Anak-anak remaja yang sedang bersekolah di peringkat menengah biasanya memberi banyak cabaran kepada ibu bapa dalam pelajaran. Jika anak-anak ini cemerlang dalam sahsiah dan pelajaran seperti Azali Azlan, Nur Amalina atau Najmil Faiz ia tidaklah menjadi beban dan masalah untuk difikirkan, sebaliknya kalau hari-hari terpaksa memantau dan mengingatkan mereka untuk ke sekolah dan belajar rajin-rajin, tidak ramai ibu atau bapa yang sanggup bertindak sendirian.
Apa yang perlu dilakukan jika kita mempunyai seorang anak lelaki yang tidak minat langsung hendak belajar?
Rasanya sudah bermacam-macam cara yang dilakukan sama ada denda, catu duit belanja, galakan dan motivasi namun semuanya belum mampu menarik minatnya untuk duduk membaca buku, buat kerja sekolah atau sekurang-kurangnya sentiasa ada buku di tangan.
Bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang sangat mendukacitakan, apa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk membantunya?
Tindakan menukar sekolah kerana ponteng kelas bukanlah langkah yang tepat lebih-lebih jika sekolah berkenaan di bandar dan hampir dengan kafe siber berinternet. Sudah tentu hari-hari dia akan melencong ke situ berbanding mentelaah pelajaran di sekolah.
Bagi mengelakkan anak-anak ponteng, ada ibu bapa yang sanggup menanti loceng kelas berbunyi supaya dapat melihat anak mereka masuk ke dalam kelas.
Barangkali anak-anak begitu ingin sekali ke aliran teknikal atau vokasional. Namun dia tetap juga tidak mahu berubah kerana ‘jangan memandai-mandai nak tentukan hidupnya.’ Kata-kata ini menunjukkan betapa dia tidak mahu lagi belajar dan tidak mahu berubah.
Keadaan inilah yang memeningkan kepala ibu bapa yang ingin membantu membentuk masa depan anak-anak mereka. Pening dengan kerenah, sikap dan tingkah laku anak-anak yang belum tahu apa nak jadi pada masa depan. Jika ditanya apa yang mereka hendak, sukar pula hendak dijawabannya.
Jadi, bagaimana penyelesaian bagi masalah ini?
Pertama, lihat sebab-musabab kenapa anak-anak yang sedang meningkat usia ini bertingkah laku begitu. Tidak minat belajar dipengaruhi banyak perkara. Biar pun kecil, ia tetap menyebabkan masalah. Mungkin sikap ibu bapa sendiri yang tidah endah dengan siapa anak-anak berkawan di luar rumah. Pengaruh rakan sebaya hari ini sangat besar kerana berbagai-bagai perkara yang boleh menumpulkan minat untuk belajar ini. Daya tarikan kawan-kawan lebih besar jika ibu bapa jarang memberi perhatian kepada mereka walaupun cukup wang ringgit untuk belanja di sekolah.
Kedua, anak-anak yang membesar dalam persekitaran kawalan yang ketat di rumah akan lebih mudah mendapat kebebasan di sekolah kerana telah bercampur sosial dengan rakan-rakan yang lain. Oleh kerana kebebasan itu tidak diperoleh di rumah, mereka akan menjadikan aktiviti di sekolah sebagai tempat untuk merasai kebebasan berkenaan sama ada melepak, bertanding dalam permainan video dan sebagainya.
Ketiga, ketegasan ibu bapa harus bermula dari awal. Kalau anak-anak sudah membesar 15 atau 16 tahun baru hendak bertegas, keadaan itu sudah terlewat. Ia ibarat menyimbah air ke daun keladi. Ibu bapa wajar mencari cara lain untuk menyatakan mesej yang hendak disampaikan. Menggunakan orang ketiga adalah langkah pilihan untuk mengubah cara fikir dan sikap anak-anak. Biasanya pihak ketiga ini anak-anak mudah mengalah dan bersedia untuk membuat perubahan. Jika ada sepupu atau saudara rapat yang mereka hormat, urusan perubahan sikap berkenaan lebih mudah.
Keempat, hadir ke program perubahan sikap yang dirangka khusus untuk anak-anak tidak minat belajar. Kursus singkat seperti ini banyak diadakan oleh syarikat penyedia latihan. Konsep yang digunakan juga berbagai-bagai dan bergantung kepada matlamat hadir ke kursus. Ada kursus yang mengambil konsep latihan di dalam dan luar kelas, ada yang menjadikan agama sebagai teras seperti kembali mengerjakan solat yang betul, membaca al-quran dan beberapa praktikal lain yang menjurus kepada kesedaran diri dan tanggunjawab sebagai anak. Tujuan kursus jenis ini ialah menyediakan nilai-nilai setia, patuh dan berfikir bahawa kehidupan mereka akan ditanya apabila mati kelak. Ibu bapa perlu bersedia dengan wang ringgit dan masa bagi membolehkan anak-anak mendapat latihan yang maksimum untuk membuat perubahan diri.
Kelima, sokongan rakan-rakan daripada ibu bapa yang mempunyai masalah begini. Pengalaman dan nasihat mereka boleh dijadikan panduan yang amat bermakna untuk mendidik anak-anak menjadi anak yang soleh. Barangkali pengalaman berkenaan dapat mencungkil sebab sebenar kenapa anak-anak berubah sikap dan malas hendak belajar. Pasti ada sesuatu yang menyebabkannya jadi begitu.
Keenam, memeriksa solat dikerjakan atau tidak. Kalau satu keluarga sudah liat hendak bersolat, janganlah harap anak-anak akan solat kerana ibu bapa adalah model terbaik untuk anak-anak. Jika bapa selalu jogging pakai seluar pendek, anak lelaki akan ikut sekali kerana bapa telah menunjukkan contoh bagaimana berpakaian ketika jogging. Keluarga yang meninggalkan solat adalah keluarga yang malang.
Ketujuh, ibu bapa kurang berdoa untuk kejayaan anak-anak. Sikap ibu bapa yang menyerahkan urusan mendidik kepada pembantu rumah, guru atau guru tuisyen adalah langkah rapuh yang bakal menggugat peribadi anak-anak. Doa adalah sumber kekuatan yang sangat hebat untuk menggerakkan perubahan. Seorang lelaki yang hendak berkahwin dua telah berjumpa dengan tok kadi membawa sekali isteri tua dan bakal isteri muda. Apabila ditanya kepadanya bagaimana cara yang beliau gunakan untuk memberitahu isteri pertama, jawapan mudah. Berdoa setiap hari. Katanya, setiap kali lepas solat beliau akan berdoa untuk berkahwin satu lagi. Doa ini didengar dan diaminkan oleh isteri pertama. Ketika beliau memberitahu hasrat untuk kahwin seorang lagi, dengan mudah isterinya membenarkan dan tanpa banyak soal pula. Inilah kekuatan doa yang dibuat setiap hari.
Justeru dalam hal ini, ibu khususnya wajar mendoakan anak-anak supaya berakhlak mulia dan mendengar nasihat kedua ibu bapa, insya Allah lama-kelamaan akan diperkenankan Allah SWT.
Dalam kes anak tidak minat belajar, ibu bapa wajar melihat kembali fokus mereka dalam mendidik anak-anak. Adakah mereka mahu anak-anak berjaya dengan cemerlang di sekolah tetapi akhlak tergadai atau akhlaknya baik namun pencapaian akademik sederhana? Sedangkan yang kita pilih adalah akhlaknya baik dan pendidikan akademiknya sangat cemerlang. Barangkali penyelesaian dalam hal ini ialah menetapkan matlamat untuk diri dan anak-anak. Kebanyakan manusia tidak malas tetapi mereka mempunyai matlamat yang mati iaitu matlamat yang tidak merangsang mereka. Peranan ibu bapa ialah berusaha untuk menyedarkan anak-anak bahawa matlamat hidup kita sangat besar.
Terbaik....semoga berjaya
ReplyDelete