Penulis: William Blum
Tahun: 2007 (edisi terjemahan)
Penerbit: Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad, Kuala Lumpur.
Muka surat: 303
Amerika Syarikat ada di mana-mana, secara langsung dan tidak langsung. Negara ini ibarat seorang juara bina badan dunia yang sering menunjukkan otot-otot badan yang kental dan perkasa. Keunggulan Amerika semakin serlah selepas dunia mengiktiraf kuasa tunggal terulung dan apa yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpinnya dianggap betul.
Blum membahagikan kepada tiga bahagian. Pertama, beliau melihat hubungan di antara Washington dan keganasan. Ia menerangkan penglibatan Amerika di Afghanistan, manual latihan askar Amerika dan peranan CIA, sentiasa mencari penyangak-penyangak baru dan menyokong Pol Pot di Kemboja. Kedua, Amerika adalah pengeluar senjata canggih paling dominan kerana itulah ia perlu terus mencipta konflik supaya industri senjata negara itu dapat hidup. Senjata kimia dan biologi (CBW) ditaja oleh Amerika dalam siri peperangan di Iraq, Afghanistan dan digunakan oleh Israel dalam serangan ke atas Gaza baru-baru ini. Ketiga, negara samseng lawan dunia. Campur tangan Amerika bermula sejak 1945 hingga kini melalui manipulasi kuasa, melobi, perang saraf dan membunuh tanpa dapat dihalang.
Buku ini mendedahkan keupayaan Amerika khususnya melalui peranan CIA yang sentiasa berlegar di seluruh dunia dengan pelbagai cara. Salah satu bab yang menarik ialah penyeksaan. Dalam bab ini didedahkan penglibatan CIA di beberapa buah negara yang mengguna pakai manual seksaan yang sungguh kejam. CIA terlibat di Greece, Iran, Jerman, Vietnam, Bolivia, Uruguay, Brazil, Guatemala, El Salvador, Honduras dan Panama. Sebagai contoh di Iran, perkhidmatan keselamatan Iran yang terkenal dengan kezaliman, SAVAK, menggunakan penyeksaan secara rutin, ditubuhkan di bawah bimbingan CIA dan Israel pada 1950-an, Menurut bekas penganalisis CIA tentang Iran, Jesse J. Leaf, SAVAK diajar teknik penyeksaan oleh CIA. Selepas revolusi 1979, kerajaan Iran ketika itu menjumpai filem CIA yang dibuat untuk SAVAK tentang cara menyeksa wanita.
Seksaan bukan setakat di luar negara, malah ia dilakukan ke atas rakyat Amerika kulit hitam dan Amerika Latin. Orang yang melakukan penyeksaan itu adalah pegawai berkulit putih. Antara cara seksaan ialah banduan digantung dari cangkuk melalui gari yang dipasang pada lengan dan dipukul kaki dan zakar mereka, alat sulit dikenakan kejutan elektrik, melemaskan dan senjata diacukan di mulut dan picu dipetik.
Bagi pelatih tentera, bentuk latihan juga ganas. Dalam kursus, mereka diajar kemandirian di gurun dengan pelatih dipaksa makan biawak, dipukul dan dimaki hamun.
Amerika juga telah menyumbat Nelson Mandela ke dalam penjara selama 28 tahun melalui peranan CIA. Mandela ditangkap setelah CIA memberitahu kerajaan Afrika Selatan di mana dia berada. Paul Eckel, petugas kanan CIA memberitahu, ‘Kami sudah menyerahkan Mandela kepada cawangan keselamatan Afrika Selatan. Kami memberikan setiap maklumat, apa yang akan dipakainya, waktunya, tempat dia berada. Mereka sudah menangkapnya. Ini merupakan rampasan kuasa kami yang paling hebat.’ Pada Februari 1990, presiden George Bush menelefon Mandela dan berkata ‘seluruh rakyat Amerika amat gembira kerana pembebasan itu’ sebaik pemimpin kulit hitam itu bebas dari penjara.
Amerika juga terlibat dengan pengedaran dadah. Peranan ini dilaksanakan dengan berkesan oleh CIA. Bermula dari tahun 1947 hinggalah sekarang, penglibatan pengedaran dadah sentiasa berada dalam kawalan dan pengetahuan CIA.
Di Asia Tenggara, operasi dadah bermula pada 1950-an dengan menjadikan Segi tiga Emas (sebahagian Mynmar, Thailand dan Laos) sebagai sumber candu dan heroin terbesar di dunia. Dari situ, CIA menggunakan syarikat penerbangan Amerika bagi menghantar bekalan dadah ke seluruh Asia Tenggara dan dihantar kepada pelanggan di Barat.
Bekas ketua unit penguatkuasaan elit DEA, Dennis Dayle berkata, ‘Sepanjang sejarah 30 tahun saya bertugas dalam Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah dan agensi yang berkaitan, sasaran utama siasatan saya sentiasa saja berkesudahan dengan saya bekerja untuk CIA.’
No comments:
Post a Comment