Dr. Norliah binti Kudus
Pensyarah Kanan dan Perunding Motivasi
Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)
Ceritera Kejayaan Malaysia
Penulis membicarakan artikel ini kerana merasakan semangat menyambut kemerdekaan negara ke 57 ini perlu dihayati bersama oleh generasi muda yang menjadi harapan negara pada masa kini. Penulis juga ingin berkongsi sedikit perkongsian berkaitan dengan nilai kemerdekaan dan penghayatan nilai patriotik yang amat signifikan masa kini.
Tarikh 31 Ogos yang lalu, merupakan tarikh penuh bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia. Namun, slogan atau laungan merdeka tidak akan membawa-apa kesan jika rakyat tidak menghayati dengan penuh kesedaran dan nilai kesyukuran erti kemerdekaan yang sebenar.
Penulis bersetuju bahawa ceritera kejayaan Malaysia ini bukannya berlaku dengan sendiri dan begitu sahaja, malah ia sebenarnya lahir daripada wawasan, strategi dan usaha perwira dan pemimpin-pemimpin terdahulu hingga ke hari ini, serta sumbangan pemikir-pemikir negarawan yang hebat.
Untuk itu juga, pengisian kemerdekaan khususnya pada era global kini memerlukan satu bangsa Malaysia yang berwawasan, mempunyai modal insan berfikiran kelas pertama dan sentiasa cekal dan bermaruah tinggi dalam melaksanakan segala tuntutan sosial dan ekonomi semasa.
Di sini Lahirnya Sebuah Cinta
Penulis dan rakyat Malaysia pastinya akan teruja dengan slogan ‘Malaysia...Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta’ yang telah dipilih sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-57. Bait-bait lagu nyanyian Allahyarham Sudirman Hj Arshad ini terngiang-ngiang di telinga, sering diputarkan dicorong radio dan menjadi siulan kita semua sebagai rakyat Malaysia.
Bagi penulis, di sini lahirnya sebuah cinta, di sinilah bermulanya perjalanan sebuah negara dalam mencapai kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan. Perasaan atau semangat ini boleh bercambah menjadi rasa cinta sama ada kepada agama, bangsa dan negara.
Penulis bersetuju jika usia itu diletak pada diri seorang manusia, angka 57 tahun merupakan usia yang mantap. Usia ini adalah memainkan peranan yang signifikan kerana pengalaman yang telah dilalui amat bermakna dalam mengajar erti kepayahan dan kesenangan dalam kehidupan. Usia di mana seorang manusia telah mengharungi pelbagai liku kehidupan, matang, dan bersedia menghadapi apa jua rintangan yang bakal melanda.
Merdeka
Setiap tahun di kebanyakan negara akan mengadakan sambutan hari ulang tahun kemerdekaan. Hari bersejarah ini adalah suatu kesempatan untuk kita menggilap semangat patriotik, hubbul watan atau semangat cintakan negara. Malah bagi sesetengah pemikir Islam seperti Prof. Ismail Faruqi dan Muhammad Iqbal juga menyatakan semangat patriotisme adalah suatu yang positif dan digalakkan dalam Islam.
Merdeka membawa maksud bebas (daripada penjajahan, kurungan, naungan dan lain-lain), lepas (daripada tebusan atau tuntutan), berdiri sendiri dan tidak bergantung kepada yang lain. Dengan kemerdekaan ini, maka sesuatu yang boleh dilakukan dengan sekehendak hati (Kamus Dewan, 2003). Oleh itu kemerdekaan yang kita capai membolehkan kita merangka dan menentukan apa yang ingin kita capai.
Dalam meniti usia selama ini, sudah pasti banyak cabaran pahit, perubahan dan kecemerlangan yang dicapai oleh negara. Kemerdekaan sebenar adalah dengan cara mensyukuri sepenuhnya ke hadrat Allah SWT bahawa ia merupakan antara hikmah dan nikmat besar Allah SWT yang mengizinkan pembebasan dan kemerdekaan negara daripada cengkaman penjajah, membebaskan maruah dan martabat bangsa Malasia yang telah di jajah selama lebih lima kurun.
Diharapkan semua pihak menyedari dan menginsafi agar negara kita perlu membangun dan maju mengikut acuan kita sendiri tanpa mengikis nilai-nilai kemanusiaan dan pendekatan kesejahteraan rakyat diutamakan berteraskan pembangunan modal insan yang holistik.
Patriotisme Generasi Muda
Penulis bersetuju bahawa generasi muda alaf baru kini perlu memahami erti pengisian kemerdekaan dengan cara membebaskan diri dari belenggu penjajahan pemikiran, pengaruh budaya asing dan sebarang anasir negatif. Penjajahan membawa bersama mereka budaya dan cara hidup Barat yang ada antaranya bertentang dengan ajaran agama.
Patriotisme adalah merujuk kepada perasaan cinta yang kuat terhadap negara atau tanahair (Kamus Dewan, 1996 : 987). Patriotisme juga sering dilihat sebagai ‘nasionalisme rasmi’ atau ‘official nationalism’ bagi sesebuah negara (Kellas, 1991). Adakalanya, masyarakat sering terkeliru antara definisi patriotisme dan nasionalisme, sedangkan kedua-duanya itu adalah berbeza. Nasionalisme itu boleh dibahagikan kepada beberapa kategori antaranya ialah nasionalisme sivik, naionalisme etnik, nasionalisme sosial dan nasionalisme rasmi atau patriotisme (Kellas, 1991; Brown, 1999).
Menurut Siddiq Fadzil ( 1992; 95), patriotisme juga merupakan suatu kebajikan yang benar-benar fitrah dan mempunyai tempat dalam kehidupan akhlak manusia. Malah Islam menyediakan aturan-aturan untuk pelaksanaan objektif patriotisme tersebut. Berbakti kepada bangsa dan berkhidmat kepada negara merupakan satu kewajipan menurut undang-undang Islam.
Penulis yakin dan percaya bahawa bangsa yang cemerlang lahir daripada asuhan, amalan, pemikiran, daya saing dan perpaduan yang mantap, bijak serta erat di antara sesama kaum yang berbilang keturunan dan kepercayaan beragama di Malaysia. Isu tentang kesedaran sejarah tanahair dan kepekaan masyarakat tentang nilai dengan penghayatannya melalui semangat patriotik bukanlah suatu perkara yang baru atau menghairankan.
Generasi hari ini amat sedar dan tahu kisah silam negara ini. Generasi muda hari ini juga sedar bahawa kemewahan dan keamanan pada hari ini bertitik tolak dari perjuangan generasi masa lampau. Tanpa mereka siapalah kita. Kita benar-benar menghargai kemerdekaan yang telah kita gapai 57 tahun dahulu.
Kini, kita semakin bangga menjulang nama Malaysia di persada dunia berbekalkan kemajmukan dan keamanan negara serta kestabilan politik dan juga perkembangan ekonomi yang membanggakan. Kita sudah berani mengatur langkah bersama negara-negara lain dalam usaha mengisi ruang dalam negara dengan aspek teknologi terkini, isu semasa dan juga bersama-sama menyusuri arus kemodenan dan globalisasi. Ayuh, mari kita kekalkan simfoni perpaduan dan keharmonian. Malaysia...Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta. Salam Merdeka.
No comments:
Post a Comment