthews ialah watak dua orang lelaki, seorang sedang duduk seperti bertapa, berjanggut putih dan panjang hingga ke perut. Seorang lelaki lagi sedang duduk bersila, kepala botak dan memakai cermin mata. Pertemuan kedua-dua lelaki ini seperti di dalam sebuah gua dan pada waktu malam kerana Matthews melukis bulan sabit dan empat batang lilin yang sedang menyala. Lelaki kepala botak bertanya, ‘Adakah lagi tujuan hidup selain memiliki Mercedes Sports?’

Ternyata lelaki ini ingin mengetahui apa lagi yang dia boleh capai selalin memiliki kereta idamannya itu. Barangkali dia hendak menguji kepintaran lelaki berjanggut putih itu.

‘Tentu sekali. Dapatkan Ferrari’, jawabnya.


Maksudnya ialah setelah berusaha dan berjaya, cabarannya perlu lebih besar, matlamatnya mesti lebih sukar, lebih mahal dan paling penting mesti bekerja dengan lebih kuat.

Mereka yang mengejar kereta mewah untuk menyempurnakan hidup tidak ada apa-apa lagi yang hendak difikirkan apabila kunci kereta Ferrari atau Mercedes Sports berada di dalam genggaman. Hidup telah sempurna.

Peter Drucker, pakar dalam bidang pengurusan dan sangat terkenal. Teori dan ideanya tentang pengurusan, bisnes dan kepimpinan sentiasa menjadi debat. Salah satu ideanya dalam pengurusan ialah tanggungjawab pengurusan iaitu bekerja untuk membuat keuntungan dan meningkatkan kekayaan masyarakat. Tulisan ini dikeluarkan pada tahun 1968 dan dipersetujui ramai.

Namun idea ini berubah pada tahun 1994. Pandangan berubah apabila melihat syarikat-syarikat gergasi Amerika Syarikat jatuh dan muflis satu demi satu. Para pekerja hanya mengejar keuntungan yang maksimum dan kesetiaan mereka hanyalah kepada keuntungan atau wang. Tanpa bonus dan wang sebagai ganjaran, mereka akan mencari majikan baru yang dapat menawarkan gaji yang lebih besar.

Jack Welch, bekas pengerusi dan CEO General Electric Amerika Syarikat, turut terikat dengan idea awal Peter Drucker iaitu meletakkan keuntungan sebagai tanda aras kejayaan.

Dalam bukunya, Winning, beliau meletakkan keuntungan sebagai perkara paling utama semasa membentuk misi organisasi. Jadi, sebagai bos di GE, misi syarikat itu dari tahun 1981 hingga 1995 ialah ‘syarikat paling kompetetif di dunia’ dengan berada di kedudukan Nombor 1 dan Nombor 2 dalam setiap bisnes. Tafsiran misi Welch ialah ‘ke arah mana hendak pergi’ justeru beliau percaya keuntungan adalah arah sebenar yang dituju.

Dibandingkan dengan cerita dua orang lelaki di dalam gua dan cita-cita Jack Welch tadi, kedua-duanya tidak ada beza langsung kerana sama ada Ferrari atau keuntungan, ia menjadi matlamat dalam kerja pada hari ini.

Hakikat yang kita harus terima ialah kehidupan yang kita lalui adalah satu kerja. Ramai orang yang kurang mengambil berat tentang idea ini kerana menganggap kerja ialah apabila melakukan kerja dan mendapat upah atau ganjaran. Memisahkan aktiviti hidup sehari-hari dengan bekerja dalam organisasi tidak dapat menikmati nikmat hidup yang sebenar.

No comments:

Post a Comment