Monday, January 05, 2009

Natijah polisi tanah Perak

oleh Malim Ghozali PK

Akhirnya teka-teki sama ada Kerajaan Negeri Perak akan melaksanakan polisi yang diumumkan sebaik-baik berjaya menerajui kerajaan negeri itu dulu, terjawab juga. Menteri Besar menyerahkan milik kekal kepada 11 orang kumpulan pertama penduduk kampung baru Cina di Kampung Baru Kuala Rui, Grik.

"Banyak lagi akan diluluskan," katanya. Sudah tentu kerana terdapat 134 buah kampung baru Cina di seluruh negeri Perak, yang terdiri daripada kira-kira 10,000 buah keluarga. Dan sudah tentu keputusan serta pelaksanaan polisi tersebut akan memberikan impak yang besar ke atas landskap pemilikan tanah di negeri tersebut.

Kalau pengumumannya dulu menimbulkan kejutan kepada penduduk Perak serta peneliti undang-undang tanah, kini ternyata Menteri Besar Perak benar-benar menyimpang daripada konvensi. Seolah-olah pemberian pajakan (lease hold) kepada penduduk-penduduk kampung baru Cina tidak mencukupi, Menteri Besar merasakan mereka perlu diberikan hak milik pegangan bebas (free hold) pula.

Ada dua natijah yang terkesan daripada pelaksanaan polisi tanah Perak. Pertama, apakah rasionalnya polisi tersebut dilaksanakan?

Untuk menjawab soalan ini kita harus bertanya asal-usul penduduk kampung-kampung baru Cina?

Kita hanya perlu menoleh sedikit ke dalam lipatan sejarah, yakni kira-kira enam puluh tahun dulu, iaitu ketika bermulanya zaman darurat. Fakta menunjukkan bahawa penduduk asal kampung-kampung baru Cina terdiri daripada penyokong-penyokong tegar pengganas komunis.

Atas fakta itulah pihak Inggeris berpendapat cara yang terbaik untuk menangani masalah tersebut ialah dengan mengasingkan mereka. Tindakan itu bertujuan memutuskan hubungan langsung antara pengganas komunis yang berada di dalam hutan, dengan penyokong-penyokong, dan tali barut mereka yang berada di luar.

Dengan cara ini pergerakan mereka dapat dikawal dan keluar masuk ke penempatan baru tersebut dikawal selia oleh tentera. Dengan pengasingan ini, iaitu melalui penubuhan kampung-kampung baru Cina, didapati bekalan makanan (food dumps) yang diletakkan di pinggir-pinggir hutan semakin berkurangan.

Akhirnya penentangan bersenjata komunis yang dipimpin oleh Chin Peng menjadi lemah dan akhirnya mati meragan di tengah hutan.

Kedua, ia menjadi suatu ironi sejarah yang malang. Akhirnya orang yang menentang kerajaan secara terang-terangan (walaupun pernah menyokong pengganas komunis) dianggap layak diberikan hak milik pegangan bebas.

Apakah hebatnya golongan ini daripada kaca mata Kanun Tanah Negara, maka keistimewaan harus dianugerahkan kepada mereka? Ya, apakah istimewanya penduduk-penduduk kampung baru Cina di mata Menteri Besar Perak?

Takrif dan persepsi perubahan ada bermacam-macam. Namun janganlah "mengubah, kerana semata-mata ingin mengubah", walaupun yang baru itu lebih teruk daripada yang lama.

Kalau dilakukan tinjauan kecenderungan politik secara rambang, kita dapati sebahagian besar, kalau pun tidak semua, kampung-kampung baru Cina memilih parti-parti pembangkang secara berterusan pada setiap pilihan raya umum. Inikah keistimewaan yang dikaitkan dengan kampung-kampung baru Cina?

Dan apabila pakatan parti pembangkang meraih kemenangan, maka mereka terdesak untuk 'membalas budi' yang telah sekian lama ditabur oleh penduduk-penduduk kampung baru Cina. Ketika kedengaran suara yang berteriak: "Now we have a place to call home", dirasakan ia bernada sindiran, sumbang dan naif.

Di manakah mereka tinggal selama ini? Adakah wujud sebarang percubaan kerajaan negeri untuk menghapuskan kampung-kampung baru Cina di Perak?

Apa sebenarnya muslihat Kerajaan Perak yang tergesa-gesa mengeluarkan hak milik pegangan bebas kepada penduduk-penduduk kampung baru Cina? Bidalan orang tua memang tepat - "Si lemah makanan si kuat, si bodoh makanan si cerdik." Dengan enam kerusi Pas berbanding dengan 18 kerusi DAP, umum sudah tahu siapa sebenarnya yang memegang tampuk pemerintahan negeri Perak Darul Ridzwan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perak, Nga Kor Ming menambah, "Kami menjamin memberikan mereka hak milik pegangan bebas, dan hak milik baru ini ialah 999 tahun, dan nilai hartanah akan naik berlipat ganda."

Mengikut Seksyen 76 (a) Sub-seksyen (iii) Kanun Tanah Negara, hak milik pegangan bebas hanya diberi dalam tiga keadaan sahaja:

a) Kerajaan Persekutuan, atau penguasa awam,
b) Untuk kegunaan awam, dan
c) "Sekiranya Pihak Berkuasa Negeri berpuas hati wujud keadaan-keadaan istimewa yang menyebabkan ia perlu berbuat demikian."

Keputusan kerajaan negeri secara "tidak menyempat-nyempat" mengeluarkan hak milik pegangan bebas kepada penghuni kampung-kampung baru Cina di Perak tidak lain tidak bukan bertujuan mengekalkan sokongan politik pengundi-pengundi di kampung-kampung baru Cina seperti di Gunung Rapat, Pasir Pinji dan Pasir Puteh terhadap mereka.

Alasan untuk mengutip premium adalah remeh, dan tidak pernah menjadi isu bagi kerajaan Perak. Sekarang, dengar khabar kerajaan negeri ingin menumpukan perhatian kepada tanah pertanian pula.

Kononnya untuk menyelesaikan backlog permohonan. Baguslah begitu, tapi harap-harap janganlah tanah-tanah kerajaan yang sudah diteroka secara haram di pinggir-pinggir hutan, juga dihadiahkan hak milik.

Kebanyakan tanah-tanah ini ditanam dengan kelapa sawit dan getah dan diteroka oleh mereka yang punya modal besar. Sekiranya dibuat bancian, luas kawasannya boleh mencapai ribuan ekar.

Lazimnya portfolio tanah tidak pernah diserahkan kepada ahli Exco lain dan ia dipegang sendiri oleh Menteri Besar. Apakala ketahuan bahawa Menteri Besar menyerahkan hampir setiap urusan tanah kepada wakil DAP, apatah lagi yang menyangkut isu-isu kontroversi, sudah pasti hal ini akan menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan orang Melayu.

Almaklumlah apa juga tanah yang hendak dianugerahkan kepada sesiapa sekalipun, ia merupakan cebisan-cebisan daripada apa yang disebut sebagai Tanah Melayu, dan bukan tanah Inggeris, atau pun tanah orang lain.

Kerajaan negeri yang memerintah hanya diberikan amanah untuk mentadbirkan tanah tersebut, dan pendapat penasihat undang-undang negeri hendaklah diminta, bagi sebarang keputusan yang melibatkan perundangan.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri mengingatkan bahawa tindakan yang dilakukan oleh kerajaan negeri Perak bertentangan dengan keputusan Majlis Tanah Negara. Namun nasihat tersebut ternyata masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.


Kerajaan Pakatan Rakyat masih bertegang urat dan menegaskan kerajaan negeri mempunyai kuasa. Apakah kerajaan Pusat tidak punya kuasa? Dan bukankah negeri Perak masih berada dalam Malaysia?

Dalam hal ini penulis teringatkan seorang teman politik lama yang tidak kurang hebatnya. Beliau bukan saja seorang jurutera yang handal, bahkan juga tidak buta sejarah dan budaya. Kata beliau, kalau hendak berbudi pun ada tertibnya. Beliau lalu mengingatkan saya kalau hendak berbudi pun janganlah sampai "Kera di hutan disusukan, anak di ribaan mati kelaparan."

Kepada Datuk Seri Mohamed Nizar, kalau boleh, tengok-tengoklah pepatah- petitih nenek moyang kita. Ada serangkap yang cukup menarik untuk dihayati di dalam kemelut politik semasa:

Ikut cakap musang
Makan buah belolok
Ikut cakap orang
Terjun masuk lubuk!

- PENULIS ialah mantan Penolong Pegawai Daerah I, Daerah Kecil Slim River dan Timbalan Pegawai Kemajuan Negeri Perak. Sekarang mengarang dan berdakwah sepenuh masa.

[Utusan Online, 5/1/2009]

2 comments:

  1. dengor kabor kg tersusun pun dapat. Alhamdullillah

    ReplyDelete
  2. Paloi, ia satu perkembangan yang baik.

    ReplyDelete