oleh Wan Norazah Wan Chik
(Yang membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN ke-14, Hua Hin, Thailand)
Daerah pelancongan Hua Hin di selatan Bangkok ini tetap seperti biasa. Kehadiran ribuan anggota delegasi dari 10 negara ASEAN tidak langsung mengejutkan penduduknya. Mereka sudah lali dengan pelancong.
Pemilihan Hua Hin sebagai destinasi Sidang Kemuncak ASEAN ke-14 memang tepat jika dilihat daripada sudut keselamatan. Di sini, bahang demonstrasi langsung tidak terasa. Jika "si baju merah" cuba menguasai perhatian di Bangkok, tetapi kelibat kumpulan itu langsung tidak kelihatan di Hua Hin.
Seperti kata penduduk tempatan, dari Bangkok membawa ke selatan adalah "wilayah si baju kuning". Kerajaan yang memerintah sekarang mendapat sokongan kumpulan ini. Mungkin keadaan itu juga membuatkan kelibat penunjuk perasaan berbaju merah tiada di sini.
Lagipun, Hua Hin adalah bandar pelancongan diraja. Istana musim panas keluarga diraja terletak di sini. Rakyat Thailand terkenal sangat taat dan menghormati raja mereka. Mungkin juga sebagai tanda hormatkan raja, bahang demonstrasi tidak sampai ke wilayah Petchaburi ini.
Mengikut akhbar tempatan, demonstrasi oleh kumpulan pro-Thaksin Shinawatra tidak 'sehebat' tunjuk perasaan oleh kumpulan penentang bekas Perdana Menteri itu akhir tahun lalu.
Demonstrasi kali ini hanya sekadar suam-suam kuku. Ia gagal menunjukkan taring. Paling penting, ia gagal membuatkan sidang kemuncak ini tertangguh lagi. Selepas ditunda dua kali - pertama di Bangkok dan diikuti oleh Chiang Mai - Sidang Kemuncak ASEAN ke-14 mengambil tempat di Hua Hin pula.
Bagaimanapun disebabkan soal keselamatan dan tempoh singkat 'notis' untuk sidang kemuncak di Hua Hin ini, hanya negara anggota ASEAN sahaja yang bertemu.
Ia berbeza dengan sidang sebelum ini yang menyaksikan kehadiran negara-negara rakan. Mesyuarat khas untuk kumpulan rakan ASEAN seperti New Zealand, Australia, China, India, Korea Selatan dan Jepun mungkin akan diadakan pada April depan. Itu pun bergantung kepada situasi ketika itu.
Seperti sidang kemuncak terdahulu, pelbagai isu dan agenda mewarnai perbincangan sidang kali ini.
Selain membincangkan krisis kewangan yang melanda rantau ini, isu lanun di perairan Somalia dan pelarian Rohingya Myanmar menjadi antara agenda utama yang dibawa oleh Malaysia.
Sebagai negara persinggahan pelarian dari Myanmar itu, Malaysia berhak mengetengahkan isu berkenaan. Masa untuk tunggu dan lihat sudah berlalu. Sesuatu yang tegas perlu dilakukan. Masalah yang semakin berakar umbi itu mesti diberi perhatian dan seterusnya diatasi.
Jumlah pelarian Rohingya di Malaysia semakin meningkat. Ketika ini dianggarkan lebih 14,000 etnik Rohingya berada di Malaysia. Bagaimanapun angka itu mungkin lebih tinggi. Malah kini ia mula membanjiri negara jiran, Indonesia.
Seperti yang dikatakan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, jika dibiarkan ia akan terus melarat. Pelarian Myanmar itu akan semakin tersebar. Bukan sahaja di Malaysia dan Indonesia, malah akan menjadi masalah di peringkat global.
Myanmar perlu disedarkan segera. Rohingya adalah masalah mereka. Tetapi sejak sekian lama, negara lain terpaksa memikul beban tersebut. Yangon perlu menyelesaikan punca permasalahan membabitkan etnik Rohingya tersebut.
Ia tidak boleh lepas tangan. Myanmar perlu lebih terbuka dalam isu tersebut. Dalam masa yang sama, masyarakat antarabangsa khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu 'dikejutkan' dengan isu ini. Ketepikan dulu soal memulihkan demokrasi di Myanmar atau pembebasan Aung San Suu Kyi.
Masalah Rohingya lebih buruk. Ia membabitkan nyawa dan hak asasi ribuan etnik tersebut. Layanan ke atas hak asasi penduduk Rohingya hampir sifar di sana. Malaysia perlu bertegas dalam usaha memperjuangkan masalah Rohingya ini.
Sidang Kemuncak ASEAN ini adalah platform terbaik untuk menyuarakan hakikat tersebut. Isu Rohingya perlu diselesaikan secara kolektif dan positif. ASEAN perlu disediakan dan bersedia untuk itu. Selama ini Myanmar menjadi masalah kepada ASEAN berhubung isu hak asasi dan demokrasi. Keadaan itu perlu diperbetulkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sewaktu ditemu bual akhbar Bangkok Postkelmarin menegaskan, ASEAN perlu tegas dalam isu Rohingya.
"Kita memerlukan banyak persefahaman dan kerjasama mengenai bagaimana mengawal isu ini di sempadan. Kita perlu tegas dan serius menangani situasi itu. Sekiranya tidak, kita semua akan menghadapi masalah," katanya.
Menurut Abdullah, Malaysia tidak mahu dilihat tidak bertimbang rasa. Bagaimanapun isu itu melibatkan orang yang "memasuki Malaysia tanpa permit".
Katanya, dalam isu Rohingya, semua pihak perlu bersikap tegas. "Ketegasan itu perlu bermula di semua sempadan. Kita perlu menghantar mereka (pelarian Rohingya) pulang," tegas beliau.
Selain Rohingya, Malaysia turut membawa isu ancaman lanun di perairan Somalia pada sidang ini. Isu berkenaan juga penting untuk dibincangkan kerana lanun di Teluk Aden itu merupakan ancaman global.
Persefahaman dan kerjasama daripada negara blok Asia Tenggara ini sangat penting kerana lanun-lanun di perairan Somalia itu turut mengancam kapal-kapal dari rantau ini.
Sebagai negara yang kapal-kapalnya pernah menjadi tebusan lanun di Teluk Aden itu, Malaysia seharusnya bertindak lebih agresif dalam mendapatkan kerjasama jiran serantau. Isu lanun di perairan itu perlu diterjemahkan kepada keadaan yang benar-benar memuaskan.
Sementara itu, Malaysia juga akan berusaha menarik perhatian negara serantau berhubung isu di Gaza. Sekurang-kurangnya berkaitan dengan bantuan kemanusiaan dan kemungkinan mewujudkan keamanan di Gaza dan seluruh Palestin.
Sama ada ia mendapat persetujuan kolektif semua negara ASEAN adalah isu berbeza. Bagaimanapun tidak salah untuk Malaysia berusaha mengetengahkan isu yang membabitkan soal kemanusiaan tersebut.
Sidang Kemuncak ASEAN terakhir untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ini juga menyaksikan beberapa dokumen penting ditandatangani oleh Malaysia. Ia bertujuan meningkatkan kerjasama dengan negara blok serantau ini.
Antaranya ialah dokumen mengenai masyarakat keselamatan politik ASEAN, sosial budaya Asia Tenggara, keselamatan bahan makanan serantau selain kerjasama global dalam hal ekonomi dan krisis kewangan dunia.
[Utusan Online, 28/2/2009]
No comments:
Post a Comment