Dari Kuala Lumpur ke Kuantan, perjalanan rasa sangat perlahan, tidak seperti selalu kerana sepanjang Lebuhraya Karak dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT), hujan renyai-renyai tidak henti. Ada kala saya memandu 70 km sejam, ada kalanya 110 km sejam mengikut keadaan cuaca.
Apabila hujan agak reda, saya tekan pedal minyak kereta, memecut laju kerana hendak sampai segera ke rumah seorang wanita yang sedang berhadapan dengan keadaan hidup dan mati. Seorang wanita 40-an yang sedang menderita barah payu dara peringkat akhir.
Barah yang sedang merebak di bahagian tulang belakang kini semakin ganas. Ianya hanya disahkan baru-baru ini, itu pun ketika doktor bertugas memeriksa keadaannya yang tidak dapat berjalan dan menghadapi masalah paru-paru semasa menunaikan haji bersama-sama ahli keluarga.
Kereta yang dipandu rasa semakin perlahan. Lebih-lebih lagi sebuah jentera berat yang bertulis ‘Unit Bencana RTM’ memecut laju memotong kereta saya. Rupa-rupanya jentera berkenaan bergegas ke Kuantan kerana banjir sudah mula melanda beberapa kawasan rendah di sana.
Banjir adalah perkara kecil berbanding ziarah. Saya tiba ke rumah wanita itu dan disambut oleh adik lelaki beliau yang banyak membantu menyempurnakan haji di Mekah. Hujan di luar masih renyai-renyai. Rakan dan sahabat-handai tidak putus-putus datang melihat keadaan wanita tabah itu di samping memberi sokongan emosi.
Di bilik kecil di mana beliau ditempatkan, alunan ayat-ayat suci al-quran oleh imam Masjidil Haram sayup-sayup kedengaran, menjadikan suasana bilik tersebut terasa sepi. Tidak ada suara tinggi, tidak ada gelak ketawa, tidak ada keluh-kesah, tidak ada rengekan.
Adik lelakinya menyambut saya dengan senyuman dan berkata, ‘panjang umur ... baru tadi kami sebut nama anta,’ diiringi pelukan mesra.
Sepanjang berbual-bual, saya serius mendengar tiap-tiap patah perkataan yang keluar dari mulutnya. Tidak percaya rasanya. Seorang wanita yang sedang menghadapi barah peringkat akhir mampu menyempurnakan urusan haji dalam keadaan bersusah-payah, menanggung sakit dan ada kalanya terpaksa dipapah ke sana-sini.
Wanita ini seorang yang tabah. Dia mula perasaan perubahan pada dirinya apabila suatu hari merasakan dirinya semakin pendek. Jubah yang dipakainya menjadi asbab. Dilihat juntaian kain jubah mencecah lantai. Beberapa kali dilihatnya juntaian jubah itu, seakan-akan tidak percaya. Dipanggilnya adik-beradik yang lain untuk mengesahkan apa yang dialaminya sebentar tadi. Ya, memang betul, dirinya semakin pendek.
Oleh kerana telah berjanji kepada rakan-rakan sepejabat yang dia akan datang mengucapkan selamat kerana akan pergi ke Mekah, niat itu diteruskan juga. Juntaian jubah yang mencecah lantai dilipat-lipat supaya tidak mengganggu pergerakan. Ketika ini dia masih boleh berjalan dan bergerak ke sana-sini.
Sekembali dari majlis di pejabat, ahli keluarga yang lain mencadangkan agar beliau membuat pemeriksaan di hospital bagi mengenal pasti keadaan sebenar, dan dia bersetuju. Setelah keputusan pemeriksaan darah dikeluarkan, punca yang menyebabkannya semakin pendek tidak dapat dikesan. Oleh kerana tidak ada apa-apa yang pelik setakat ini, dia dibenarkan untuk mengerjakan haji bersama-sama ibu, ayah dan adik lelakinya.
Setiap peristiwa yang berlaku di Mekah dan Madinah selepas itu adalah rahmat dan tanda kasih-sayang Allah SWT kepadanya. Semuanya berjalan lancar dan mudah.
Hajatnya untuk menyempurnakan haji tertunai, hajatnya untuk solat di raudhah juga tertunai.
Barah yang dihidapinya hanya dikesan apabila suatu hari dia jatuh sakit, langsung tidak dapat berjalan. Dia dibawa ke hospital dan didapati paru-parunya lemah. Selepas itu dia bernafas menggunakan oksigen kerana paru-parunya semakin lemah. Pemeriksaan lanjut oleh doktor yang bertugas mula memberi fokus pada bahagian belakang dan tulang. Di sinilah punca sebenar keadaannya diketahui. Dia disahkan berada di peringkat akhir barah payu dara.
Sangat nmengejutkan. Masing-masing sedang berhadapan dengan tekanan emosi selepas menerima berita berkenaan. Sesuatu harus disegerakan.
Selepas menunaikan urusan haji dan ziarah, mereka berlepas pulang ke Malaysia dengan penerbangan pertama dari Madinah.
Sampai di KLIA, dia terus dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan susulan. Di situ, dia tidak tinggal lama kerana ingin pulang segera ke rumah. Doktor juga memaklumkan tidak ada apa lagi yang boleh dilakukan sekarang.
Saya bertanya apa lagi ikhtiar yang dibuat pada masa sekarang. Satu-satunya pilihan yang masih ada ialah mendapatkan ubat homeopati dari seorang pengamal perubatan homeopati di Kedah. Itulah usaha yang masih ada dan mereka masih berharap agar Allah SWT memberikan kejayaan dalam keadaan kritikal ini.
Masa sedang beredar, wanita ini sedang berhadapan dengan ujian Allah SWT. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Raut wajahnya juga banyak yang berubah, tidak seperti dulu. Penderitaannya sangat menyayat hati, meruntun emosi. Hanya Allah SWT yang tahu isi hatinya.
No comments:
Post a Comment