Bagaimanapun kemasukan pekerja-pekerja Cina dan India ke Tanah Melayu pada abad ke-19dan 20 telah mengubah nilai dan keadaan semula jadi masyarakat Melayu. Mereka mendapati terdapat kekurangan untuk bersaing dalam keadaan semangat yang tinggi. Komuniti baru yang datang ini telah memberi persaingan yang ketara kepada bangsa Melayu dan mereka yang tidak mampu bersaing akan tertinggal di belakang.
Orang Melayu hidup di kampung dan mengamalkan nilai dan adat tradisi mereka turun-temurun. Persekitaran rumah yang ditanam dengan pelbagai pokok dan sayur-sayuran serta ternakan mempastikan mereka tidak putus bekalan makanan. Pendidikan ketika itu tidak dipentingkan sangat kerana yang penting adalah keperluan harian. Kedatangan imigran Cina dan India telah membuka lembaran baru dalam kehidupan masyarakat Melayu dan melihat persekitaran dengan prospek yang lebih luas.
Syed Hussein Alatas dalam bukunya ‘The Myth of the Lazy Native’ menerangkan bahawa orang Melayu sangat setia kepada ketuanya. Masyarakat Melayu yang hidup dalam komuniti tersendiri sangat mengutamakan umur dan generasi tua yang dikaitkan dengan kebijaksanaan, berpengalaman dan berpengetahuan. Orang tua sering dianggap bijak dan disegani.
Islam telah mengubah kehidupan masyarakat Melayu dan menjadi sebuah bangsa yang hebat. Melaka telah menjadi sebuah pusat Islamisasi yang hebat di Asia Tenggara pada abad ke-15. Nilai, budaya dan adab seperti malu, bertoleransi, akhlak mulia, meraikan tetamu, jujur, bersih, kerjasama, menghormati jiran dan sebagainya mempunyai akar umbi Islam. Bagaimanapun terdapat salah faham berkaitan nilai-nilai ini yang masih diamalkan oleh masyarakat Melayu. Kerapkali kepercayaan ini dijadikan sebagai alasan untuk mengesahkan kejahilan mereka. Salah faham ini menjadikan Melayu malas dan berserah kepada nasib.
Sekiranya tidak mendapat apa yang diingini, mereka cenderung menyalahkan takdir. Kepercayaan melulu terhadap konsep dan peranan takdir telah membentuk sikap kepuasan diri yang segera terhadap apa jua masalah yang dihadapi. Keadaan ini boleh diperhatikan melalui pembentukan peribahasa yang menggambarkan sikap tersebut. Antaranya ialah ‘rezeki secupak tidak akan jadi segantang' dan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.’
Salah faham terhadap keperluan bekerja keras telah membentuk minda Melayu bahawa kekayaan tidak penting kerana tidak dapat dibawa ke lubang kubur. Pengukuhan tersebut dapat dilihat dalam peribahasa ‘ulat dalam batu pun boleh hidup’ yang memberi maksud tidak perlu bekerja kuat kerana rezeki telah ditentukan.
Konsep ini sangat bertentangan dengan masyarakat Cina yang melihat peminta sedekah adalah lambang kemiskinan dan kehidupan tanpa usaha. Jelas bahawa konsep kesederhanaan telah disalah tafsir bagi menidakkan usaha yang bersungguh-sungguh. Amalan lain yang wujud dalam masyarakat Melayu ialah tradisi yang telah berakar umbi sejak lama iaitu kepercayaan terhadap kuasa luar bagi meminta bantuan terhadap aktiviti harian, penentuan cuaca dan merawat penyakit.
Tradisi ini telah bertapak dalam masyarakat sehinggakan tidak mahu melihat perubahan sebagai satu keperluan kerana mereka tidak didedahkan dengan idea yang kreatif dan luar daripada kepompong minda yang terjajah.
Banyak peribahasa yang berkaitan dengan tatatertib, peraturan, cara dan panduan yang menjadi panduan masyarakat Melayu dalam kehidupan mereka. Antaranya ialah:
Biar lambat asalkan selamat | keselamatan lebih penting dan perlu berhati-hati dalam membuat sebarang pekerjaan |
Tidak lari gunung dikejar | perkara yang dibuat secara tergesa-gesa biasanya akan menimbulkan banyak masalah dan kurang lengkap serta tidak terurus |
Awal dibuat, akhir diingat | setiap perkara yang hendak dilakukan wajar difikirkan semasak-masaknya supaya selamat |
Alang-alang berdakwat biarlah hitam | galakan membuat kerja dengan bersungguh-sungguh |
Peribahasa ini menggambarkan bahawa orang Melayu adalah malas, degil, gopoh, bekerja tidak bersungguh-sungguh dan bekerja mengikut peraturan. Walau bagaimanapun masih terdapat peribahasa yang berkaitan nasihat untuk bekerja dengan berhati-hati, teliti dan berfikir dengan mendalam. Kesimpulan ini bertepatan dengan pendekatan teori psikososial yang digelar oleh Frank sebagai ‘teori psikologi’ dan Havens sebagai ‘teori psikodinamik.’
Punca kemiskinan di dalam masyarakat Melayu dipengaruhi oleh dua faktor penting iaitu (i) faktor psikologi iaitu mentaliti seseorang dan budaya masyarakat setempat, dan (ii) faktor kebudayaan tradisional. Kedua-dua faktor ini dianggap sebagai penghalang dan diterjemahkan dalam pelbagai bentuk sama ada melalui budaya, peribahasa, pantun ataupun amalan tradisi. Inilah yang dianggap sebagai jawapan kepada keadaan kemiskinan yang dialami oleh negara-negara membangun dan Dunia Ketiga.
Tokoh pengkaji kemiskinan David McClelland menyatakan bahawa golongan miskin di negara-negara miskin tidak mempunyai semangat dan dorongan yang tinggi serta bersikap negatif terhadap pembangunan. Mereka mudah mengalah pada nasib dan aspirasi yang rendah terhadap pencapaian. Seorang lagi pengkaji, Hagen turut berpendapat bahawa keinginan negara-negara miskin untuk mengadakan peraturan dan menikmati kuasa autonomi adalah rendah sedangkan keinginan untuk bergantung dan menyerah diri kepada kongkongan adalah tinggi.
Kedua-dua tokoh ini percaya bahawa dengan mewujudkan suasana yang menggalakkan keinginan pencapaian yang tinggi, keinginan untuk menikmati autonomi yang tinggi, keinginan untuk berperaturan yang tinggi dan kesanggupan mendedahkan diri pada pengalaman baru akan menghasilkan satu jenis personaliti ‘manusia ekonomi’ yang boleh membawa pembangunan dan modenisasi ekonomi.
Masyarakat Melayu dahulu ialah golongan yang kuat beragama dan mereka percaya kepada Qada' dan Qadar. Mereka reda dengan rezeki secupak tidak akan jadi segantang. Tidak perlu rasuah atau pecah amanah untuk mendapatkan rezeki. Prinsip wasatiyyah telah lama diamalkan.Tidak perlulah dilaung2kan sekarang kerana jati diri Melayu sudah ada semua itu.
ReplyDeleteOrang Melayu ialah masyarakat yang memiliki sikap reda dan percaya kepada Qada' dan Qadar.Tidak perlu rasuah atau pecah amanah untuk menjadikan rezeki secupak kepada segantang. Mereka sudah lama memiliki sikap wasatiyyah dengan mengamalkan hidup sederhana iaitu kais pagi makan pagi,kais petang makan petang. Hamka ada menyebut bahawa orang yang lebih banyak terjauh daripada kesenangan hati ialah orang yang banyak harta.Mereka lebih banyak was-was,lebih jauh daripada nikmat ketenteraman hati.Tidak perlu untuk merendahkan Melayu kerana Melayu itu orangnya bijaksana...
ReplyDelete