Pahlawan Nasional Republik Indonesia, Bapak Mohd Natsir adalah seorang pendakwah, penulis, pendidik dan juru bicara ummah serantau. Bagi golongan muda, nama Mohd Natsir begitu asing dan tidak dikenali, tidak seperti golongan senior yang telah melibatkan diri dalam gerakan dakwah sekitar tahun 70-an.
Bapak Mohd Natsir yang meninggal dunia pada 1993, telah menyumbangkan banyak idea dan usaha bagi membina ummah Islam yang bermaruah di rantau nusantara. Justeru, bagi memperingati perjuangan beliau, Seminar Serantau Memperingati 100 Tahun Pahwalan Nasional Bapak Mohamad Natsir telah diadakan baru-baru ini. Seminar ini dianjurkan oleh Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wardah) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).
Wardah merupakan sebuah pertubuhan yang menghimpunkan alumni ABIM sebagai sebahagian gerakan dakwah Islam semasa.
Tujuan seminar ini ialah mengangkat seorang tokoh yang kurang mendapat penghargaan yang wajar oleh masyarakat, menghargai sumbangan, khazanah perjuangan yang boleh dijadikan panduan untuk mengatur hidup, dan memotivasikan generasi muda untuk menghadapi kehidupan secara serius.
Hampir 1000 peserta memenuhi dewan seminar di KUIS yang datang dari peserta seluruh negara. Ucap tama disampaikan oleh YB Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliau mempunyai hubungan yang akrab dengan Mohd Natsir semasa hayatnya.
Anwar mengimbas kembali detik-detik awal pengenalannya dengan tokoh itu dan bagaimana beliau melihat pejuang itu mempunyai kefahaman yang jelas terhadap Islam dan demokrasi. Baginya, Mohd Natsir mempamerkan peribadi yang mempunyai fikrah dan ideologi berteraskan kesyumulan Islam, berpaksikan kekuatan ilmu, sederhana dan mengambil kira keadaan semasa dengan bijaksana.
Hubungan yang mesra dengan Mohd Natsir membolehkan Anwar berbicara lanjut tentang tokoh ini. Dia mendalami pemikiran dan hasrat Mohd Natsir kerana dapat melihat aliran pemikiran yang unik iaitu tidak segan silu mempertahankan demokrasi dan kebangsaan di Indonesia. Umpamanya, konsep Pancasila dilihat sebagai dasar rohani, akhlak dan kesusilaan negara Indonesia.
Mohd Natsir secara konsisten menggunakan Islam sebagai landasan dalam tindak-tanduknya, bahkan mengutamakan Islam dalam pentadbiran.
Kita dapat melihat kesungguhannya yang jelas dalam beberapa petikan dari buku Capita Selecta tahun 1955. Katanya, “Dalam sebuah negara yang berasaskan Islam, hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh agama Islam tidak akan tertakluk kepada persetujuan parlimen.”
Baginya, parlimen hanya boleh membincangkan cara-cara untuk melaksanakan hukum-hukum berkenaan.
Konsep pemikiran begini amat menarik untuk dikaji kerana ada kaitannya dengan suasana semasa di Malaysia. Kita bukannya hendak mengangkat Mohd Natsir ke tahap mendewakannya tetapi mengkaji bentuk pemikirannya yang kelihatan ada wibawa, pintar dan bersih.
Persepsi kita terhadap Indonesia dewasa ini lebih dimomokkan dengan kehadiran tenaga kerja Indonesia yang menimbulkan banyak masalah. Namun adalah lebih baik kita mengubah persepsi itu dengan melihat betapa hubungan serumpun boleh diperkukuhkan melalui kajian terhadap tokoh ini.
No comments:
Post a Comment