Friday, September 05, 2014

Inovasi sosial boleh bawa kesan kepada rakyat










Pendekatan inovasi sosial merupakan cabang inovasi yang perlu juga diberi tumpuan untuk manfaat rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Inovasi sering dilihat sebagai inovasi penyelidikan dan pembangunan (R&D), produk dan komersial tetapi inovasi sosial juga satu cabang yang boleh membawa kesan inovasi kepada rakyat," katanya.

Berucap pada Majlis Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini, Najib berkata terdapat beberapa ciri penting inovasi sosial yang boleh diterjemahkan, pertama, menerusi pendekatan eksperimen.

Pendekatan itu, katanya, dilaksanakan menerusi penciptaan idea-idea baharu yang dibahaskan, diekperimentasi, dicipta prototaip dan projek perintis dilaksanakan tanpa perlu takut kepada kegagalan dan percubaan berulang.

Justeru itu, perdana menteri menyarankan sektor awam mewujudkan Makmal Inovasi yang boleh dianggap sebagai 'ruang selamat' di setiap agensi dengan mengadaptasi pendekatan ekperimen itu sebelum sesuatu inisiatif dilaksanakan sepenuhnya.

Najib berkata ciri kedua inovasi sosial pula ialah memperluaskan saluran dan akses rakyat sebagai pengguna perkhidmatan untuk menyatakan kehendak rakyat dan harapan mereka terhadap penyampaian perkhidmatan awam.

"Ia sangat penting dan selari dengan konsep turun padang dan boleh juga gunakan media sosial untuk mendapatkan apa sebenarnya kehendak rakyat serta apakah ekspektasi rakyat terhadap perkhidmatan kerajaan," katanya.

Beliau berkata cara seperti itu dapat menentukan penyampaian perkhidmatan kerajaan bukan sahaja lebih efisien tetapi memberikan kepuasaan yang lebih tinggi kepada rakyat.

(Sinar Harian, 5 September 2014)

 

No comments:

Post a Comment