Thursday, September 11, 2014

Ada cara tangani keganasan di media sosial








Usaha perlu dijalankan bagi mengelak remaja daripada terdedah kepada bahan lucah dan kandungan yang menggalakkan keganasan di Internet, kata Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Yong Soo Heong.

Beliau berkata usaha tersebut adalah melalui pendidikan yang sesuai, kempen advoksi yang berterusan dan ketrampilan keibubapaan yang baik.

Beliau, bagaimanapun, berkata ketiga-tiga elemen penting ini perlu disokong oleh pengawal selia industri bagi memastikan bahawa bahan-bahan yang menggunakan kata-kata kesat tidak mudah diakses untuk meracuni minda golongan muda.

Dalam perkara ini, Soo Heong memuji usaha yang dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) melalui program 'Klik Dengan Bijak'.

"Ia menggalakkan penggunaan meluas Internet secara bijak kerana kita tahu bahawa telefon pintar, tablet dan peranti lain (di mana Internet boleh diakses) telah menjadi pengasuh untuk anak-anak masa kini," kata beliau pada Sidang Kemuncak Dunia Ketujuh Mengenai Media Bagi Kanak-kanak (WSMC) di sini hari ini.

Soo Heong berkata, lebih banyak kempen pendidikan untuk dewasa muda perlu diperkenalkan untuk menangani pelbagai gejala sosial seperti kehamilan yang tidak diingini dalam kalangan remaja, penyalahgunaan dadah dan insiden jenayah.

Sementara itu, Pengarah Kanan, Bahagian Jangkauan dan Penglibatan, SKMM Eneng Faridah Iskandar berkata, konsep yang menggalakkan penggunaan selamat Internet harus diguna pakai untuk memastikan pengalaman yang positif semasa melayari internet.

Pengalaman dalam talian seperti itu hendaklah seiring dengan keselamatan dan tanggungjawab yang berada dalam fikiran, kata beliau kepada Bernama di luar acara sidang kemuncak tiga itu yang berakhir hari ini.

Acara itu disertai oleh peserta media dari kira-kira 60 negara.

Ini julung kali sidang kemuncak global mengenai media dalam pembangunan pendidikan dan kesejahteraan kanak-kanak diadakan di Asia. - Bernama

(Sinar Harian, 10 September 2014)



 

No comments:

Post a Comment