Saturday, September 13, 2014

Soalan bocor UPSR dedah tahap integriti







Kebocoran kertas soalan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris di sekolah kebangsaan menunjukkan tahap integriti yang sangat lemah. Kesan segera ialah kekecewaan yang dihadapi sendiri oleh Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu berhadapan dengan persepsi negatif yang ekstrem terhadap integriti agensi itu.

Orang ramai khususnya pelajar  dan ibu bapa yang terlibat memandang kementerian itu dengan pandangan yang berbeza sama sekali. Kecewa, marah, geram, tidak prihatin dan kerja sambil lewa antara keluhan yang boleh dilihat di akhbar dan media sosial.

Terdapat tiga tindakan utama yang diambil oleh kementerian dalam isu ini iaitu melaporkan kejadian kepada pihak polis, meminta maaf dan menggantung tugas pegawai kanan di Lembaga Peperiksaan.

Walaupun langkah ini nampak agak tegas tetapi masyarakat sudah tentu mahu melihat dalang sebenar yang membocorkan maklumat. Mereka ingin tahu siapa, bagaimana  dibocorkan dan kenapa dibocorkan. 

Menjejak dalang tidak menjadi masalah besar kerana pihak polis, agensi keselamatan siber dan kementerian sendiri bergabung tenaga mencari penyebar soalan bocor ini. Bagaimanapun kita yakin ramai pemberi maklumat yang akan tampil memberi bantuan supaya kes ini dapat diselesaikan segera.

Bilangan pelajar hampir setengah juta orang bukanlah angka yang kecil kerana ia turut melibatkan sejuta ibu dan bapa malah keluarga calon sendiri. Ada calon yang telah membuat temujanji dengan pakar perubatan selepas peperiksaan, ada calon yang akan dibawa melancong ke luar negara dan telah menempah tiket secara pukal, ada calon yang hendak hadir kelas tahfiz tiga bulan dan bermacam-macam lagi perancangan selepas peperiksaan berlangsung.

Kini perancangan tersebut dibantutkan oleh dalang-dalang yang menggunakan platform media sosial untuk merosakkan reputasi peperiksaan, menyabotaj perancangan kementerian dan melemahkan imej pendidikan Malaysia.

Sewajarnya pasukan khas yang menyiasat kes ini memberi perhatian kepada menangkap dalang sebenar dan membawanya ke muka pengadilan. Hukuman yang maksimum mesti dikenakan supaya ia menjadi pengajaran kepada sesiapa sahaja yang berhasrat mencemarkan reputasi peperiksaan dan usaha Malaysia melahirkan kualiti pendidikan kelas dunia.



No comments:

Post a Comment