Setiap kanak-kanak mesti tahu membunyikan huruf untuk membaca. Mereka juga mesti berupaya mengingat dengan pantas iaitu melihat huruf dan menyebutnya dengan segera tanpa ragu-ragu.
Kita dapat melakukannya dengan langkah-langkah berikut:
1. Uji tahap pengetahuan kanak-kanak tentang bunyi huruf dari a hingga z. Tunjukkan huruf berkenaan dan tanya mereka ‘Bagitau mama apa bunyi huruf ini?’ Di samping itu, untuk menguji tahap pengetahuan dan ingatan mereka, senaraikan huruf-huruf yang tidak mempunyai gambar dan minta mereka membunyikan huruf berkenaan. Dalam ujian ini, kanak-kanak bergantung sepenuhnya kepada kekuatan daya ingatan.
Adalah penting untuk benar-benar memahami peringkat ini kerana kita tidak meminta kanak-kanak menyebut nama huruf sebaliknya membunyikan huruf.
Andai kata kanak-kanak tidak dapat membunyikan huruf dengan lancar atau langsung tidak tahu, bantu mereka dengan menyebut dan menulis dengan betul huruf tersebut. Semasa menyebut, gunakan jari telunjuk mereka untuk belajar menulis huruf berkenaan dengan cara yang betul.
2. Jika kanak-kanak perlu belajar untuk mengingat bunyi-bunyi huruf, bantu mereka membuat buku huruf sendiri. Letakkan gambar-gambar yang menjadi kebiasaan dan sering dilihat, berwarna-warni dan bersaiz besar. Minta kanak-kanak lukis atau tampal gambar yang bermula dengan setiap huruf.
3. Latih proses menyebut bunyi huruf dengan carta huruf bersama gambar. Tunjukkan setiap huruf yang disebut dan dibunyikan serentak. Kaitan di antara mendengar dan melihat sangat berkesan untuk memperkenalkan huruf atau perkataan baru kepada kanak-kanak. Ulang proses ini setiap hari sehingga mereka dapat mengingat dan menunjukkan huruf dan membunyikan bunyi huruf dengan betul.
Kanak-kanak mempunyai tahap pembelajaran yang berbeza. Mereka akan belajar bunyi huruf dengan cepat melalui latihan yang berterusan.
No comments:
Post a Comment