Penulis: Rita Kiki Edozie
Tahun: 2002
Penerbit: Africa World Press
Muka surat: 480
Tulisan ini didorong oleh pemansuhan pilihan raya presiden Nigeria pada 1993 iaitu tindakan sewenang-sewenangnya oleh rejim tentera Jeneral Ibrahim Babangida. Pilihan raya berkenaan disifatkan sebagai paling bebas dan adil pernah diadakan di negara itu yang telah memilih Moshood Abiola sebagai presiden.
Meneliti isu pokok dalam sejarah unik Nigeria, buku ini menonjolkan sebab akibat perkembangan dan pembangunan pergerakan yang menentang tindakan tentera, kesan daripada munculnya kumpulan-kumpulan yang pro demokrasi dan kelompok pejuang hak asasi manusia. Antara mereka ialah Campaign for Democracy (CD), National Democratic Coalition (NADECO) dan United Democratic Front of Nigeria (UDFN). Pergerakan politik yang aktif dan pengaruh popular kumpulan-kumpulan ini sekitar 1990-an menjadi katalis kepada kejatuhan Babangida pada 1993 dan membuka jalan kepada pentadbiran demokratik dan kewujudan Nigeria Fourth Republic pada 1999.
Dalam penerbitan ini, Rita Kiki Edozie memberi analisis akademik yang mendalam terhadap aktiviti-aktiviti pelbagai kumpulan aktivis dari 1989 hingga 1999, melihat kembali dan memahami kedinamikan politik Nigeria semasa tempoh sepuluh tahun yang bermasalah. Dia juga mengenal pasti usaha-usaha mobilisasi sosial dalam masyarakat awam Nigeria untuk melumpuhkan korupsi dan salah guna kuasa oleh pihak tentera. Satu analisis yang berhati-hati terhadap strategi, corak tingkah laku dan tindakan kelompok-kelompok individu dan usaha-usaha penyatuan ke arah memudahkan perubahan bagi menerima sistem demokrasi.
Buku ini memberi pandangan yang serius dan kritikal, kajian yang seimbang ke atas perkembangan politik Nigeria di akhir abad ke-20. Ia mencapai kemuncak dengan ramalan yang optimis terhadap keadaan politik negara itu yang akan pulih kembali dan mengekalkan demokrasi popular seiring dengan kedatangan abad dan millenium baru.
No comments:
Post a Comment