Kebanyakan pelayan di restoran atau gerai makan adalah orang muda yang cepat bergerak dan mudah memahami selera orang ramai. Siang adalah masa untuk ke kelas manakala malam atau hujung minggu adalah masa untuk mencari wang tambahan.
Tidak susah untuk mencari kerja kosong di restoran atau gerai makan kerana bisnes seperti ini sentiasa bertambah. Jika ramai pelanggan, pengusaha restoran pastilah memerlukan lebih ramai pekerja. Mereka lebih suka mengambil pekerja sambilan kerana tidak perlu keluarkan banyak wang untuk membayar gaji, cukup dengan bayaran berdasarkan kerja hari.
Bagi menambah kemahiran dan minat dalam bidang penyediaan makanan, bekerja sambilan sebagai pelayan ini juga dapat memberi peluang kepada anda mengenali dengan lebih dekat kaedah menyedia makanan, perkhidmatan layanan dan amalan kebersihan.
Dalam bisnes makanan ini, gerai makan yang ramai pelanggan dapat menjamin bayaran upah yang lebih tinggi.
Contohnya di sebuah gerai makan yang menjual tomyam. Enaknya rasa kuah tomyam dapat mengundang kehadiran ramai pelanggan sehingga anda tidak menang tangan untuk melayan. Bagi gerai makan yang hanya menyediakan makanan untuk dibungkus, ianya lebih mudah dan melatih anda untuk sentiasa bersedia dengan peralatan seperti plastik, kertas bungkus, sudu dan sebagainya.
Tidak ada sekatan masa untuk menjadi pelayan di gerai makan dan restoran ini. Ada masanya jika anda menunjukkan prestasi yang cemerlang, upah yang diberi mungkin lebih baik.
No comments:
Post a Comment