Wednesday, February 04, 2009

Kronologi politik di Perak

Berikut kronologi politik di Perak sejak pilihan raya umum ke-12, 8 Mac tahun lalu sehingga hari ini:

9 Mac 2008: Gabungan parti DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 31 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Barisan Nasional (BN) memenangi 28 kerusi pada pilihan raya umum ke-12.

17 Mac 2008: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Panjang dari Pas, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak.

19 Mac 2008: Istiadat angkat sumpah 10 anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. 25 Ogos 2008: Dua anggota Exco Kerajaan Negeri Perak, Jamaluddin Mohd Radzi dan Kapt (B) Mohd Osman Jailu dihadapkan di Mahkamah Sesyen atas tudahan rasuah berhubung projek pembangunan bernilai RM180 juta.

Mahkamah tetap 10, 11 dan 12 Feb 2009 sebagai tarikh perbicaraan.

25 Jan 2009: Adun Bota dari Umno, Datuk Nasaruddin Hashim mengisytiharkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) untuk menyertai PKR.

26 Jan 2009: Menteri Besar Perak mendakwa sekurang-kurangnya tiga lagi wakil rakyat daripada Umno akan mengikut jejak Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim menyertai PKR.

28 Jan 2009: Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Dr Rais Yatim mencadangkan satu gerakan massa perlu dijalankan bagi mendesak Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim mengosongkan kerusi itu untuk memberi laluan kepada pilihan raya kecil.

29 Jan 2009: MT Umno menerima peletakan jawatan Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perak berkuat kuasa serta-merta.

30 Jan 2009: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menafikan laporan mengenai anggota Exco kerajaan negeri, Jamaluddin Mohd Radzi dan Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu, daripada Parti Keadilan Rakyat, akan menyertai BN.

1 Feb 2009: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak menolak kemungkinan terdapat Adun daripada pembangkang di negeri Perak akan menyertai BN.

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meminta dua Adun dari PKR yang “hilang” sejak 26 Jan supaya mengisytiharkan segera pendirian mereka jika telah keluar daripada kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak.

Speaker DUN Perak, V Sivakumar berkata, beliau menerima surat peletakan jawatan Adun Behrang Jamaluddin Mat Radzi dan Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu yang dihantar ke rumahnya pada jam 5.45 petang.

Kedua-dua ADUN PKR menafikan meletakkan jawatan, sebaliknya mengakui pernah menandatangi surat janji taat setia bersama enam lagi Adun PKR yang tidak bertarikh bahawa jika mereka keluar parti, mereka secara automatik perlu mengosongkan kerusi masing-masing.

2 Feb 2009: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengadap Sultan Perak di Istana Kinta. Beliau tidak mengulas kepada media berhubung istiadat mengadap itu.

Speaker DUN Perak, V Sivakumar memaklumkan kekosongan kerusi DUN Behrang dan DUN Changkat Jering kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak.

Pengerusi PKR Perak, Osman Abdul Rahman berkata, kedua-dua wakil rakyat itu tidak membuat pengumuman keluar daripada PKR.

Seorang pegawai kepada Jamaluddin Mohd Radzi memberitahu media di Sepang bahawa wakil rakyat itu masih ahli PKR.

Seorang kenalan Adun Changkat Jering, Kapten (B) Mohd Osman Jailu menafikan peletakan jawatan Adun itu pada sidang akhbar di Shah Alam.

3 Feb 2009: SPR memutuskan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi DUN Changkat Jering (N14) dan DUN Behrang (N59) serta tidak perlu mengadakan pilihan raya kecil bagi kedua-dua kawasan itu.

Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi menganggap dirinya sebagai wakil rakyat Bebas selepas PKR menghantar surat peletakan jawatannya sebagai Adun kepada Speaker DUN Perak V Sivakumar.

Ketua DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham memberi tempoh 48 jam kepada SPR supaya mengkaji semula keputusan tidak mengadakan pilihan raya kecil.

4 Feb 2009: 1 tengah hari - Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dijadualkan mengadakan sidang akhbar untuk membuat pengumuman penting.

1.30 tengah hari - Mohammad Nizar menangguhkan sidang akhbar tanpa memberi sebab.

2 petang - Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR tidak akan mengkaji semula keputusannya untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil.

3 petang - Mohamad Nizar membuat tindakan luar biasa dengan mengumumkan pembubaran DUN serta merta sebelum memohon perkenan Sultan.

3.50 petang - Mohammad Nizar dilihat memasuki Istana Kinta untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

4.35 petang - Empat Adun Perak iaitu Adun Behrang Jamaluddin Mohd Radzi, Adun Changkat Jering Mohd Osman Jailu, Adun Bota Datuk Nasarudin Hashim dan Adun Jelapang, Hee Yit Foong berada di Pejabat Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya.

5 petang - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan BN Perak kini mempunyai majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan apabila tiga ADUN dari PKR dan seorang ADUN dari DAP mengumumkan keluar parti.

BN kini mempunyai 28 kerusi, Pakatan Rakyat juga 28 kerusi dan Bebas tiga kerusi.

5.55 petang - Mohammad Nizar yang mengadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah untuk meminta perkenan baginda membubarkan DUN meninggalkan Istana Kinta di Ipoh tanpa memaklumkan kepada media keputusan baginda.

[Bernama, 4/2/2009]

No comments:

Post a Comment