Wednesday, January 21, 2009

Bersedekah untuk bahagia

Petang itu kami berkumpul. Satu per satu tetamu Allah hadir. Anak-anak yatim itu datang dengan senyuman. Ibunya dinda dengan wajah yang cerah menyerahkan rambutan kepada isteri saya. Katanya hanya dengan buah rambutan dirinya ingin bersedekah.

‘Alhamdulillah, terima kasih banyak ibu...’ jawab isteri saya. Kebahagiaan kami hadir dengan ketulusan hati. Seorang ibu dengan sekantong buah rambutan. Rambutan itu dimakan bersama Icha, Indah, Mantika dan juga Winda. Terlihat isteri saya menitiskan air mata bahagia melihat anak-anak ananda yang riang gembira.

Rasulullah bersabda, ‘Bila engkau ingin dicintai Allah, takutlah kepada-Nya dan bertakwalah. Bila engkau ingin dicintai mahluk, berbuat baiklah kepada mereka dan jangan berharap sesuatu dari yang mereka miliki. Bila engkau ingin diperkaya, maka zakatlah harta bendamu. Bila engkau ingin disihatkan badanmu, maka perbanyaklah sedekah. Bila engkau ingin dipanjangkan umurmu, maka bersilahturahmilah kepada kaum kerabat. Bila engkau ingin dikumpulkan bersamaku di padang mahsyar, maka panjangkanlah sujudmu kepada Allah SWT.’

Kisah kecil ini saya ambil dari yahoogroups, dinukilkan oleh Agussyafii untuk kita melihat betapa pentingnya sedekah walaupun nilainya kecil. Suasana anak-anak yatim yang memulas buah rambutan daripada ranting kecil boleh menitiskan air mata apabila diambil oleh anak yatim yang berkumpul untuk meraikan sedekah yang diterima. Mungkin ada yang sebak hanya dengan membaca suasana ini kerana hatinya terkesan dengan kebahagiaan anak-anak yatim, tidak seperti anak-anak yang muak dengan ayam goreng dan nasi goreng kampung.

Pada kita, harga sekantong buah rambutan tidaklah seberapa dibandingkan dengan kebahagiaan yang dinikmati oleh anak-anak yatim apabila ada orang yang datang ziarah. Sekurang-kurangnya melihat mereka bahagia sudah cukup menghilangkan tekanan dan bebanan kerja di pejabat atau di rumah.

Sedekah tidak hanya terhad pada buah rambutan sebaliknya sebarang buah yang dapat di makan atau juadah makanan yang enak dan berkhasiat. Apabila anak-anak yatim mula menyuapkan makanan ke dalam mulut mereka dengan gembira, tidak ada apa-apa lagi yang dapat menghalang kita untuk merasai bahagia bersama mereka.

Sedekah tidak dapat diterangkan oleh undang-undang ekonomi, ‘Kita mengeluarkan, maka milik kita berkurang.’ Namun, Allah SWT menaburkan jutaan keajaiban, mukjizat, misteri dan rahsia keagungan di sebalik amalan sedekah.

Tidak pernah ada yang memberi amaran bahawa yang rajin bersedekah hidupnya jatuh miskin, melarat, daif dan menderita. Justeru, semakin banyak harta yang disedekahkan, insya Allah hidup semakin mulia dan bahagia.



Rujukan

agussyafii.blogspot.com
rumahbukuislam.com

No comments:

Post a Comment