Thursday, February 12, 2009

Bagaimana kanak-kanak belajar membaca?

Beberapa perkara asas diperlukan untuk kanak-kanak belajar membaca di peringkat awal. Ianya berkait di antara satu sama lain. Antaranya ialah belajar bagaimana kaitkan bunyi huruf, bina kelancaran dan beri makna ke atas setiap huruf yang dibaca.

Perkara asas yang susah untuk memulakan proses membaca ialah keupayaan kaitkan bunyi huruf di atas kertas atau dalam buku yang bercetak.

Untuk membaca, kanak-kanak ini mesti dapat tentukan hubungan di antara huruf dan bunyi. Sebaik-baiknya mereka menguasai bunyi huruf dan diftong supaya tidak terganggu semasa membaca kelak.

Memahami bagaimana hubung kait di antara bunyi dan huruf dapat membantu pembinaan kemahiran membaca yang cepat dan betul. Kenapa perkaitan ini sangat penting? Kerana besar kemungkinan kanak-kanak menghadapi masalah untuk rekodkan bunyi perkataan tersebut apabila dibaca dengan pantas. Contohnya perkataan 'ja', jika tidak dapat sebut dengan tepat perkataan 'saja' ia akan mengganggu kelancaran membaca.

Keupayaan membaca setiap perkataan sememangnya dapat menambah kemahiran membaca, kelajuan membaca juga menjadi faktor kritikal ke atas pemahaman apa yang sedang dan telah dibaca.

Secara purata, kanak-kanak perlukan empat hingga 14 kali pendedahan untuk kenal perkataan baru. Jadi, untuk belajar membaca, adalah mustahak bagi kanak-kanak membaca teks bacaan yang besar. Latihan mengeja juga dapat melonjakkan perkembangan membaca yang lebih lancar.

Dengan ejaan, kanak-kanak menerima berbagai-bagai contoh sesuatu huruf diterjemahkan kepada bunyi-bunyian. Ia juga memberitahu bahawa tulisan dibentuk oleh gabungan huruf dan perkataan yang lebih banyak.

Pada tahap membaca seterusnya, mereka dapat membuat rumusan sendiri iaitu membaca adalah kombinasi yang lebih banyak daripada hanya melihat perkataan demi perkataan.

Matlamat utama dalam langkah-langkah proses membaca ialah mempastikan kanak-kanak faham bahan-bahan yang dibaca. Keupayaan memahami apa yang dibaca boleh dilihat daripada beberapa faktor.

Kanak-kanak yang dapat faham dengan jelas, didapati boleh kaitkan maklumat atau pengetahuan mereka ketika membaca. Dalam erti kata lain, mereka dapat aktifkan pengetahuan tersebut yang dikaitkan dengan proses tumbesaran yang sedang dialami.

Kefahaman mereka juga terserlah dalam perbendaharaan kerana amat sukar untuk memahami sesuatu perkara yang belum dapat dikuasai sepenuhnya.

Keupayaan menyoal turut menjadi rangkuman kepada proses memahami, meringkaskan, meramal dan memperjelaskan apa-apa yang dibaca. Semakin banyak bertanya, lebih banyak maklumat dapat dicari dan ianya dapat membantu dalam proses membuat keputusan.

Membina kemahiran membaca di dalam kehidupan kanak-kanak perlu dilakukan oleh guru yang terlatih kerana guru seperti itu mampu menyusun peluang-peluang untuk menambah baik pembacaan khususnya ketika kanak-kanak berhadapan dengan kesukaran ketika membaca. Ibu bapa yang tidak mendapat pendedahan tentang kaedah khusus mengajar membaca tentu sekali sukar menentukan peluang-peluang berkenaan.

Apakah yang mempengaruhi keupayaan membaca?

Membaca sehingga lancar adalah satu proses yang panjang. Ia bermula dari peringkat awal perkembangan kanak-kanak dan sebelum mereka melangkah ke alam persekolahan formal.

Ibu bapa yang prihatin mula memberi rangsangan kepada pengalaman pembelajaran anak-anak mereka bermula sejak belum lahir hingga umur dua tahun. Anak-anak yang membesar dengan pendedahan seperti ini lebih pintar dan cerdas kerana mampu berkomunikasi lebih cepat, perbendaharaan kata yang lebih banyak, faham matlamat membaca dan dapat bina kerangka pembacaan yang kemas dan sistematik.

Kanak-kanak yang lancar membaca pada awal usia terdedah kepada pelbagai jenis bunyi bahasa, konsep rima dan juga bahasa-bahasa lain di sekitar mereka. Pendedahan ini menjadi asas kukuh kepada pembinaan bahasa yang lebih kompleks dan menyeluruh.

Keupayaan membaca kanak-kanak memang lebih banyak dikaitkan dengan latar belakang pengetahuan mereka. Jika diberikan peluang, keupayaan berfikir dan bercakap mengenai perkara yang mereka minat, kita akan dapati banyak maklumat diperoleh melalui membaca.

No comments:

Post a Comment