Diselubungi oleh timbunan runtuhan rumah, dua dozen kanak-kanak duduk di atas selimut bercorakkan pelangi sambil melukis menggunakan krayon.
Pada masa yang sama mereka segera mengisi helaian muka surat di sisi beberapa orang kaunselor trauma dengan gambar-gambar kereta kebal Yahudi, mayat-mayat yang bergelimpangan dan rifel yang digunakan pejuang Hamas – suatu pemandangan yang mereka lihat ketika Israel menyerang rakyat Palestin.
‘Kami rasa seperti akan mati bila-bila masa,’ kata Sharif Abed Rabbo, 11 tahun. Namun dia dan keluarganya dapat menyelamatkan diri. ‘Tapi saya kehilangan rumah.’
Ahli psikologi manyatakan serangan tiga minggu Israel meninggalkan kesan trauma yang lebih mendalam berbanding konflik sebelum itu kerana orang awam tidak mempunyai pilihan untuk melarikan diri. Kajian terhadap peperangan dalam kalangan beratus-ratus kanak-kanak Gaza menunjukkan peningkatan ke atas mimpi ngeri, kencing malam dan tanda-tanda lain trauma.
Kanak-kanak yang membentuk 56 peratus daripada 1.4 juta penduduk Gaza cukup merisaukan kaunselor dan pekerja-pekerja bantuan kerana serangan Israel pasti meningkatkan rasa benci dan menggalakkan kemunculan pejuang yang akan membalas dendam.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), organisasi yang menjadi penampan kepada tindakan ketenteraan Israel memulakan semula kelas persekolahan kepada 200,000 pelajar minggu ini. Kanak-kanak dan remaja yang melihat dengan jelas kezaliman tentera Yahudi melancarkan siri pengeboman pada 27 Disember tahun lepas pasti menyemai semangat dan daya juang yang tinggi untuk menentang Israel apabila mereka membesar kelak.
Di Gaza, Pusat Hak Asasi Palestin menganggarkan 280 kanak-kanak adalah antara 1,285 yang terbunuh dan satu daripada empat atau lebih daripada 4,000 yang cedera adalah kanak-kanak.
Menghadapi ancaman perang Israel, pejuang Hamas berjuang bersungguh-sungguh bagi mengekang kemaraan tentera Yahudi ke kawasan orang awam. Ada ketika pejuang-pejuang ini terbunuh bersama-sama orang awam yang terperangkap dalam pertempuran. Bagi menyelamatkan diri, sekolah kelolaan PBB menjadi tempat perlindungan.
Kanak-kanak kecil yang membawa bersama duka dan sengsara kerana seluruh hidupnya telah musnah. Seorang ayah dari Mesir, di mana anaknya yang berusia 5 tahun- Dima sedang menjalani rawatan yang serius. Dima tidak dapat tidur dengan nyenyak dan bergantung pada ubat penahan sakit.
Pada Sabtu lepas, Dima pergi ke sekolahnya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada kawan-kawan kerana tidak lagi dapat hadir ke kelas. Seorang pegawai pendidikan berkata Dima akan dibawa ke Perancis untuk menerima rawatan lanjut. ‘Saya tidak akan biarkan kamu mengis atau sedih kerana saya,’ katanya kepada rakan-rakan sekelas.
Abu Hein, seorang ahli psikologi yang mengendalikan pusat kesihatan komuniti di bandar Gaza berkata, pasukannya telah menemu bual 950 keluarga, di antaranya 2,180 orang kanak-kanak yang mencari pelindungan di kawasan PBB semasa perang berlangsung.
Sebahagian besar ibu bapa menyatakan anak-anak mereka enggan berpisah dan satu per tiga daripadanya mahu tidur bersama.
Sejak gencatan senjata, pasukan Abu Hein dan kumpulan bantuan yang lain telah melawat semua kawasan yang dimusnahkan untuk mencari kanak-kanak untuk diberi kaunseling.
Pada Ahad lepas, tiga orang kaunselor menuju ke kawasan Abed Rabbo di Jabaliya, beberapa kilometer dari sempadan Israel. Kawasan itu dihujani serangan bertalu-talu daripada kereta kebal tentera Yahudi yang menyerang secara darat pada 3 Januari lepas. Rumah demi rumah dalam lingkungan beberapa ratus ela dimusnahkan sehingga menjadi ‘padang jarak padang terkukur’ tidak ada apa lagi yang tinggal kecuali runtuhan batu.
Asra Arif, 8 tahun berkata bapanya sedang mengibarkan bendera putih apabila askar-askar Yahudi menghampiri dan bercakap Hembrew kepada mereka. ‘Askar-askar memberitahu mereka ada hanya lima minit untuk mengosongkan rumah,’ katanya.
Farraj al-Hau, seorang kaunselor memberitahu kanak-kanak, terutama lelaki, bahawa adalah OK untuk takut semasa perang.
Kemudiannya dia menyuruh kanak-kanak tersebut melukis. Bagi kanak-kanak yang lebih tua, gambar pilihan mereka adalah kereta kebal, helikopter atau mayat yang bergelimpangan di atas tanah. Seorang kanak-kanak melukis tentera Hamas sedang menembak ke arah kereta kebal. Gambar yang lain pula ialah dua titik biru yang mengambarkan bom jerangkap samar ditanam di bawah kereta kebal.
Pada satu masa, kanak-kanak 5 tahun, Saja Abed Rabbo, mulai menangis. Kaunselor Mustafa Haj-Ahmad memimpinnya pergi dan duduk berhampiran tunggul simen, cuba bertanya kenapa dia menangis. Namun Saja enggan bercakap.
Haj-Ahmad berjalan bersamanya kembali ke rumah yang musnah teruk. Datuknya, Mohammad menerangkan bahawa rumah mereka diserang dengan hebat tiga hari sebelum dapat menyelamatkan diri. Dia berkata, Saja melihat dua orang sepupu berumur 13 dan 14 tahun terbunuh dalam pertempuran itu.
Di Gaza terdapat 221 sekolah kendalian PBB. Guru dan pegawai pendidikan cuba membantu mengembalikan keyakinan kanak-kanak pada hari pertama sekolah bermula.
Kelas hujung minggu kesedaran hak-hak asasi manusia akan memasukkan penyelesaian konflik tanpa keganasan. ‘Kami bersama-sama dengan ibu dan bapa yang mahukan anak-anak mereka membesar menjadi seorang doktor, peguam dan matang dalam berfikir dan membuat tindakan,’ kata Ging, pegawai bantuan PBB di Gaza.
Bagi Zakariya Baoud, 14 tahun, trauma masih lagi dianggap realiti. Dia kehilangan tiga rakan kelas dalam serangan mortar Israel yang membunuh 42 orang, kebanyakannya orang awam berhampiran sekolah PBB di kem pelarian Jabalia. Zakariya berkata dia nampak mayat berterbangan ke seberang jalan raya, termasuklah rakan baik, Bashar Deeb.
No comments:
Post a Comment