Wilayah Isis (sumber wikipedia) |
Kemunculan Isis ataupun Islamic State of Iraq and Syria menjadi perhatian dunia ketika ini. Isis juga dikenali sebagai Isil, Da'esh dan ad-Dawlah al-Islamiyah ditubuhkan pada tahun 1999. Gerakan ini bermula dengan Jama'at al-Tawhid wal-Jihad.
Isis berkembang dan menjadi kuat apabila bergabung dengan al-Qaeda Iraq yang mengambil bahagian dalam pertempuran melawan Amerika Syarikat pada 2004. Seterusnya menyertai Majlis Shura Mujahidin untuk muncul sebagai Islamic State of Iraq and Syria.
Kepimpinan Abu Bakar a-Baghdadi mendapat sokongan di Iraq akibat daripada peminggiran golongan Sunni dalam ekonomi dan politik. Gerakan ini terlibat dalam peperangan saudara di Syria dan membentuk wilayah sendiri di Syria yang merangkumi Ar-Raqqah, Idlib, Dier ez-Zor dan Aleppo. Kini, Isis mempunyai 4,000 anggota di Iraq.
Pengisytiharan Negara Islam menjadikan Isis terkenal dan mencuri tumpuan masyarakat dunia. Propaganda memenggal leher tawanan Barat menjadikan kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat mengambil keputusan melancarkan serangan udara ke kawasan pentadbiran Isis.
Progapanda Isis berjaya menarik ramai pemuda Islam untuk menganggotai kumpulan mereka. Kewujudan kelompok pejuang Isis dari Asia Tenggara menunjukkan terdapat minat yang mendalam kelompok tertentu untuk menyertai Isis dan perjuangannya.
Khatibah Asia Tenggara yang kebanyakannya dianggotai pemuda dari Indonesia dan Malaysia menjadikan rantau ini berhadapan dengan ancaman keselamatan rentas sempadan. Tangkapan pihak berkuasa Malaysia ke atas tiga orang pemuda yang sedang bersiap-siap ke Syria membuktikan bahawa mereka sanggup meninggalkan keluarga, pekerjaan dan kesenangan hidup untuk berjuang di Syria.
Salah seorang daripada mereka ialah arkitek. Kejayaan dalam dunia kerjaya tidak menghalangnya untuk pergi ke medan perang. Apakah yang menyebabkannya bertindak begitu? Soalan ini wajar difikirkan supaya kita dapat mengetahui punca sebilangan kecil rakyat Malaysia yang sanggup bersama kumpulan-kumpulan pejuang di Syria, Iraq dan sebagainya.
Apakah pemergian mereka atas faktor menjaga kesucian agama, faktor kepimpinan atau ada tarikan lain yang menjadikan perjuangan mengangkat senjata itu sangat istimewa?
Memberi tumpuan kepada Isis sebenarnya memberi inspirasi baru kepada kumpulan pemisah yang wujud di seluruh dunia khususnya di negara-negara minoriti umat Islam yang ditindas. Kumpulan-kumpulan ini merasakan mereka boleh berjaya seperti Isis dan bertindak mengaitkan diri mereka dengan Isis melalui pernyataan atau tindakan yang menyamai tindakan Isis.
Isis dilihat menawarkan penyelesaian kepada jiwa yang memberontak kumpulan-kumpulan pemisah yang tidak mahu lagi menjadikan meja rundingan sebagai penyelesaian. Oleh kerana tumpuan ini, tidak ustahil akan muncul kumpulan yang aktif dan ekstrem di Selatan Filipina atau Selatan Thailand. Laporan media baru-baru ini menunjukan seorang pejuang pemisah dari China sudah ditawan dalam pertempuran dengan askar Iraq.
Sikap Malaysia yang berterus-terang menganggap Isis sebagai pertubuhan pengganas adalah langkah tepat untuk menolak kehadiran sebarang elemen simpati terhadap kumpulan itu. Seharusnya media kerajaan memberi ruang kepada penerangan yang lebih banyak berkaitan keganasan kumpulan ini yang bukan sahaja menakutkan masyarakat malah memberikan imej negatif kepada Islam.
Islam tidak berkembang ke seluruh dunia melalui kezaliman atau kekerasan sebaliknya melalui dakwah dan tarbiyah. Kaedah ini memang mengambil masa tetapi mampu membina sebuah tamadun. Belum ada pejuang Islam yang berjaya dengan memilih pendekatan kekerasan.
Pengembangan Isis wajar dikawal dan dibendung. Jika tidak suatu hari nanti akan ada seseorang yang akan berkata, "Kami menyeru kepada kamu untuk taat dan patuh kepada pemimpin kami. Jika tidak, kamu akan diperangi".
No comments:
Post a Comment