Tuesday, February 10, 2009

Konsep bangsa (3)

Kumpulan etnik adalah kelompok yang diikat oleh persamaan budaya. Namun, persamaan budaya yang lengkap tidak menjadi keperluan Cuma ciri-ciri yang terdapat dalam kelompok etnik perlu dizahirkan seperti corak dalam keluarga, keagamaan dan bahasa. Kelompok etnik selalu memiliki simbol-simbol khusus dan adat kebiasaan, tradisi pakaian, seni dan perhiasan, kod moral dan sistem nilai serta corak rekreasi. Biasanya terdapat beberapa objek yang mengikat kesetiaan ahli kelompok seperti institusi raja, agama, bahasa atau wilayah. Lebih penting daripada itu ialah kesedaran untuk bersama (we-feeling).

Kumpulan etnik mungkin memperkenalkan diri mereka sebagai bangsa iaitu kelompok yang mempunyai warisan yang sama tetapi perwarisan seperti itu kurang bermakna berbanding anggapan bahawa mereka ada pertalian darah yang sama iaitu faktor pengikat yang lebih kukuh.

Kumpulan ini juga tidak semuanya sama. Sesetengahnya menekankan ciri-ciri luaran seperti warna kulit. Agama merupakan simbol penting yang mengikat kesetiaan antara satu sama lain. Tambahan pula kumpulan etnik ini sentiasa dinamik; tradisi mungkin berubah tetapi sentimen kesetiaan tetap ada selagi etnik itu wujud.

Kumpulan etnik boleh dan tidak boleh membentuk unit politik mereka sendiri. Mungkin sudah ada pada masa lalu unit ini tetapi kurang agresif. Justeru ada yang bercita-cita menjadikan politik sebagai satu instrumen penting pada masa depan. Contohnya Kesatuan Soviet dianggotai lebih seratus kumpulan etnik seperti Polish, Jerman, Kazak, tartar dan Ukrainian.

Keadaannya berbeza pada kelompok Negro Amerika, kulit putih Jamaica dan Anglo-Indians. Mereka diikat oleh minat yang sama, bercakap menggunakan ‘kita’ dan menganggap ‘mereka’ sebagai berada di luar kumpulan. Bagaimanapun mereka masih kekurangan ciri-ciri kebersamaan dan tidak ada budaya yang unik.

No comments:

Post a Comment