Wednesday, February 11, 2009

Bisnes pusat membaca cepat

Membaca adalah satu pengalaman yang menyeronokkan terutama bagi kanak-kanak yang berumur 3 hingga 5 tahun. Pada peringkat ini, kanak-kanak adalah individu yang paling besar keinginannya untuk mempelajari, mengetahui, meneroka, mencuba dan menyelidik.

Keupayaan mereka untuk mempelajari dan mengetahui sesuatu perkara akan bertambah-tambah jika mereka dapat mencuba dengan cepat dan berkesan.

Dalam Islam, mengajar kanak-kanak adalah satu tugas yang murni, amat penting dan diberi keutamaan. Contoh yang amat jelas ialah peristiwa selepas peperangan Badar iaitu Rasulullah SAW telah membuat keputusan mengenai tawanan perang seramai 70 orang. Mereka diberi dua pilihan iaitu bagi tawanan yang punya banyak harta, dia boleh menebus diri dengan wang, manakala bagi yang miskin tetapi pandai membaca, dia dikehendaki mengajar 10 orang kanak-kanak Islam sehingga pandai.

Masa yang paling sesuai untuk mengajar kanak-kanak membaca ialah ketika otak mereka sedang pesat membangun iaitu 25 peratus ketika lahir, 50 peratus ketika berumur enam bulan, 85 peratus ketika berumur tiga tahun dan 95 peratus ketika mencapai umur enam tahun.

Maklumat yang diperolehi daripada kajian ini menunjukkan kadar kepesatan otak membangun dan berkembang ialah semasa berumur 0 hingga 3 tahun. Jika rangsangan dan kemahiran membaca diberikan pada masa ini, ia akan memberi kesan yang paling optimum untuk menaikkan taraf kecerdikannya.

Bisnes membaca cepat adalah bisnes kemahiran. Mengajar kanak-kanak berumur 3 hingga 6 tahun membaca adalah satu cabaran. Tetapi nikmat dan kepuasan yang dikecap ialah apabila melihat kanak-kanak ini mampu membaca dengan lancar selepas beberapa bulan tekun belajar di pusat membaca anda.

Keperluan untuk menyediakan pusat membaca seperti ini tidaklah banyak. Anda hanya perlu menggunakan teknik paling berkesan untuk kaedah membaca seperti fonetik (bahasa Malaysia dan Inggeris), meja dan kerusi saiz kanak-kanak, suasana kelas yang memberi motivasi untuk belajar dan kesabaran anda mengajar membaca.


Bayarannya pun boleh dikenakan sebanyak RM80 hingga RM120 sebulan mengikut kekerapan dan bahan pengajaran digunakan. Lokasi paling sesuai ialah di kawasan taman perumahan, kawasan tumpuan institusi pendidikan dan terdapat ramai kakitangan awam. Antara pusat membaca yang berjaya di Malaysia ialah Smart Reader, Q-dees dan pusat Membaca Cepat Bacalah Anakku.

No comments:

Post a Comment