Thursday, January 29, 2009

Usahawan jahitan sut

Menjahit dikaitkan dengan wanita tetapi dalam industri jahitan profesional, golongan lelaki lebih menonjol. Lord's Tailor, sebuah kedai jahitan yang menjadi perhatian dan tumpuan orang kenamaan dan usahawan, pernah dikunjungi bekas peninju terkemuka, Muhammad Ali pada tahun 1975.

Loh, yang memulakan bisnes jahitan, mula memegang jarum dan benang sejak berusia 16 tahun. Merantau ke London untuk belajar kemahiran menjahit dan pulang semula ke Kuala Lumpur untuk membuka kedai jahit di Jalan Alor, Kuala Lumpur.

Lord's Tailor menjadi pilihan ramai kerana mampu menghasilkan rekaan terbaik bermula dari mengambil butiran terperinci ukuran pakaian pelanggan. Bahagian-bahagian penting badan seperti bahu, belakang, dada dan perut diukur dengan tepat kerana bahagian-bahagian ini boleh menentukan sama ada sut dapat dihasilkan dengan baik atau tidak.

Setelah bertahun-tahun berkecimpung dalam bisnes jahitan sut, Loh berkongsi rahsia kejayaannya kepada kita.

Pertama, semangat ingin belajar. Beliau sanggup merantau ke luar negara semata-mata untuk mencari ilmu jahitan. Keinginan dan semangat belajar ini memerlukan banyak pengorbanan kerana jumlah belanja yang dikeluarkan sangat banyak.

Kedua, mengutamakan nilai dan etika perniagaan seperti kejujuran pelanggan. Pentingnya elemen nilai ini ialah supaya pelanggan berpuas hati dengan kualiti kerja yang dihasilkan.

Ketiga, mengamalkan budaya mengambil berat biarpun nampak remeh. Justeru, semua butir pelanggan seperti saiz dan ukuran anggota badan dicatat dengan lengkap dan sempurna.

Terakhir, tidak jemu mengikuti perkembangan semasa dunia fesyen supaya dapat memenuhi cita rasa pelanggan. Perkembangan fesyen cepat berubah dan Loh mesti sentiasa mengikuti perjalanan fesyen supaya bisnesnya tidak ketinggalan dalam persaingan.

No comments:

Post a Comment