Petua-petua untuk bekerja dengan cemerlang
Berdoa sangat penting dalam hidup. Berdoa wajar diutamakan bagi menzahirkan budaya kerja cemerlang di tempat kerja. Mungkin ramai di antara kita yang kurang mengambil berat mengenai doa tetapi keberkesanan doa amat hebat. Doa yang dimakbulkan Allah SWT ialah ketika dizalimi atau dianiaya, bermusafir dan doa ibu bapa kepada anak-anak. Permintaan yang lain-lain juga Insya Allah dimakbulkan dengan beberapa syarat seperti selalu menjaga diri dalam makan dan minum.
Dalam buku ‘Sepuluh yang dijamin masuk syurga’ oleh Syed Ahmad Semait, salah seorang daripada mereka ialah Said bin Zaid. Doa beliau selalu mustajab kerana sangat teliti dalam menentukan makan minum. Dia tidak akan makan melainkan telah yakin kehalalannya dan tidak minum kecuali yang bersih lagi suci. Kehebatan Said sangat dikagumi sehingga salah seorang dari isteri-isteri Nabi Muhammad SAW pernah mewasiatkan agar beliau menunaikan solat jenazah apabila meninggal dunia kelak.
Beberapa petua mudah lain yang praktikal ialah sentiasa mencari jalan untuk memudahkan kerja. Maksudnya ialah tidak membiarkan potensi untuk berjaya dihalang oleh masalah-masalah yang memeningkan kepala. Sebaliknya cari jalan dan ikhtiar supaya matlamat tercapai. Kata orang ‘hendak seribu daya, cuba seribu cara’ memang betul dan boleh menjadi inspirasi untuk berusaha dengan gigih.
Seterusnya berkomunikasi dengan pelanggan setiap hari. Ia tidak semestinya mendengarkan suara kita kepada mereka sebaliknya boleh komunikasi melalui e-mel atau beri pesanan ringkas di telefon bimbit. Jika kita bercakap dengan mereka setiap hari, sudah pasti mereka tidak akan bercakap dengan pesaing kita atau akan terus menggunakan perkhidmatan yang kita sediakan.
Hubungan kemanusiaan sangat penting dalam semua jenis pekerjaan walaupun bekerja dengan mesin. Kita tidak dapat mengelak daripada berinteraksi dengan orang lain, justeru jangan lupa mengucapkan ‘terima kasih’ selepas bercakap, di telefon atau e-mel. Sentuhan ‘terima kasih’ yang ikhlas dapat mengetuk pintu emosi manusia dan reaksinya sangat hebat.
Seorang rakan saya, perunding motivasi sentiasa menghantar SMS yang diakhiri dengan ucapan terima kasih: tq atau tk.
Selain kita memberi perhatian kepada faktor-faktor luar yang dapat merangsang kecemerlangan kerja, kesihatan tubuh badan juga mesti diperhati dan diberi perhatian.
Hidup yang kita lalui dan rasa gembira adalah nikmat. Dapat makan, minum berjalan-jalan dan ketawa juga nikmat. Ada orang kata, ketika muda apa saja boleh makan, namun apabila semakin tua sudah tidak ada selera. Bekerja dengan badan yang sakit di sana sini amat menyeksakan.
Ada juga yang kata, ketika muda lebih baik merantau ke mana sahaja hendak pergi, namun apabila sudah tua tidak kuat lagi hendak berjalan. Pendek kata, semua nikmat yang kita dapat dalam hidup berkumpul dalam usia muda, usia yang baru hendak kenal cabaran, melihat keindahan sekitar dan usia yang bergelora dengan semangat.
Secara fizikal, muda dikatakan aktif, kuat dan bertenaga. Semangat juga berkobar-kobar dan pantang dicabar. Ketika muda inilah kita mampu bercakap tanpa henti, berceramah ke sana-sini, bermain tanpa kenal penat dan bekerja hingga lewat malam.
Rasulullah saw memberitahu kita bahawa ada empat perkara yang menyebabkan badan menjadi sakit iaitu banyak bercakap, tidur berlebihan, makan yang melampau dan kerap berjumpa dengan orang ramai.
Banyak bercakap banyak masalahnya. Tersalah cakap atau tersasul akan sebabkan orang kecil hati dan marah. Mungkin juga kebenaran bertukar menjadi palsu dan sebaliknya. Kadangkala mengelirukan. Peribahasa Melayu juga mengaitkan salah cakap dengan tabiat manusia yang tidak pandai ‘jaga mulut’ iaitu kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.
Banyak tidur. Ini penyakit orang zaman moden kerana banyak kerja yang perlu dibuat dalam sehari menyebabkan ada yang tidur tidak tentu masa. Kekerapan tidur yang tinggi dianggap satu penyakit. Tidak kira waktu- siang, malam, pagi atau petang asyik tidur sedangkan badan tidak diberi peluang untuk berpeluh. Memilih untuk ketiduran sepanjang masa adalah sangat merugikan kerana jangka hayat kita semakin berkurangan dan hilang nikmat hidup.
Makan berlebihan juga tidak baik untuk badan khususnya perut. Perut yang semakin membesar kerana makan bukannya tanda hidup yang sejahtera sebaliknya tanda-tanda awal banyak penyakit. Lebih-lebih lagi hari ini kita semakin malas hendak bersenam atau melibatkan diri dalam kegiatan yang memeluhkan badan. Budaya hidup turut mempengaruhi kegagalan kita untuk membudayakan cara hidup sihat. Akhirnya ada yang terpaksa makan ubat sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis sekali gus sepanjang hidup.
Akhir sekali, kerap berjumpa dengan orang. Ini juga kadang kala menjadi tabiat. Suka berjumpa orang tidak baik untuk badan kerana tubuh badan kita juga perlukan rehat yang berpadanan. Ada orang yang terlalu peramah sanggup tidak makan dan minum malah tidur juga tidak cukup. Ia lebih bahaya jika jumpa orang yang sebarangan kerana ada yang berpenyakit berjangkit. Virus penyakit ini disebar melalui udara atau sentuhan terbuka seperti terkena darah. Jadi, kenalah berhati-hati jika kita membuat keputusan untuk berjumpa dengan orang lain.
No comments:
Post a Comment