Kaedah ini dilaksanakan secara terancang dan sistematik untuk mencapai sesuatu matlamat. Pada hari ini, media digunakan sebagai instrumen untuk mencipta kebenaran walaupun pada hakikatnya adalah palsu atau tidak wujud. Penjajah juga menggunakan kaedah ini untuk menghalang rakyat sesebuah negara daripada bangkit menentang mereka dan membebaskan diri daripada kongkongan penjajah.
Kita ambil contoh penjajah Inggeris yang melabel ‘Melayu adalah malas.’ Label ini sentiasa diulang-ulang dan diperkukuhkan dalam penyelidikan yang diterbitkan untuk menggambarkan bahawa orang Melayu, walau di mana mereka berada adalah malas. Inggeris menggunakan cara ini sebagai strategi menidakkan potensi dan perjuangan orang Melayu yang bangun menentang mereka.
Pelaksanaan idea ‘Melayu malas’ telah digunakan dalam semua bentuk sistem kehidupan masyarakat di Tanah Melayu sama ada sektor perkhidmatan kerajaan, pendidikan, pembangunan sosial atau politik. Di media, pihak Inggeris menggunakan hasil kajian ahli sosiologi mereka untuk memaparkan penemuan penyelidikan terhadap kehidupan orang Melayu. Antaranya ialah:
Penyelidik | Tahun | Sifat Melayu |
Wheeler | 1928 | Malas bekerja. |
Raffles | 1935 | Malas bekerja. |
Corteso | 1944 | Malas bekerja. |
Djamour | 1959 | Pentingkan kehidupan yang senang. |
Swift | 1965 | Suka miliki tanah supaya dapat hidup selesa dan tidak perlu bekerja kuat. |
Abdullah Munsyi | 1965 | Lelaki Melayu malas bekerja, membuang masa di kedai kopi dan menyabung ayam. |
Ness | 1967 | Kurang orientasikan pencapaian, malas dan tidak suka bekerja keras. |
Wilson | 1967 | Cara kerja orang Melayu berlainan dengan cara kerja orang Cina. |
Parkinson | 1967 | Cepat mengalah dalam persaingan merebut peluang hidup yang lebih baik. |
Senu Abdul Rahman | 1971 | Kurang usaha dan inisiatif. |
Penyelidikan sebegini dianggap sebagai saintifik dan tulen kerana ia dilakukan oleh ahli akademik. Namun kesimpulan hasil kajian mereka ialah Melayu malas iaitu menepati kehendak dan maksud penjajah Inggeris sendiri.
Kita boleh cabar idea yang menyatakan ‘Melayu malas’ dengan hujah yang sangat logik dan mudah. Dari segi pemikiran pun, orang yang malas akan cepat mati atau mudah dapat penyakit. Dia juga akan tertinggal dalam serba-serbi, dipinggirkan dan lenyap dengan sendirinya. Jika dalam persaingan, mereka akan kalah. Namun orang Melayu hari ini masih dapat meneruskan survival hidup, dapat bersaing dan telah menunjukkan beberapa pencapaian besar di peringkat serantau dan antarabangsa.
Pemerhatian penyelidik Inggeris ini ke atas sifat dan sikap malas orang Melayu hanya dilakukan ke atas petani dan pesawah di kampung kerana di situlah orang Melayu hidup dari kecil hingga besar. Selain itu dasar pecah dan perintah menghalang orang Melayu dari meneruskan kehidupan mereka di bandar kerana tahap pendidikan yang rendah, sifat rendah diri dan budaya bandar yang berbeza dengan kehidupan di kampung.
Limitasi kajian ke atas sikap orang Melayu hanya terhad di beberapa kawasan kampung dan tidak mewakili nilai dan budaya sebenar orang Melayu.
Urusan pertanian zaman dulu khususnya bersawah terpaksa dilakukan mengikut musim. Ada musim tengkujuh, musim kemarau dan angin timur. Musim-musim ini menentukan masa yang sesuai bagi orang Melayu untuk membajak sawah, semai anak benih padi dan menuai. Memilih musim dengan tepat akan menghasilkan jumlah pengeluaran padi yang maksimum.
Selepas semua aktiviti menanam padi selesai, terdapat masa senggang untuk menuai. Pada waktu ini, orang Melayu akan melakukan kerja-kerja senggaraan seperti menjaga kuantiti air, membunuh rumput-rumpai yang menghalang anak padi membesar dan membubuh baja supaya pokok padi lebih kuat dan berbuah lebat. Masa ini tidak memerlukan penggunaan tenaga yang optimum. Ada kalanya mereka agak lewat ke sawah, kadang-kadang duduk berehat di pangkin yang didirikan di tepi sawah untuk menghalau burung dan ayam yang makan padi. Ada masanya mereka hisap rokok daun nipah. Keadaan santai ini wujud kerana orang Melayu tidak perlu tergesa-gesa menguruskan sawah selepas semua aktiviti menanam selesai. Sebaik sahaja musim menuai, mereka akan bingkas bangun dan tangkas dalam kerja-kerja yang dilaksanakan.
Senario inilah yang dilihat oleh penyelidik Inggeris dan dijaja melalui konsep ‘Melayu malas’ sehinggakan anak-anak muda Melayu pada hari ini berasa rendah diri dan tewas dalam usaha mereka. Kepercayaan bahawa ‘Melayu malas’ sangat sukar diubah kerana ia telah ditanam dan dipasak berpuluh-puluh tahun yang lepas.
‘Manufactured reality’ merupakan proses melemahkan atau menguatkan persepsi terhadap sesuatu subjek. Apabila proses ini telah berakar umbi dalam fikiran, ia mengambil masa untuk dineutralisasikan. Kaedahnya juga pelbagai dan salah satu daripadanya ialah secara psikologi berbalik (reverse psychology).
Menggerakkan hati, fikiran dan tingkah laku melalui slogan ‘Malaysia Boleh’ adalah satu contoh psikologi berbalik yang sangat berkesan. Slogan ini diperkenalkan pada Mei 1992 untuk semarakkan semangat juang rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Tiga bulan selepas itu, pasangan lelaki badminton Malaysia telah mendapat pingat pertama dalam Sukan Olimpik Barcelona, Sepanyol.
‘Manufactured reality’ atau hakikat tajaan adalah menukar realiti palsu kepada benar dan diterima pakai oleh orang ramai. Ia mempengaruhi keputusan dan pencapaian matlamat yang telah dijangkakan. Oleh itu, mengatakan ‘Melayu malas’ adalah idea palsu. Ia boleh diubah kepada ‘Melayu hebat’, ‘Melayu cemerlang’ atau ‘Melayu Islam perkasa’.
No comments:
Post a Comment