'Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.' (Al-Hadid:18)
Dalam hidup seharian, kita sentiasa diuji, setiap masa. Tujuan ujian ini tidak lain adalah untuk bergerak ke tahap yang lebih baik, membina kematangan dan ketahanan diri.
Rasa sedih, sakit, resah dan susah hati adalah lumrah. Namun, orang yang berjaya adalah orang yang mampu memberi reaksi positif kepada ujian-ujian tersebut.
Selama tiga minggu rakyat Palestin diburu oleh tentera Israel yang ganas. Mereka diuji dengan peperangan yang meragut nyawa, hilang ahli keluarga dalam sekelip mata dan kemusnahan harta-benda. Selepas pengunduran tentera Israel, yang tinggal hanyalah puing-puing batu yang hancur diledakkan oleh bom canggih buatan Amerika Syarikat.
Mayat-mayat yang hancur berkecai tidak dapat lagi dikenal pasti, malah kanak-kanak yang kecil telah hilang kaki dan tangan kerana serpihan ledakan bom- tidak kenal yang mana jantan dan yang mana betina, muda atau tua, bujang atau janda.
Berat mata memandang lagi berat bahu yang memikul. Kita di sini juga menghadapi saat-saat genting dan sukar tetapi dalam situasi yang tersendiri. Ada setengah diuji dengan kekayaan, kemiskinan, kematian dan kehilangan harta-benda. Akhbar hari menyiarkan anak kecil dibuang ke dalam tong sampah, pencuri kereta mati kerana paru-paru berair dan juga rumah dirodok bas ekspres.
Setiap orang ada ujian yang sesuai untuk dirinya supaya dia dapat belajar untuk melihat bahawa Allah SWT bersedia mendengar doa dan rintihannya.
Penyakit juga merupakan satu bentuk ujian. Hari ini ramai orang muda yang sudah dapat kencing manis dan jantung koronari. Minggu lepas saya mengendalikan kursus untuk kakitangan kerajaan dari pelbagai jabatan. Salah seorang daripada peserta ini sedang menghadapi penyakit kencing manis. Dia perlu mengambil ubat setiap hari bagi mempastikan kandungan gula dalam darahnya berada dalam keadaan stabil.
Usianya baru 28 tahun tetapi terpaksa menanggung penyakit kencing manis bagi tempoh yang panjang, mungkin sepanjang hayat.
Lalu saya menceritakan petua mudah untuk mengatasi penyakit kencing manis. Harap-harap dia akan cuba selepas ini. Petuanya hanyalah kacang lendir.
Saya juga berpesan, sedekah juga ada kuasa yang hebat. Sedekah mampu mengubat penyakit.
Ramai orang yang berat hati nak bersedekah. Baginya, sedekah buatkan poket jadi kosong. Secara lahiriah memang kita nampak wang atau barang kita semakin susut. Itu anggapan manusia. Pandangan Allah SWT berbeza. Sangat berbeza. Jaminan Allah SWT dalam ayat 18 surah Al-Hadid ini adalah satu kebenaran.
Pada hari ini setiap hari media menyiarkan rayuan derma kepada rakyat Palestin. Niat sedekah tidak payah ditangguh-tangguh. Terdetik saja nak sedekah, terus saja bagi. Tak perlu fikir panjang-panjang. Antara sedekah yang terbaik ketika ini ialah derma untuk tabung rakyat Palestin. Salah satu daripadanya ialah Tabung Palestin HALUAN.
Jika tidak pun, bersedekah wang ringgit di masjid, atau jika ada orang yang sedang kesempitan wang, baik dihulurkan saja wang yang ada, insya Allah, Allah SWT akan menggantikan wang tersebut dalam masa yang singkat.
No comments:
Post a Comment