‘Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik, dan sesungguhnya pahala (amal yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui. (Mereka itu ialah) orang-orang yang bersabar (menanggung kezaliman) dan berserah diri kepada Tuhannya.’ (An-Nahl: 41-42)
Selang tiga hari, kita menyambut awal tahun hijrah dan masihi. Jarang-jarang berlaku hari kebesaran ini disambut secara serentak dalam satu minggu dan berturutan. Bagaimanapun sambutan orang ramai ke atas dua tahun baru ini lebih menyerlah apabila ditinjau dari perspektif kesedaran diri dan keseronokan.
Kedua-dua hari ini mempunyai impak besar ke atas pemikiran dan tingkah laku. Pertama, kerana kita kerap mengambil maklum tentang kehebatan membuat perubahan pada hari-hari yang istimewa. Contohnya, ketika hari raya puasa, kita mengambil kesempatan bermaaf-maafan sesama rakan-rakan dan sahabat-handai dengan keyakinan dosa-dosa sebelum ini akan terhapus. Justeru memulakan perubahan diri pada hari ini memberi pengaruh yang sangat ketara khususnya terhadap usaha, pengorbanan dan rangsangan ke arah kejayaan dan kecemerlangan diri.
Kedua, amat mudah bagi kita untuk mengingat jarak masa di antara mula dan akhir. Jika tempoh pencapaiannya singkat, ia akan meningkatkan lagi usaha untuk melakukan yang terbaik.
Ketiga, memberi fokus kepada pencapaian. Setiap orang ingin melihat angan-angan dan impian menjadi kenyataan. Jadi, menjadikan hari-hari istimewa sebagai tekad memperbaharui azam dan tindakan dapat meletakkan cita-cita dan usaha pada landasan fokus yang sebenar.
Namun, apakah perubahan yang terbaik untuk masa depan?
Semasa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah, berlaku perubahan yang sangat ketara ke atas jiwa, pemikiran dan tingkah laku para sahabat. Terdapat antara mereka yang terpaksa meninggalkan harta-benda, anak dan isteri di Mekah, mereka kesunyian dan keseorangan di tempat baru, tanpa wang dan serba-serbinya perlu bermula dari kosong.
Kegelisahan hidup di Madinah, bersama sahabat-sahabat baru dan suasana yang baru menjadikan mereka perlu menyesuaikan diri dengan cepat. Jika tidak, emosi dan pemikiran mereka akan terganggu dan menjejaskan perancangan perkembangan dakwah Islam. Keupayaan mereka, tidak lain adalah kerana janji Allah SWT di dalam surah ini. Bagi para sahabat dari Mekah, mereka yakin bahawa hijrah yang dilakukan adalah kerana Allah SWT, setelah dianiaya oleh golongan kafir di Mekah.
Tindakan terbaik yang dilakukan ialah bersabar dengan kehidupan yang sedang dilalui dan berserah diri kepada Allah SWT. Dua pendekatan ini sangat sukar kerana hanya orang-orang yang meyakini balasan baik dan buruk dapat melakukannya. Mustahil bagi orang yang tidak meletakkan perubahan kerana Allah SWT dapat bersabar dan bertawakkal kepada Tuhannya dengan penuh keimanan. Apa yang berlaku ialah mereka akan hilang kawalan diri dan mudah putus asa.
Setelah tahun baru hijrah dan masihi kita lalui, langkah paling penting ialah melakukan setiap perubahan kerana Allah SWT bersama sifat sabar dan tawakkal. Ia juga mesti diusahakan dengan perancangan strategi yang berorientasi keputusan, dinilai dan diperbaiki dari semasa ke semasa.
Insya Allah, orang yang berjaya membuat perubahan kerana Allah SWT, hidupnya akan bahagia di dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment