Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bimbang dengan perangkaan terkini menunjukkan antara 10 hingga 15 penumpang serta pembonceng motosikal meninggal dunia setiap hari di negara ini.
Peningkatan 9.6 peratus atau 290 bilangan kematian nahas jalan raya dari Januari hingga Jun 2008 kepada 3,305 kes berbanding 3,015 kes dalam tempoh sama 2007, 211 kematian adalah kalangan penunggang dan pembonceng motosikal.
Malah, sehingga September 2007 pula mencatatkan jumlah keseluruhan kematian akibat kemalangan jalan raya ialah 4,646 dan penunggang serta pembonceng motosikal saja ialah 2,476 atau 53.3 peratus. Pada 2006 jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya adalah seramai 6,287 orang. Daripada jumlah ini penunggang dan pembonceng motosikal saja membabitkan 3,693 orang atau 58.7 peratus.
Menurut Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), ada 14 punca kemalangan jalan raya dikesan di negara ini iaitu memandu laju menyumbang kepada 32.8 peratus kemalangan, memandu dengan cuai (28.2 peratus), memandu secara melulu (15.5 peratus), mengekori kenderaan di depan terlalu rapat (3.8 peratus), dan keadaan jalan (tiga peratus). Sikap pengguna jalan raya sendiri membentuk 76.1 peratus penyebab kemalangan jalan raya.
Kajian juga menunjukkan risiko kemalangan penggunaan kereta adalah 17 kali lebih rendah berbanding motosikal, manakala penggunaan bas 30 kali lebih rendah berbanding kereta, penggunaan kereta api 325 kali lebih rendah berbanding bas dan penggunaan kapal terbang pula 6,000 kali lebih rendah berbanding kereta api.
Berdasarkan Laporan Suruhanjaya Keselamatan Jalan Raya yang dikeluarkan oleh Kerajaan Australia menunjukkan bahawa hasil kajian yang dijalankan mendapati penunggang motosikal turut terdedah kepada bahaya disebabkan aspek persekitaran seperti jalan berlubang dan tumpahan minyak di jalan.
Malah, penunggang motosikal menerima perlindungan yang sedikit apabila menunggang motosikal dan risiko melanggar pembahagi jalan, lampu isyarat, lampu jalan atau papan tanda jalan adalah tinggi.
Berdasarkan kertas kerja Motorbike Safety In Queensland, Australia, 2008 oleh Kementerian Pengangkutan Australia mendedahkan 39 peratus kemalangan berlaku di Australia adalah membabitkan golongan muda yang belum setahun memiliki lesen memandu.
Berikutan itu, langkah mengetatkan prosedur pengeluaran lesen motosikal dilihat sebagai mekanisme terbaik dalam menangani masalah kemalangan jalan raya membabitkan golongan muda.
Justeru, CAP mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan agar penunggang motosikal di bawah lingkungan umur 17 hingga 21 tahun, diwajib menggunakan motosikal berkapasiti 70cc dalam usaha untuk mengurangkan kelajuan tunggangan motosikal.
Kapasiti motosikal 70cc perlu diperkenal dan sebaik saja seseorang remaja mencapai peringkat umur 21 tahun, maka mereka layak untuk menunggang motosikal berkapasiti tinggi.
Malah, mengetatkan permohonan lesen memandu perlu kerana pemberian lesen motosikal kepada mereka yang berumur seawal 16 tahun sudah tidak logik memandangkan remaja pada usia berkenaan belum lagi matang dan keinginan untuk berseronok terlalu kuat hinggakan mereka tidak ambil peduli aspek keselamatan.
SM MOHAMED IDRIS, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.
[Berita Harian Online, 5/2/2009]
No comments:
Post a Comment