Thursday, January 22, 2009

Mengenal pasti keperluan membaca kanak-kanak

Kemahiran membaca diibaratkan seperti membina blok-blok. Untuk belajar membaca dengan baik, kanak-kanak perlu tahu membunyikan huruf dan memahami maksud perkataan, tatabahasa dan semantik (maksud ayat). Bagi membina asas membaca yang kukuh, kanak-kanak mesti mendapat garis panduan pembelajaran yang berkesan.

Cara yang terbaik untuk mengenal pasti keperluan membaca kanak-kanak ialah berbincang dengan guru, mendengar penerangan mereka apa yang perlu dilakukan sepanjang hari dan memeriksa tugasan sekolah yang diberi.

Guru kelas lebih arif prestasi pembelajaran kanak-kanak dan mereka lebih berkelayakan untuk memberi panduan bagaimana meningkatkan kemahiran membaca. Sekiranya ada saranan yang baik, usah tunggu lama untuk bertindak kerana kemahiran membaca perlu dikuasai dalam masa yang pantas.

Selain guru, pusat membaca juga menjadi institusi tidak formal yang dapat membantu proses memahirkan bacaan kanak-kanak. Tidak seperti di Amerika Syarikat atau Jepun, pusat membaca baru berkembang di negara kita dan masih banyak lagi kekurangannya. Beberapa panduan berikut boleh menjadikan kriteria pemilihan pusat membaca sesuatu yang berbaloi kepada pelaburan kita.

1. Menyesuaikan kanak-kanak dengan kaedah terbaik untuk mereka. Di pasaran terdapat berbagai-bagai jenis kaedah tetapi umumnya ada tiga iaitu mengeja, suku kata dan fonik. Ketiga-tiga kaedah ini boleh dipelajari berdasarkan kebolehan kanak-kanak. Jika bijak, semua kaedah cepat membantu bacaan mereka.

2. Setiap kanak-kanak perlukan tempoh bacaan yang berbeza-beza. Peringkat umur kadangkala menentukan kepintaran mereka. Bagi menghadapi perbezaan ini, terdapat pusat membaca yang memanjangkan tempoh kelas bacaan dan mempelbagaikan teknik pengajaran supaya kanak-kanak mampu membaca walaupun kemajuannya perlahan.

3. Mengenal pasti program membaca yang komprehensif. Ada pusat membaca yang menawarkan program intensif membaca khususnya ketika cuti sekolah. Ia diadakan setiap hari dengan latih tubi yang bersesuaian. Tidaklah rugi untuk menghantar kanak-kanak ke program seperti ini kerana ia membantu mempercepatkan proses membaca, tambahan pula ia meningkatkan kefahaman mereka semasa membaca buku.

4. Mempunyai pengajar atau trainer yang terlatih dari segi komunikasi, psikologi kanak-kanak dan meningkatkan pengetahuan dalam perbendaharaan dan tatabahasa. Walaupun kanak-kanak masih belum belajar membuat ayat yang tepat tetapi penggunaan bahasa yang baik sejak awal dapat mendedahkan mereka kepada penggunaan bahasa yang lebih berkualiti apabila memasuki alam persekolahan kelak.

5. Tanda-tanda yang menunjukkan kanak-kanak suka belajar di pusat membaca ialah mereka ingin datang lagi, bercakap-cakap tentang buku dan membaca buku yang diajar oleh pengajar di rumah. Jika ada tanda seperti ini, harapan anda untuk melihat kanak-kanak cepat membaca akan cerah.

Menentukan keperluan membaca tidak hanya terhad kepada aspek luaran seperti membeli buku yang banyak untuk belajar atau membawa kanak-kanak ke pameran buku, sebaliknya bermula sejak umur setahun lagi supaya proses membaca akan lebib pantas ketika berumur 3 hingga 5 tahun.

Ramai ibu bapa melepaskan peluang keemasan mendedahkan kanak-kanak kepada proses membaca di peringkat umur ini kerana tidak tahu bila dan bagaimana harus bermula. Selepas ini, kita perlu mempastikan kanak-kanak seusia itu mampu diberi pendedahan awal membaca kerana masa depan dalam pendidikan akan menentuka apa dan siapa mereka kelak.

No comments:

Post a Comment