Thursday, January 15, 2009

Komponen membaca

Jarang sekali kita berjumpa dengan remaja berusia 16 tahun yang tidak boleh membaca. Namun itulah yang berlaku di sesetengah tempat apabila kemahiran membaca tidak diberi keutamaan semasa peringkat awal perkembangan kanak-kanak.

Sewajarnya para pelajar di sekolah bukannya bodoh, malas atau menghadapi masalah tingkah laku, sebaliknya pelajar hari ini diletakkan di dalam kelas yang terbaik dan diajar oleh guru khas bagi membantu mereka. Kaedah pengajaran yang terbaik juga disediakan supaya dapat membaca dengan lancar.

Beberapa tahun yang lepas, pakar-pakar bahasa dan pendidik berusaha mengenengahkan kaedah pembacaan yang mudah, berkesan dan menyeronokkan untuk kanak-kanak. Sama ada kaedah mengeja, fonetik atau suku kata, setiap kaedah ini ada kekuatan tersendiri namun masih ramai kanak-kanak yang bersekolah belum berupaya membaca dengan lancar. Bagi mengatasi masalah ini, saintis bahasa menjalankan penyelidikan untuk mengenal pasti bagaimana kanak-kanak belajar membaca.

Hasil kajian memberikan beberapa keputusan yang menarik. Antaranya ialah 90 hingga 95 peratus kanak-kanak boleh belajar membaca dengan lancar jika ada program intervensi yang bersesuaian.

Ibu bapa boleh membuat penambahbaikan tahap bacaan anak-anak dengan memperuntukkan 15 minit sehari bersama mereka menggunakan bahan-bahan atau maklumat dari buku, aktiviti membina daya ingatan atau membacakan buku-buku yang baik bersama-sama.

Membaca bermula daripada mendengar atau menggunakan deria pendengaran. Apabila ibu bapa atau orang dewasa bercakap kepada kanak-kanak, maklumat dimasukkan ke telinga mereka melalui bunyi bahasa percakapan terus ke otak untuk diproses. Bahagian otak yang diprogramkan dengan pendengaran akan memberi tindak balas untuk tindakan seterusnya. Dari semasa ke semasa, perbendaharaan kata kanak-kanak akan berkembang kepada beribu-ribu perkataan.

Lebih banyak perkataan diucap, dinyanyi dan dibacakan kepada mereka, keupayaan untuk bercakap menjadi semakin menyerlah. Ini kerana otak kanak-kanak tidak secara automatik dihubungkan dengan kemahiran membaca. Kanak-kanak perlukan bantuan dan sokongan daripada orang lain seperti ibu bapa, adik-beradik dan guru untuk menjadi pembaca yang berkesan.

Persediaan membaca yang aktif bermula apabila pendengaran kanak-kanak telah bersedia. Terdapat beberapa perkara yang kita boleh lakukan untuk mendapatkan perhatian kanak-kanak. Di antaranya ialah mengajar mereka membentuk rima melalui aktiviti bermain dan membacakan pantun atau puisi yang ada elemen rima.

Ajar kanak-kanak nama huruf dan bunyi serentak. Cara ini merupakan bahagian yang mustahak dan utama dalam proses membaca. Elakkan daripada meletakkan sepenuh keyakinan ke atas kebolehan membaca anak-anak di dalam kelas kerana sesetengah huruf mempunyai bunyi yang hampir sama, dan ini boleh mengelirukan kanak-kanak.

Apabila kanak-kanak belajar membunyikan huruf, ajarkan mereka untuk mengenalkan huruf tersebut supaya dapat mengenal pasti bunyi baru. Pengetahuan ini boleh membantu mereka membaca lebih banyak perkataan baru yang sukar.

Dapatkan beberapa perkataan dan ayat yang mudah, minta mereka sebut dengan betul. Antara contoh perkataan ialah ‘amal’, ‘ramal’, ‘awal’, ‘kawal’, ‘ha’, dan ‘mahal. Manakala ayat yang mudah ialah ‘hari ini hari rabu, hari rabu sani suka baca buku’.

Ibu bapa wajar membantu anak-anak membaca buku-buku terpilih setiap hari. Melalui kebiasaan seperti ini, sedikit demi sedikit minat membaca dapat disuburkan sejak kecil. Dengan pengetahuan yang lebih awal, anak-anak akan belajar sehingga mampu membentuk persepsi sendiri terhadap membaca.

Kanak-kanak sangat gemar dengan buku yang berwarna-warni dan terang. Jika kita bercerita tentang gambar dan membaca perkataan yang tertera, ia dapat membantu membina kemahiran bahasa mereka. Secara langsung mereka belajar memahami bahawa kandungan buku tidak berubah.

Kita akan dapat melihat beberapa perubahan ke atas tabiat mereka terhadap buku seperti menunjukkan minat berkongsi buku, bermain-main dengan aktiviti membaca, mencari-cari muka surat yang mengandungi cerita kegemaran atau membaca dengan nada yang lantang.

No comments:

Post a Comment