Monday, February 16, 2009

Kemiskinan bandar perlu ditangani dengan saksama

Ketika negara menghadapi cabaran berikutan kegawatan ekonomi global, satu aspek yang perlu dilihat ialah soal kemiskinan di bandar. Kemiskinan di bandar, jauh bezanya dengan di luar bandar dalam pelbagai aspek. Bayangkan kos kehidupan yang sangat tinggi di Kuala Lumpur menuntut setiap keluarga mesti mempunyai pendapatan minimum antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan dan sekiranya ada yang berpendapatan di bawah RM1,500, mereka layak digelar keluarga miskin.

Tetapi di luar bandar, pendapatan di bawah RM1,500 sebulan masih boleh dianggap selesa kerana kos sara hidup tidak tinggi, berbanding di bandar. Kebanyakan penduduk di luar bandar juga menikmati pelbagai bantuan, termasuk subsidi padi dan baja, selain mempunyai tanah yang luas untuk bercucuk tanam.

Malah di luar bandar, kebanyakan penduduknya tidak perlu menyewa rumah atau membayar tempat meletak kereta. Tetapi penduduk bandar terpaksa membayar semua itu. Semua faktor inilah menyebabkan kehidupan di bandar walaupun seseorang itu nampak ‘hidup mewah’ sebenarnya menanggung bebanan yang besar.

Namun, itu bukan pilihan mereka dan sesetengahnya memang berasal dari bandar, manakala pekerja sektor awam dan swasta terutama golongan berpendapatan sederhana dan rendah pula terpaksa berdepan bebanan kehidupan itu kerana mereka bekerja di bandar. Laporan khas akhbar ini semalam merungkai permasalahan kemiskinan di bandar dan mendapati kehidupan dalam keadaan miskin di bandar, menjadi lebih teruk daripada kehidupan rakyat miskin di desa.


Justeru, pihak berkuasa perlu melihat bagaimana untuk membantu golongan terbabit. Setakat ini, agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada menyediakan bantuan dengan mewujudkan pelbagai inisiatif bagi membantu golongan miskin meneruskan kehidupan dengan lebih selesa.

Namun, bantuan itu diberi berdasarkan pendapatan garis kemiskinan (PGK) ditetapkan kerajaan iaitu hanya keluarga berpendapatan di bawah RM720 di Semenanjung layak mendapat bantuan, RM830 bagi Sarawak dan RM960 di Sabah. Kita mengalu-alukan langkah kerajaan menaikkan kadar itu, berbanding cuma RM400 sebulan di Semenanjung sebelum ini. Tetapi apakah angka itu, misalnya pendapatan RM720 sebulan, sesuai untuk keluarga di bandar.

Sepatutnya, PGK dikaji semula dan tidak boleh dibuat secara menyeluruh. Laporan khas itu memaparkan betapa tidak adilnya untuk menyamakan PGK di luar bandar dengan di bandar terutama Kuala Lumpur. Sewajarnya ia dikaji semula dengan melihat semua aspek lain yang turut memberi kesan. Kos sara hidup di dua kawasan itu jauh berbeza. PGK di Kuala Lumpur sepatutnya dua kali ganda PGK di tempat lain. Kerajaan juga perlu melihat kembali kelayakan dan jumlah bantuan diguna pakai selama ini untuk berlaku adil.

[Berita Harian, 16/2/2009]

No comments:

Post a Comment