Friday, February 06, 2009

Isu-isu moral dalam politik Malaysia







Perkembangan politik di Perak menjadi tumpuan rakyat Malaysia. Sebuah kerajaan negeri yang berusia sebelas bulan, Pakatan Rakyat (PR) telah hilang mandat selepas tidak mendapat kepercayaan dan kesetiaan empat wakil rakyat iaitu Adun Changkat Jering Mohd Osman Jailu, Adun Behrang Jamaluddin Mohd Radzi, Adun Bota Dato' Nasarudin Hashim dan Adun Jelapang Hee Yit Foong.

Tun Dr Mahathir menyifatkan tindakan Barisan Nasional (BN) menerima dua orang bekas ahli Parti KeADILan Rakyat (PKR) sebagai tidak matang dan ‘fikir dulu sebelum terima orang seperti ini.’ Pemerhati dan orang ramai menyifatkan kedua-dua wakil rakyat berkenaan sedang mengalami proses pembusukan moral dalam politik Perak.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz berterus-terang menyatakan Adun PKR yang melompat adalah pengkhianat. ‘Manusia macam ni patut dilemparkan dengan kasut’ katanya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng turut menyuarakan rasa dukacita kerana kehilangan anggota parti masing-masing yang menyebabkan kerajaan PR hilang keyakinan daripada Sultan Azlan Shah, Sultan Perak.

Ketika Adun Bota, Dato' Nasarudin Hashim mengisytiharkan dirinya keluar dari UMNO dan menyertai PKR, Badan Perhubungan UMNO Negeri, Dato’ Tajol Rosli meletakkan jawatan.

Ketika penyokong PR beramai-ramai menuju ke kediaman Datuk Seri Nizar, Barisan Nasional menamakan Datuk Dr Zamry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang baru.

Perkembangan semasa keadaan politik Perak boleh diikuti di media massa yang sentiasa mengemas kini laporan mereka.

Artikel ini hendak melihat moral ahli politik khususnya di Perak yang mengakibatkan tumbangnya sebuah kerajaan negeri. Apakah ahli-ahli politik yang menjadi perhatian itu bermoral atau tidak? Apakah tindakan mereka boleh diterima dengan rasional dan bagaimana kita sepatutnya menilai keseluruhan keadaan ini dari perspektif politik matang?
Stanford Encyclopedia of Philosophy memberi definisi moral sebagai berikut,


1. descriptively to refer to a code of conduct put forward by a society or,
a. some other group, such as a religion, or
b. accepted by an individual for her own behavior or
2. normatively to refer to a code of conduct that, given specified conditions, would be put forward by all rational persons.

Dalam bahasa yang muda difahami, moral adalah akhlak; tahu baik dan buruk.

Tumbangnya kerajaan negeri Perak adalah kali ketiga dalam sejarah Malaysia. Kejadian pertama berlaku di Terengganu apabila kerajaan Pas ditumbangkan. Kali kedua berlaku di Sabah apabila kerajaan PBS dijatuhkan.

Ketiga-tiga peristiwa ini berlaku kerana ia dibenarkan oleh sistem demokrasi yang menjadi teras kepada pentadbiran Malaysia. Justeru, apakah tindakan ahli politik yang keluar parti itu dikira sebagai bermoral?

Masyarakat perlu ada standard tertentu untuk dikira baik atau buruk dan kedua-dua sifat ini dilihat oleh konteks di mana standard itu ditetapkan. Seseorang dikira bermoral apabila dia mengikut standard berkenaan dan dikatakan tidak bermoral apabila melepasi sempadan-sempadan tertentu.

Tindakan Adun Jelapang, Changkat Jering dan Behrang meninggalkan parti masing-masing adalah pilihan mereka. Sama ada mereka bermasalah atau tidak, ia merupakan keputusan peribadi dan wujud motif tertentu yang menyebabkan tindakan tersebut dibuat. Dalam pilihan raya lalu, rakyat telah memilih mereka kerana parti yang diwakili, jadi kemenangan yang diperoleh adalah kerana parti, bukannya populariti diri.

Adakah tindakan meninggalkan parti bermakna meninggalkan rakyat?

Seseorang yang memenangi pilihan raya dan menjadi wakil rakyat tidak pernah digelar sebagai wakil rakyat UMNO atau wakil rakyat PKR sebaliknya wakil rakyat Kepala Batas atau wakil rakyat Permatang Pauh. Walaupun kemenangannya tidak seratus peratus dipilih oleh pengundi di kawasannya, dalam sistem demokrasi berparlimen Malaysia, kelebihan satu undi dikira sebagai pemenang. Oleh itu, meninggalkan parti atau melompat parti bukannya meninggalkan rakyat.

Jadi, adakah pemimpin yang melompat parti ini seorang yang bermoral kerana kemenangannya adalah atas tiket parti?

Pakatan Rakyat mempertahankan kerajaannya dan berikrar akan berusaha bersungguh-sungguh bagi mempastikan mereka kekal di Perak. Semasa pemimpin PR berkumpul bagi merangka strategi seterusnya, tiga Adun Bebas tersenyum riang tetapi orang ramai bertanya: adakah tindakan mereka itu boleh diterima?

Penyokong BN tentu akan gembira kerana tindakan tersebut telah merealisasikan impian untuk membentuk kerajaan yang baru di Perak dan meningkatkan motivasi. Namun bagi pengundi yang kecewa, mereka menyumpah dan tidak puas hati. Dalam keadaan keliru memang sukar hendak membuat keputusan apatah lagi memahami prinsip perlembagaan yang didokong.

Pengundi keliru di antara memilih wakil parti atau memilih individu tertentu untuk mewakili kawasan mereka sebagai wakil di DUN atau parlimen. Kekeliruan boleh dirungkai jika kita melihat politik di Amerika Syarikat, bukannya Thailand.

Semasa pertandingan bagi memilih calon Demokrat sebagai presiden Amerika, Barack Obama dan Hillary Clinton bersaing untuk menang. Selepas itu semua orang tahu apa kesudahannya. Obama yang menang.

Setelah menjadi presiden, Obama memilih Hillary Clinton menjadi Setiausaha Negara dan diterima oleh Clinton dengan senang hati. Obama tidak pun meminggirkan saingannya.

Realiti politik Malaysia belum lagi mencapai tahap kematangan politik seperti mana di Amerika Syarikat di mana pesaing diambil menjadi rakan sepasukan. Di Malaysia, calon yang kalah biasanya akan berundur dan calon yang menang akan membentuk pasukan baru dengan kuasa yang sangat hebat.

Sultan Perak tidak berkenan untuk mengadakan pilihan raya semula kerana baginda yakin dengan kerajaan baru yang akan dibentuk oleh BN. Walaupun Datuk Seri Nizar merayu, keputusan itu tidak dapat lagi diubah dan beliau perlu menghormati dan menerima kenyataan. Tindakan mengumpul penyokong untuk membantah keputusan Sultan Perak dilihat sebagai usaha menjejaskan imej dan autoriti raja sebagai ketua negeri. Ia juga tindakan yang dilihat sama seperti rasa tidak puas hati penyokong Thaksin dan Abhisit Vejjajiva di Thailand.

Bagaimana kita menilai pemimpin politik dari perspektif moral?

Ia umpama memandu kereta di persimpangan lampu isyarat pada jam 3 pagi. Lampu merah di hadapan tetapi tidak ada kenderaan lain atau polis di situ. Apakah kita akan tunggu sehingga lampu bertukar hijau atau meneruskan perjalanan ketika lampu isyarat masih berwarna merah?

Pertukaran kerajaan Pakatan Rakyat kepada Barisan Nasional di Perak adalah realiti. Situasi ini telah memberi pengalaman dan pendedahan kepada rakyat Perak khususnya untuk berfikir dan menjadi lebih matang dalam pilihan raya yang akan datang supaya memilih wakil rakyat yang tepat dan boleh diharap.

Lalu, apakah mereka yang memujuk wakil rakyat meninggalkan parti untuk menjadi ahli Bebas dianggap bermoral?


 

No comments:

Post a Comment